KEHIDUPAN IBARAT BULU TANGKIS



Kehidupan manusia  boleh diibaratkan  dengan  pelbagai  perumpamaan. Mengapa? Kerana kehidupan manusia itu penuh rencam. Kerna setiap kita memandang kehidupan mengikut kaca mata masing-masing. Semestinya kehidupan akan ada pasang surutnya. Punya sisi cerah dan gelapnya. Kadangkala terasa pahit manisnya. Mengapa? Kerana itulah kehidupan.

Pernah, sedang penulis memerhati sebuah perlawanan Badminton lantas terilham bahawa kehidupan jua boleh di ibaratkan seperti bulu tangkis.


Ada masa ia dipukul melambung tinggi ke udara. Gah. Hebat. Bertenaga. Tangan kita yang  menerbangkan  bulu tangkis ke gelanggang lawan serasa begitu berjasa. Kagum kerana serangan lawan dapat dipatah dan ditalakan semula.


Ada ketika ia di pukul laju, jatuh rapat ke lantai. Membuah kecewa pada kita namun gembira pada riak wajah lawan. Itulah yg memberi mata pada pasukan lawan. Itulah juga yang menaikkan semangat juang kita kadang-kadang. Lantas kita tersedar betapa kita belum bersungguh-sungguh dalam perlawanan atau boleh jadi kita masih bermain-main dalam bermain. Pukulan bulu tangkis itu dirasakan seolah-olah pukulan yang tepat mengena pada diri kita.

Saudara pembaca yang dikasihi Allah sekalian, hakikatnya kita adalah hamba. Hamba kepada Tuhan Pencipta. Kita diciptakan dari benih yang kecil. Sekadar dua sel yang kemudiannya berkembang dan menjadilah kita seorang manusia. Apa sekalipun yang Allah takdir, percayalah itu adalah yang sebaiknya untuk kita. Tugas kita adalah berusaha.

Awas saudara dari tertipu daripada dua hal. Hal yang pertama, saudara mendapat kegembiraan walhal kegembiraan itu semakin melalaikan saudara dari tujuan perjalanan saudara didunia ini. Hal yang kedua, saudara beroleh kedukaan sehingga saudara hilang semangat untuk meneruskan perjalanan menuju destinasi ekspedisi ini.

Ibarat bulu tangkis yang tadi jatuh dilantai memberi mata pada pihak lawan, jika saudara merasa lemah dan menyerah kalah, rugilah  saudara. Ketahuilah jika saudara kembali bangkit dengan penuh usaha, saudara mampu mengejar mata pihak lawan lantas memenangi sebuah perlawanan.


Zainuddin | 1 Jun 2016 | Iskandariah
#SMStudySMSuccess

0 Ideas:

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.