Stanza Mahabbah

We are Family :)

Showing posts with label ISLAH. Show all posts
Showing posts with label ISLAH. Show all posts

Sisi Pandang Kehidupan : Housemate saya tak tutup aurat


“A secret makes a muslimah muslimah.”

Itu quote yang Kakak Nusrah kongsikan sebagai penutup usrah minggu itu. Kakak naqibahnya memang begitu. Selalu sahaja berkongsi kata-kata yang memberi kesan kepada hati-hati mereka.

“Siapa nak kongsi dengan semua orang dekat sini apa yang dia faham dengan quote ni?”

Kakak Nusrah membuka ruang untuk interaksi dua hala. Namun tiada respons.

“Okeylah. Sebab takde yang nak cakap, dan masa pun dah lambat, biar akak sendiri yang terangkan. Tapi ini apa yang akak faham la ye.”

"Yang dimaksudkan dengan secret ni - pada akak - bukanlah kita perlu berahsia dengan orang lain. Ya, memang ada suatu ketika kita perlu berahsia. Apa lagi kalau rahsia itu melibatkan aib diri kita. Tapi maksud secret kali ini yang akak suka nak berkongsi adalah mengenai sikap malu. Sikap yang wajib ada dalam diri kita semua sebagai seorang muslimah.

Balik Malaysia tahun lepas, ibu akak pernah cerita dekat akak.

Katanya, zaman dahulu masa ayah akak masuk merisik, datuk dan nenek akak bagi gambar dan biodata pada ayah akak sebab ibu akak belajar dekat Sarawak. Hantar pakai surat. Kita sekarang, nak dapat gambar boleh cari dekat facebook je. Nak tahu perempuan tu suka makan apa, boleh stalk dekat instagram. Nak tau aktiviti harian dari bangun pagi sampai tidur, cari twitter si gadis dan follow je. Mudah kan?

Bukan maksud akak, muslimah yang ada facebook, yang ada twitter, yang ada instagram semua  tak tahu malu. Tapi kalau semua perkara kita nak bagitahu satu dunia, apa yang istimewanya diri kita? Maksud akak, apa yang kita tinggal untuk suami kita nanti? Habis semua kita dah kongsi dengan orang. Kesian dia nanti, kan?”

“Ehem”

Salah seorang adik usrahnya berdehem ; sengaja. Adik-adiknya semua tersenyum sendiri apabila dia menyebut perihal suami. Dia juga perasan tindakan nakal Fatin yang sengaja mencuit pinggang Hdayah yang duduk bersebelahan dengannya. Aqilah yang memahami usikan Fatin hanya memandang muka sahabat seusrahnya itu sambil menjegilkan biji mata. Sebolehnya dia tidak mahu bersuara memarahi Fatin yang sengaja mengusiknya sebagai menghormati kakak usrahnya yang sedang bercakap.

“Eh Fatin, pandai ye awak mengusik orang lain. Entah-entah nanti dia dulu yang menikah.” Ujar Kak Nusrah.

“Mana boleh akak. Nanti langkah bendul. Kami kena tunggu akak dulu.” Zulaikha mencelah.

Mereka tertawa bersama.

"Pandai pula kenakan akak ye. Akak suruh terang pasal quote tadi semua senyap. Tup tup masuk bab kahwin, laju je semua nak menyampuk sama. Okey boleh berhenti senyum-senyum kambing ye semua. Pantang akak sebut pasal suami, ceria je.”

“Sapa tak seronok sembang bab kahwin. Kan Aqilah?” Fatin masih belum selesai mengusik.

Mereka semua tertawa lagi bersama. Usrah mereka kemudian ditangguhkan selepas bacaan tasbih kafarah dan surah al-Asr.

*****



Insyirah memasukkan buku catatannya. Walaupun dia memiliki telefon pintar yang mempunyai aplikasi untuk menulis nota, dia tetap lebih selesa menulis menggunakan pensel. Lebih klasik, fikirnya. Dia memandang Kak Nusrah yang sedang bersalaman dengan ahli usrahnya yang lain sebelum berpisah. Insyirah sengaja berlambat-lambat bersiap untuk pulang membiarkan kawan-kawannya yang lain pulang terebih dahulu.

Hari itu, dia tidak aktif seperti biasa dalam usrah. Dia langsung tidak banyak menyoal seperti biasa. Selalunya dialah ang paling banyak bertanyakan soal itu ini di dalam usrah. Tetapi hari itu ada hal yang membuatkannya sedikit resah. Sebelum keluar rumah lagi, dia sudah merancang untuk berbincang dengan kakak usrahnya.

“Kak Nusrah, Insyirah nak minta tolong sikit boleh?”

“Nak minta tolong banyak pun boleh, sayang.”

Ahli-ahli usrah yang lain semuanya sudah pulang ke rumah masing-masing. Kakak Nusrah menutup pintu biliknya. Dia tahu Insyirah mahukan perbincangan tertutup dengannya kala itu. Dia yang sudah hampir dua tahun mengenali Insyirah dapat merasakan ada perkara yang tidak kena dengan anak buahnya yang seorang itu. Dan seperti mana biasa, telinganya tidak pernah lelah untuk mendengar masalah adik-adiknya.

“Ini pasal Aleesya.”

“Kenapa? Housemate awak tu tak sihat ke? Sejak akak masuk clinical year dah jarang akak terserempak dengan dia.”

“Tak. Tak. Dia sihat je. Alhamdulillah.”

“Oh, okey.”

“Mungkin in bukan pasal Aleesya. Ini pasal saya dan Aleesya.”

“Insyirah bergaduh dengan Aleesya?”

“Tak. Tak. Kami tak bergaduh. Cuma Insyirah rasa bersalah.”

“Sebab apa? Insyirah buat apa dengan Aleesya?”

“Insyirah tak buat apa-apa dengan Aleesya. Dan sebab itu Insyirah rasa bersalah.”

“Maksud Insyirah?”

“Selama dua tahun saya tinggal serumah dengan dia, tak pernah sekali pun saya tegur cara pemakaian dia. Tak pernah. Saya tak tahu, tapi cerita bab aurat dah jadi macam topik taboo antara saya dan Aleesya.”

“Jadi apa yang membuatkan Insyirah rasa bersalah? Insyirah rasa bersalah sebab Aleesya tak tutup aurat atau Insyirah rasa bersalah sebab tak pernah tegur Aleesya supaya tutup aurat?”

Suasana jeda seketika.

“Sebelum akak bagi pandangan akak, ada satu benda yang akak nak betulkan. Situasi kita dengan kawan-kawan, kita tidak menegur. Tetapi kita menasihati. Insyirah tak perlu tegur Aleesya supaya dia menutup aurat. Tapi Insyirah kena nasihat Aleesya supaya dia terbuka hati untuk menutup aurat sebagaimana layaknya seorang muslimah.”

“Tapi akak, macam mana kalau dia taknak? Macam mana kalau dia merajuk dengan Insyirah?”

“Jadi akak nak Tanya Insyirah sekali lagi. Insyirah rasa bersalah sebab Aleesya tak tutup aurat atau Insyirah rasa bersalah sebab tak nasihat Aleesya?”

Insyirah diam semula. Otaknya masih berfikir. Akhirnya dia sedar. Baru sahaja dia mahu membuka mulut, Kak Nusrah terlebih dahulu menyambung semula nasihatnya.

“Insyirah tak pernah berdosa kalau Aleesya tidak memakai tudung. Insyirah tidak akan berdosa kalau Aleesya belum mahu menutup aurat. Hidayah milik Allah. Pakcik Nabi pun meninggal sebelum sempat menikmati Islam. Dan bukan salah Nabi pakcik baginda tidak berjaya memeluk Islam. Tapi Insyirah mungkin akan disoal nanti di akhirat, selama Insyirah bersahabat dengan Aleesya, apa usaha Insyirah supaya Aleesya bertudung dan menutup aurat?

Insyirah rasa di akhirat nanti ada atau tidak jawapan untuk soalan tersebut?”

“Tapi akak…”

“Awak peminat setia Hilal Asyraf kan? Apa yang dia sebut tentang cinta?”

“Cinta itu membawa ke syurga. Apa-apa yang membawa ke neraka, itu bukan cinta namanya.”

“Insyirah sayang Aleesya,kan? Kalau betul sayang, buktikan.”

“Tapi akak, macam mana? Saya sudah lama macam ni. Macam-macam saya cuba fikir, tapi akhirnya saya tetap tak buat apa-apa.”

“Jujur akak bagitahu, akak tak boleh bagi cadangan apa-apa untuk masalah Insyirah. Insyirah lebih kenal Aleesya daripada akak. Dan akak yakin, Insyirah mesti tahu firman Allah tentang dakwah, tentang cara menasihati dalam Islam. Hikmah, pengajaran dan perdebatan yang baik.

“Dan akak juga taktahu, sama ada Aleesya akan marahkan Insyirah atau tidak kalau Insyirah ajak dia untuk sama-sama tutup aurat. Macam akak cakap, itu Insyirah lebih tahu daripada akak.

“Cuma akak boleh pesan, Insyirah kena kuat. Dan Insyirah kena yakin, masalah ini bukan hanya masalah berdua antara Insyirah dan Aleesya. Allah ada. Dia tahu sedalam mana cinta Insyirah pada Aleesya. Allah tahu setinggi mana keyakinan Insyirah supaya Aleesya menututp aurat. Allah tahu betapa besarnya harapan Insyirah untuk sebuah persahabatan.
“Apa yang penting sekarang, Insyirah berusaha dan letakkan setinggi-tinggi pengharapan kepada Dia. Have faith, sayang.”

Tanpa sedar, Insyirah sudah berada di dalam dakapan Kak Nusrah. Ada butir mutiara jernih yang membasahi pipinya. Perlahan Kak Nusrah melepaskan pelukan mereka seraya menuju ke meja studynya di hujung penjuru bilik. Sehelai sticky note; kertas kecil berwarna kuning air yang tertampal pada dinding dicabut dan diserahkan kepada Insyirah.
 “Hari ini; ketika banyak yang menasehati dengan aneka cara & tak mempan jua; mungkin dia bukan kekurangan nasehat. Dia kekurangan doa.” -Salim A. Fillah
“Insyirah kuat,. Akak tahu Insyirah boleh. Nasihat ini seorang sahabat pernah titipkan buat akak. Akak hadiahkan untuk Insyirah. Semoga diberkati semuanya.”

*****

Malam semakin larut. Sukar benar untuk Insyirah melelapkan matanya. Pelbagai persoalan menerjah fikirannya. Risaunya makin menjadi-jadi. Sebab itu baringnya semuanya menjadi tidak kena. Sekejap-kejap mengiring ke kanan dan kiri. Lalu akhirnya dia bangkit – duduk berlunjur bersandar di hujung katil. Wajah Aleesya yang barangkali sudah diulit mimpi indah ditatap dengan penuh kasih sayang. Sahabatnya tetap cantik, walaupun kelihatan suram berbalam-balam dibias cahaya lampu dari ruang tamu.

“Kamu pasti sahaja lebih cantik dengan hijab, sayang.” Hati Insyirah berbisik sendiri.

Dia sudah tekad. Kali ini, dia harus berani. Perlahan dia bangun dari katil seraya menuju ke meja belajar. Senyap-senyap dia membuka laci meja paling bawah - mengeluarkan kertas sehelai kertas A4. Insyirah langsung ke ruang tamu - bertemankan cahaya lampu.. Sesekali Insyirah menoleh ke bilik tidur, bimbang sahabatnya terjaga. Ternyata Aleesya masih tetap tidur.

Buat sahabatku yang cinta Allah terluah untukmu,

Hijab ini, kuhadiahkan untukmu. Percayalah, kain tudung ini hanya menutup auratmu, bukan kecantikanmu. Engkau tetap sahaja sahabatku yang sentiasa membahagiakan. Mudah-mudahan kita sama-sama bahagia di sisi Tuhan.

Yang sentiasa mendoakan,
Sahabatmu

Usai menulis, kertas itu dilipat separuh dan diletakkan di dalam beg hadiah kecil yang dibelinya bersama sehelai tudung merah jambu.. Dia berjalan perlahan kembali ke biliknya. Sampai di muka pintu, Insyirah berhenti melangkah seraya memandang ke belakang - melihat lampu yang menemani malamnya kala itu. Yang mengubah gelap menjadi terang, yang buta menjadi celik. Doanya dalam hati, semoga tulisannya dan hadiahnya juga membiaskan cahaya - untuk manusia yang dia benar-benar cinta.

*****



Hujung cerita, bukan kisah Aleesya memakai tudung atau tidak yang menjadi topik utama. Kisahnya tetap sahaja tertumpu pada kita, sejauh mana kita mahu berusaha menjadi asbab hidayah Allah buat hamba-hambaNya. Pesan Ustaz Salim A. Fillah, 
"Ambil cintamu di langit, tebarkan di bumi."



Sisi pandang kehidupan : Housemate saya tak solat.


 "Engkau tahu ke ada kawan kita yang tak solat?"

"Tahu je. Ramai je aku rasa.."

"Serius la? Engkau ada buat apa-apa tak? Tegur ke, nasihat ke?"

"Ala, aku tegur bukan diorang nak dengar pun cakap aku pun. Nanti kata aku sibuk jaga tepi kain diorang pulak."

"Engkau dah tegur ke belum?"

"Belum."

"Tengok? Belum tegur engkau dah prejudis dengan diorang. Mana tahu kalau diorang terima. Kita sibuk jaga tepi kain diorang, bukan selak kain diorang. Jangan risau la."

Sisi kedua

“Dia solat tak kat rumah?” Amirul mula bertanya dengan nada yang agak perlahan. 

Senyap.

“Aku selalu tengok dia takde masa kita solat sama-sama dekat mowassa. Bukan sekali, banyak kali dah aku perasan ni. Kau housemate dia takkan tak tahu?" Amirul terus bertanya.

Ahmad masih senyap, serba salah.

"Engkau janji tak cerita dekat orang lain?" Ahmad mula bersuara.

"Aku tak cerita dekat orang. Ini pun ada ikhwah yang cerita dekat aku, sebab tu aku baru perasan. Betul la maksudnya? Aku tanya engkau, sebab mana tahu kalau dia solat dekat tempat lain. Fitnah pula jadinya."

Ahmad sekadar mengangguk. Riak muka jelas menunjukkan dia rasa bersalah dengan situasi yang berlaku.

Petang itu, Afiq tidak datang ke kuliah. Melihatkan Ahmad jalan pulang berseorangan, Amirul mengambil kesempatan untuk bertanyakan persoalan yang selama ini terbuku di hatinya berkenaan Afiq, housemate kepada Ahmad. Sudah lama Amirul perasan ketiadaan Afiq ketika mereka solat Zohor secara berjemaah di luar lecture hall. Dan pengakuan Ahmad bahawa Afiq sememangnya tidak solat ternyata meresahkan hatinya.

"Aku kena buat sesuatu!" Amirul membulatkan tekad.


Sisi Ketiga

Azan maghrib berkumandang.

Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar Allahu akbar

Asyhadu an la ilaha illallah
Asyhadu an la ilaha illallah

Asyhadu anna Muhammad ar-rasulullah
Asyhadu anna Muhammad ar-rasulullah

Hayya ala as-solah
Hayya ala as-solah

Hayya ala ak-falah
Hayya ala ak-falah

Allahu akbar Allahu akbar
La ilaha illallah.

Ahmad bersiap-siap untuk ke masjid. Laptop dibiarkan terus terbuka. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengerling ke bilik Afiq. Afiq masih di hadapan laptopnya dengan headphone di telinga. Ada satu-satu masa, Ahmad merasakan headphone itulah yang memisahkan mereka sebagai ahli beit. Jeritlah sekuat hati pun, pasti tidak didengari si pemakai. Sama ada memang tidak dengar, ataupun mereka sengaja tidak mahu dengar.

Bukan sekali dua dia mengajak Afiq untuk solat berjemaah bersama-sama di masjid. Sudah banyak kali. Sejak kali pertama mereka tinggal serumah, Ahmad tidak pernah lupa untuk mengajak Afiq dan ahli rumahnya yang lain untuk solat di masjid. Cuma apabila Afiq bersikap dingin dan bermasam muka kerana Ahmad 'terlalu kerap mengajaknya untuk solat', Ahmad sudah tidak lagi seperti dahulu. Dia sepertinya sudah putus asa dengan sikap Afiq.

Sisi realiti.

Afiq memandang laptop di hadapannya. Permainan Dota 2 yang dimainkannya sebentar tadi dibiarkan begitu sahaja. Fikirannya kosong. Matanya tertancap pada skrin laptop, tetapi lamunannya entah ke mana. Dia kecewa. Dia menyesal. Seawal dia menjejakkan kaki ke bumi Mesir, dia tidak pernah solat. Berasal daripada keluarga yang langsung tidak menitikberatkan soal agama dalam kehidupan sememangnya memberi kesan yang besar. Sangkaannya bahawa dia akan berubah dengan suasana persekitaran di Mesir ternyata meleset.

Bukan Afiq tidak dengar azan sebentar tadi, dia dengar.

Bukan Afiq tidak perasan Ahmad ada berhenti sebentar di pintu biliknya.

Bukan dia tidak mahu solat, tetapi dia malu. 

Tok! Tok! Tok!

Pintu rumahnya diketuk orang.

"Eh Ahmad lupa bawak kunci ke? Bukan dia baru je keluar tadi pergi masjid?" Afiq bermonolog dalam hati sambil menuju ke arah pintu rumah.

Assalamualaikum..!

"Waalaikumussalam." Afiq menjawab sambil membuka pintu rumah.

"Eh Amirul rupanya. Dari mana ni? Masuk la dulu." ujar Afiq sedikit terkejut.

Mereka tidaklah begitu rapat pada mulanya. Namun setelah Amirul menolong mereka ketika urusan perpindahan rumah awal bulan lepas, mereka menjadi semakin rapat. Kebetulan juga mereka berdua berkongsi lecture group dan section practical yang sama, jadi lebih keraplah mereka berjumpa. Perwatakan Amirul yang sopan dan mesra juga sedikit sebanyak mempengaruhi Afiq untuk mendekatinya. 

"Aku dari rumah Syafiq tadi. Ada bincang-bincang sikit pasal assignment. Kebetulan masa jalan kaki nak balik rumah tadi dah azan maghrib, aku datang ziarah sini. Nak tumpang ambil wudhu'. Boleh kan?" Amirul tersenyum sambil membuka kasut yang dipakai.

"Boleh je. Bilik air ada dekat sebelah bilik tu."

Afiq serba salah jadinya. Dia sendiri yang belum berwudhu' melihat sahaja Amirul membongkok membasahkan wajah. Tanpa disedari, ada butiran jernih mengalir dari matanya. 

Afiq menangis.

"Dah ada wudhu' dah Afiq?"

"Eh engkau kenapa? soal Amirul apabila dia menyedari keadaan Afiq.

"Ajarkan aku ambil wudhu'! Aku bukan tak mahu,aku tak tahu." Afiq mengaku dengan mata yang berkaca.



*******

Hidup ini, kita boleh lihat dari pelbagai sisi.

Yang pasti, kita sudah berada di penghujung usia dunia.

Cuma kadang-kadang kita lupa.

Bukan sedikit orang yang mahu menyebarkan syiar Islam di akhir zaman ini. Cuma terkadang kita terlalu tergopoh-gapah dalam berdakwah. Selalu benar culas untuk bermula dari bawah. Kita banyak menyentuh soal aurat, soal ikhtilat dan sebagainya sampaikan kita lupa pada titik mulanya semua perkara itu terus membarah.  Kalau air melimpah dari baldi, tutup terus paipnya.,bukan sekadar lap air yang melimpah.
"Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah berfirman: " Lihatlah (hai para malaikat) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?' Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu" (Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah )
Firman Allah s.w.t:

"Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’’ 
(Surah Al-Ankabut, 45)

Soalan cepumas:

"Kamu sudah solat?"

Kalau sudah solat, kenapa masih ada ikhwah/akhawat lain yang masih belum solat?


Cerpen : In Case Kau Terlupa (akhir)


Buku Kimia terbongkang di atas meja. Soalan equilibrium yang Farah tanya tadi cuba dijawab bersama.

Sudah seminggu berlalu, dan dia cuba menyejukkan hati sendiri. Dia sayang Farah, kenapa tiada orang yang faham? Dia tidak sentuh, keluar pun berteman, sama-sama membaiki diri, oh, cara apa lagi tidak kena?

Hari ini, dia berbincang dengan Farah untuk persediaan quick quiz nanti.

“Kalau pressure increase, Kp tak berubah, dan equilibrium will shift to the side of less concentration of mole.”

Farah mencatit di atas kertas, mengisi ruang kosong pada garisan jawapan. “Oh, kiranya bila volume increase, pressure decrease, so the equilibrium will shift to... to the side of higher concentration of mole, lah? Ok, Alhamdulillah dah faham.”

Faiz terus memandang nota berwarna warni milik Farah. Dia tidak lagi menceritakan kisah hari itu pada Farah, meski sudah seminggu berlalu.

Seminggu juga kurang ditegur sapa sahabatnya. Seminggu juga dia makan sendiri sarapan pagi yang selalunya berteman. Ah.

Mengabaikan rasa hatinya, disambung bacaan pada nota tadi.

‘Manusia ni kena bersederhana. Wasatiyyah.’

Suara Farhan tiba-tiba tercampak keluar dari ingatan. Berdengung suara sahabatnya, sewaktu mereka baru mengulangkaji tajuk equilibrium minggu-minggu lalu.

‘Allah ajar wasatiyyah ni, macam equilibrium. Kau tengok. Tengah-tengah ada anak panah, membahagi bahagian kiri dan kanan.

Bila satu berubah, equilibrium will shift to other side to revert the change to original value back.

Satu bahagian ialah rohani untuk jiwa kita. Yang sebelah lagi jasmani untuk luaran kita. Kalau ada elemen wasatiyyah ni, kita akan ada check and balance, adakah betul hidup kita seimbang terisi.’

Dan Farhan terbungkam sendiri di situ.

‘Tapi manusia selalu lupa, untuk seimbangkan. Sebab yang jaga equilibrium tu, adalah diri sendiri. So, kalau kita terlupa, takut kita tak ter-shift the equilibrium...’

Farhan menyambung,’..back to original value.’

Original value = fitrah. Fitrah adalah suci. Benda yang Allah datangkan sebagai hadiah.

Fitrahnya dia, kepada perempuan yang baik untuk dijadikan teman.

Namun lupanya dia, fitrahnya yang satu lagi senget tidak terisi. Banyak masa, banyak perkara, dan diutamakan adalah Farah. Sebab mengikut firasat sendiri, dia sendiri mahu memiliki Farah, namun dia terlupa.

Fitrah ber-Tuhannya.

Fitrah menghambanya.

Ada sesak dalam sendi dan rongga. Faiz mencongak sendiri ketukan pada diri. Apakah ini jalannya, mengisi fitrah hati pada Farah untuk mengisi fitrah menghamba pada Tuhannya.

Terdiam. Oh, dia benar terlupa.

Oh, Farhan sendiri terasa hatinya tercucuk.

Suara Farhan terngiang. ‘Aku cuma sampaikan. In case kau terlupa.’

Dicapai beg di sebelah.

*****

Pintu bilik terselak. Ada wajah yang sudah seminggu basi daripada kemesraan biasa.

“Kenapa baru hari tu, kau mahu mengingatkan?” Suara Faiz.

Farhan memanah pandangan masuk ke dalam mata Faiz. “Aku minta maaf. Aku takut kau terasa.”

“Padahal aku terasa juga, kan? Lagi-lagi yang menegur pun setelah aku kena ‘bahan’ dengan orang, kena pandang semacam?”

Terkehel urat leher Farhan. “Aku minta maaf.”

Faiz mengambil tempat di sebelah Farhan. “Ingatkan aku, in case aku terlupa.”

“Aku kan sayang kat kau.”

“Tapi kau terlebih sayang! Takut nak menegur. Aku tak sedar dulu.”

Farhan menggamit tangan Faiz. “Faiz, aku nak tegur kau bukan semata dalil la taqrabu zina, walaupun memang ayat itu ayat hukum mencegah manusia dari perbuatan tu. Tapi ada ayat lain yang aku nak kita faham.”

Kening Faiz terangkat. Ada lain?

“Bismillahir rahmanir rahim.”

Faiz memandang Farhan.

“Kalau kita sedar betapa kasih sayang Allah, sampaikan Dia bagi fitrah kita untuk menyayangi dan membalas sayang itu, kita akan tahu siapa diri kita, Faiz.

Sampaikan, Allah memberi kasih sayang-Nya, padahal manusia mungkin memberi semula kasih sayang itu bukan selalunya pada Dia.”

Dan itu baru permulaan kembalinya manusia.

---------------------------------------------------------------------------



Post Konfeksi :

 اِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَاِيَّاكَ نَسۡتَعِيۡنُؕ Kepada Engkau ya Allah kami menyembah (segala kehidupan, nyawa harta dan segalanya) dan kepada Engkau kami meminta pertolongan.

Lafaz cinta, saban hari kita sebut,

"Eh Eh, ada rasa tak kat hati? " Allah..

Sumber : Batu dan Kerikil

Cerpen- In case Kau Terlupa (2)

Siri sebelum ini:
Cerpen- In case Kau Terlupa (prolog)
Cerpen- In case Kau Terlupa (1)

Suara Faiz dari tingkat atas bergaung turun ke tingkat bawah. Sahabatnya itu sedang menuruni tangga dengan tangan sibuk memegang telefon, menjawab panggilan mungkin.

Farhan pula di dapur, menggeledah peti ais mencari jika ada yang menarik untuk diisi perutnya.

‘Kalau ada apa-apa, bagitahu Izz. InshaAllah, Izz cuba tolong.’ Suara Faiz, di hujung talian, sambil membahasakan dirinya ‘Izz’.

Farhan meletakkan bungkus roti di atas meja, sambil cuba menangkap butir bicara Faiz dan Farah. Selalunya, memang Faiz ringan tulang untuk membantu Farah apa pun jua. Dahulu, Farah pernah kehilangan beg dan segala isi di dalamnya, maka Faiz lah yang terawal yang ada mencari dan membuat laporan.

Saat Farah dan Faiz habis berjumpa, Faiz akan berpesan supaya berhati-hati dan jaga diri.

Jika ada keramaian, selalunya mereka boria berkongsi warna baju yang sama. Ya, sepadan.

Dan, sebenarnya hujung minggu sahaja mereka cuba keluar makan bersama, itu pun jika tidak dengannya (Farhan), mereka berteman dengan Johan, Hani atau Sam.

TEEET. Panggilan tamat. Faiz duduk di hujung meja, menghadap sahabat serumahnya.

“Aku puasa hari ini. Kau makan sendiri lah nanti tengah hari.”

Farhan mengunyah roti di dalam mulut. “Buka dengan siapa?”

Senyum. “Farah puasa. Nanti aku gi teman dia berbuka dekat Pak Ji. Ikut sekali?”

Berfikir dua kali. Tiga kali.

Menggeleng. “Sorry, aku ada hal.”

Dan hari ini, seorang Farhan tewas untuk bersabar seperti selalu.



***

“Dah solat?”

Faiz memusing kepala ke belakang. “Dah, tadi.”

Disarung kasut coklat kulit itu ke kaki, ditarik dan dikemaskan. Tingkahnya diperhati oleh Farhan. Lalu, barang dua saat kemudian, Faiz membuka langkah keluar dari pintu rumah.

Terngiang di telinga, berdengung cerita pagi tadi.

‘Farhan, aku nak tanya sikit, boleh?’

Abang Zain di depan. ‘Kenapa?’

‘Betul ke Faiz dengan Farah, sekarang ni?’

Matanya terasa mengecil. Terkejut dengan pertanyaan terus. Petang yang dingin, terasa membahang.

‘Orang ramai dah bercakap pasal dia. Kita kena tegur. Hari tu, aku ada berdehem sedikit masa terserempak dengan dia orang. Mungkin cara aku tak berkesan sangat. Tu aku ingat, mungkin kau yang patut tegur. Kau rapat dengan dia.’

Farhan menelan air liur yang tiada. ‘Sedang dalam proses.’

Abang Zain tersenyum pahit. ‘Baguslah. Aku kenal Faiz, dan aku taknak lah dia buat benda-benda tak patut. La taqrabuz zina.’

Ingatannya pergi selepas singgah.

“Aku rasa, aku kena tukar soalan.”

Kening Faiz bercantum mendengar kata-kata Farhan.

“Hmm.. ko betul-betul ke dah solat?”

Kening Faiz makin rapat berhimpit. “Aik, kan ko sendiri nampak aku solat. Kita kan berjemaah Zohor tadi.”

“Sebab tu aku tanya, betul ke kau dah solat... .”

Faiz berkerut.

“...sebab Allah kata, kalau kita ni betul solat...”

Tangan Faiz di ambang pintu bercantum dengan tangan Farhan. “...solat akan jaga kita, dari buat fahsya’ wa munkar.”

Fahsya’ wa munkar – perkara sia-sia dan yang dibenci Allah.

Serasa sesaat dua, tiada bunyi bersahut antara mereka.

Tangan Faiz kebas dalam pautan Farhan. Meski bukan jarang mereka bertepuk bertampar, berlaga kulit dan isi dalam segala acara, namun kali ini sentuhan Farhan terasa lain.

Bertambah kebas, adalah jiwanya. Seolah terhenti berdenyut.

Farhan memandang Faiz. “Aku minta maaf, kalau kau terasa. Aku cuma sampaikan, in case kau terlupa.”

Serasa lagi, ada jeda pada masa yang menelan konversasi, daripada menjadi seperti selalu. Faiz terdiam, tidak tahu membalas. Diangkat semula tali beg kulit yang sudah melurut turun ke bawah bahu, dan dicapai tangan satu lagi memegang bahu Farhan.

“Aku harap kau stand beside me, when people down with me.”

Farhan tersentak.

“Aku ingat kau tak termakan dengan kata-kata orang. Aku ingat, kau akan sokong aku. Apa dah jadi dengan kita? Sinisnya kau tidak mahu menerima.”

Dan cantuman tangan tadi berserak, sambil Faiz turun dari tangga menghilang dan terus pergi.

Entah hati siapa yang terluka.

Dia yang kononnya mahu menegur dan itulah yang dia berbuat tadi.

Atau Faiz yang terluka dengan retaknya katanya tadi?

"Bukan aku tidak mahu menerima kau, tetapi perbuatan dosa kau."

(bersambung..)

Cerpen- In case Kau Terlupa (1)

sambungan Prolog


Namanya Farah. Farah Adlina binti Rasydan. Pelajar sama umur dengan mereka, cuma bukan sekelas. Dan Farhan sendiri hanya kenal cik Farah itu dua minggu lepas, setelah Faiz membuka cerita.

Itu pun setelah sekian lama sebenarnya disorok daripada timbul di permukaan.

Sejak itu, dia mula melihat. Melihat perubahan Farhan yang sedikit demi sedikit positif.

Dia teringat saat pertama mereka bertemu di rumah 7205 dulu, bukannya sama seperti kini. Faiz, seperti manusia lain yang baru memulakan pengajian dan menyantuni kehidupan selaku mahasiswa, dengan beberapa masalah peribadinya yang menimbun, oh, nyata berbeza dengan dia hari ini.

Melalui usrah, melalui majlis-majlis ilmu dan melalui persekitaran yang baik, Faiz dan Farhan keduanya berusaha menjadi manusia lebih baik. Melazimi solat jemaah sekurangnya solat Maghrib dan Isyak, membaca Ma’thurat di fajar dan sore, dan cuba memaknakan Muslim.

Muslim. Oh, sakit kepala Farhan memikir. Tidak mampu dilelap mata, dengan sarat fikiran berfikir itu dan ini.

‘Kalau kau bukan sahabat aku, teman serumah aku, aku tak serisau ini, Faiz.’

Dia mengiring ke kiri, berpindah arah. Di depannya, Faiz sudah nyenyak berdengkur di atas katilnya.

‘Tapi Farah bukannya calon yang tidak baik. Aku rasa sepadan dengannya.’ Tingkah hati sebelah lagi.

‘Argh. Apa aku fikir ni? Kau merelakan sahabat kau sendiri?’

Hatinya berlawan lagi. ‘Apa, berdosa besar kah apa yang mereka buat? Mereka bukan berpegang tangan, dan aku rasa, takkan lah jatuh iman Faiz nak buat perkara buruk macam tu?’

Pantas, bahagian hatinya menolak dakwaan. ‘Farhan, apakah hanya namanya dosa besar sahaja masuk neraka? Apakah kau yakin, manusia akan maksum, sangat pasti tidak berbuat dosa?’

Bahagian hati yang sebelahnya terdiam.

‘Farhan, agak-agak kau, apa pandangan Allah dengan mereka?’

Farhan terdiam. Bermusyawarah dengan hati sendiri. Dia tahu Faiz tidak pernah lewat solatnya. Dia tahu juga, rumah dan bilik juga cantik berkemas, jarang bersepah.

Dia tahu juga, persis seorang Faiz bukan buaya darat mahupun tembaga. Bukan lelaki yang tidak tahu usul tanggungjawab dan amanah. Soal hati dan perasaan untuk dijaga.

Dia tahu juga, dengan Faiz rapat dengan Farah, perempuan itu mula melabuhkan dan melonggarkan pakaiannya lagi. Farah sudah mula menggeluti majlis ilmu dan bertanya soal agama.

Sekurangnya, ada baiknya.

Hatinya memintas. ‘Ada yang baik, tidak menafi dosa yang buruk.’

Farhan menghempas badannya ke atas tilam, benar-benar berbaring menelentang. Ya, syarat amal diterima ikhlas dan mengikut apa Allah gariskan. Apa kiranya solat tetapi bertudungnya tidak? Apa kiranya tidak berpuasa tetapi bersedekah selalu?

Dipandang lagi Faiz di depan. Sahabat, kalaulah kau tahu sayangnya aku pada kau.

‘Apa pandangan Allah pada mereka?’

Dan malam itu terasa lambat sahaja melabuhkan pagi.

(bersambung)

Cerpen- In case Kau Terlupa (Prolog)


Aku minta maaf, kalau kau terasa. Aku cuma sampaikan, in case kau terlupa.”
“Kalau kita sedar betapa kasih sayang Allah, sampaikan Dia bagi fitrah kita untuk menyayangi dan membalas sayang itu, kita akan tahu siapa diri kita, Faiz.

Sampaikan, Allah memberi kasih sayang-Nya, padahal manusia mungkin memberi semula kasih sayang itu bukan selalunya pada Dia."

p/s: In case aku yang terlupa, kau tolong ingatkan ya? :)

*****

Pre-konfeksi

 بِسۡمِ اللهِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِيۡمِ

Dengan namanya, yang Maha Segala Hebat Pengasih pada Semua dan Penyayang pada Hamba-Nya yang taat.

Jika benar kita tahu kasihnya Allah, apakah ruang kasihnya itu mampu terganti?

Ah. Dua cinta ini. Bahkan lebih. 
Cinta itu datang dari yang Satu Esa, mengapa memisah tanpa sedar? 
Oh, in case terlupa.


Ini cerita dari saudara kepada saudaranya.
Betapa, aku katakan bukan kerana benci,
Tetapi sayangku padamu.

*****

Dia kawan aku. Sahabat bagi aku. Meski bukan selalu aku bersamanya, tetapi disebabkan aku sebumbung dengannya di rumah penginapan pelajar, aku sendiri seolah bahunya melepaskan bebanan dan telinga yang ditadah untuk berkongsi cerita.

Pelbagai cerita.

Hal pelajarannya yang kian hari semakin membagus, hal ibu bapanya yang kadang berhentam dan berbaik, hal kewangan, hal sakit badan dan kepala, hal ... banyak perkara yang dibincang dan dikongsi. Hal negara dan global juga kiranya.

Termasuk cerita itu.

Cerita yang mahu dicerita ini.

“Nah, air dah siap!” Depan mata, terhantar satu mug air berbau pekat, warna coklat cair. Serta merta, hilang suara dari mana tadi berbisik mahu bercerita.

Faiz Haikal duduk di sebelah, setelah mug berpindah tangan. “Jauh berfikir?”

Farhan, tersengih. “Ya, masalah negara.”

Air dihirup perlahan. Faiz menghala pandang pada teman di sebelah. “Kau nampak berahsia akhir-akhir ini, Han. Ada kau sembunyi apa-apa dari aku?”

“Masalah negara, bukan semua patut tahu.”

KELETANG. Mug diletak atas meja. “Ceh, main tarik tali dengan aku. Ceritalah.. .”

Farhan membengkok senyum yang lurus. “Nantilah, one fine day...”

Bahunya ditepuk perlahan. Berkongsi senyum, dan terus menghabiskan minuman. Faiz dengan sekali teguk, menghabiskan isi di dalam mug. Tersandar badannya di belakang, menghadap kerusi.

“Alhamdulillah, sedap jugak pekena kopi susu malam-malam macam ni, Han. Okey tak aku buat?”

Farhan perlahan mengangkat ibu jari keluar. “Lulus.”

“Lulus lah nak kahwin?”

Farhan tersengih lagi. Lulus dengan syarat manusia. Harapnya lulus juga dengan syaratnya Tuhan.

*****

‘Aku tak pernah rasa macam ni. Seumur hidup.’

‘Aku nak jaga dia baik-baik, Han. Kalau boleh, aku nak dia sah untuk aku.’

‘Kau doakan tahu, aku dengan Farah. Aku akan jaga dia baik-baik.’

(Bersambung..)

[ISLAH] : Ilmu bukan pada pointer(?)



Manusia yang bernafas dalam jiwa hamba, pasti mengerti manifestasi kehidupan di dunia. Laksana ombak di lautan yang luas. Adakalanya bergelora kencang adakalanya mengalir tenang. Laksana meniti di titian, tidak selamanya lurus dan mudah. Tidak mahu tidak, setiap makhluk ciptaan Allah pastinya akan melalui ujian dalam hidupnya. Bukankah orang beriman itu pasti diuji?

Adakah patut manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman” sedangkan mereka masih belum diuji dengan sebarang ujian?
[Al-Ankabut : 2]

Bukankah seorang doktor itu pasti diuji?

Begitu juga sebagai seorang pelajar,seorang mahasiswa. Sudahlah hidup dihimpit dengan ujian daripada Allah S.W.T untuk hidup di negara orang, jauh daripada keluarga tercinta di Malaysia dan sebagainya. Kemudian ditambah pula dengan ujian yang dicipta oleh manusia itu sendiri, yakni peperiksaan.

Tanya sahaja pada kebanyakan mahasiswa, siapa di antara mereka yang menyukai peperiksaan? Mahasiswa mana yang berasa seronok dan teruja mengetahui tarikh peperiksaan semakin hampir tiba? Siapa? Jarang sekali wujud mahasiswa sedemikian. Kebanyakannya merasakan peperiksaan merupakan suatu beban kepada diri masing-masing. Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa peperiksaan itu langsung tidak penting. Peperiksaan itu dunia semata-mata kata mereka.

“Kita belajar mengejar ilmu,bukan pointer.”tegas mereka.


Lebih teruk lagi, ada segelintir pelajar yang langsung merendahkan kepentingan peperiksaan ke tahap yang paling bawah.

“Lulus atau tidak apa aku kisah?”kata mereka,bongkak.

Namun,ada juga segelintir pelajar bijak yang melihat peperiksaan itu tidak lebih daripada sekadar halangan dalam laluan mencapai kejayaan.

Peperiksaan itu amanah yang dipikul.

Ya, peperiksaan itu amanah. Tanggungjawab yang terbeban di pundak setiap pelajar. Ada betulnya kenyataan “ilmu bukan pada pointer” yang menjadi pegangan sesetengah mahasiswa. Tapi apakah prinsip itu valid di hadapan pegawai yang menguruskan biasiswa ketikamana biasiswa tersebut ditarik akibat pointer kita yang tidak memuaskan? Apa perasaan seorang ibu,seorang ayah apabila mendapat tahu anak mereka,lagi-lagi yang dihantar belajar jaug belajar di luar negara gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan?

Ini persoalan yang perlu kita fikirkan. Kita hidup di dunia ini bukan berseorangan. Ada insan-insan mulia yang telah banyak berjasa pada kita yang ingin melihat kita berjaya. Tidak mahu tidak, kita perlu menerima hakikat kejayaan dan kesungguhan seorang pelajar itu diukur berdasarkan pencapaiannya di dalam peperiksaan. Sebagaimana seseorang yang mengaku beriman perlu diuji oleh Allah untuk mengetahui tahap keimanannya, begitu juga seorang mahasiswa. Perlu diuji untuk untuk mengetahui di tahap mana mahasiswa tersebut dalam bidang ilmu yang diceburi.

Bersungguh-sungguh kerana Ilmu


Disebabkan itu, setiap mahasiswa dituntut untuk menuntut ilmu dengan gigih dan bersungguh-sungguh tapi bukan kerana peperiksaan semata-mata,tetapi kerana ilmu itu sendiri. Jadikan peperiksaan itu sebagai batu loncatan untuk menjadi penuntut yang lebih baik, pengukur prestasi dari semasa ke semasa.

“…Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Ali-Imran : 159)

Apakah sekarang kita masih memandang rendah pada peperiksaan?

Jangan. Peperiksaan itu sebenarnya merupakan salah satu method ujian daripada Allah kepada hambanya secara tidak langsung. Malah kita bukan sahaja membawa figura seorang pelajar, imej dan nama baik ibu bapa turut sama terjejas andai kita gagal mendapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan.

Perlu untuk setiap mahasiswa menyedari bahawa ujian itu bukanlah suatu bencana mahupun musibah.. Namun ianya penentu kemampuan dan prestasi seorang hamba,seorang mahasiswa. Maka marilah kita berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu dengan niat dan tujuan untuk menyebarkan lagi syiar Islam. Semoga kejayaan kita bukan sahaja dalam peperiksaan di dunia, malah tetap lulus dan cemerlang dalam ‘peperiksaan’ di akhirat kelak.

InsyaAllah.

[ISLAH] : Cahaya yang Menerangi

كن عالماً أو متعلماً أو مستمعاً أو محباً ولا تكن الخامس فتهلك

“Jadilah kamu orang yang berilmu atau orang yang mempelajari ilmu atau orang yang mendengar dalam majlis ilmu atau orang yang cintakan ilmu. Jangan kamu menjadi orang yang kelima nescaya kamu akan binasa”
[Hadis]

Sebuah kisah


Ini kisahnya Imam Syafie. Seorang pencinta ilmu. Suatu hari, beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Setibanya beliau di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Usai solat, beliau terpandang satu majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat di dalam masjid tersebut. 

Itulah Imam Malik. Ketika itu beliau sedang mengajar anak-anak muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah S.A.W. Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Lantas Imam Shafie mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, perbuatan dan tingkah lakunya disedari oleh Imam Malik.
Usai pengajian, Imam Malik memanggil Imam Shafie dengan niat untuk menegur beliau. Pada sangkaannya, Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika beliau sedang. Imam Malik bertanya kepada Imam Shafie: 

“Apakah kamu berasal dari Makkah”. 

“Benar”. Jawab Imam Shafie.

“Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?” soal Imam Malik.

 “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya” Jawab Imam Shafie,jujur.

Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata:

“Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja”.

“Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu.” kata Imam Shafie.

Maksiat yang menghijab

 شكَوْتُ إِلَى وَقِعٍ سُوْءَ حِفْظى 
فَأَرْشَـدَنِي إلى تَرْكِ المَعاصِي
وَأَخْـبَرَني بِـأَن العِلمَ نُـورٌ
ونُـورُ اللهِ لا يُهدَي للعَاصى

“Aku mengadukan perihal keburukan hafalanku kepada guruku(Imam Waki’ bin Jarrah)
(Guruku) lalu berwasiat agar aku menjauhi maksiat dan dosa.
Guruku juga berkata, ‘Muridku, ketahuilah bahwa ilmu itu adalah cahaya.
Dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang-orang yang suka berbuat maksiat.”

Tinggalkan maksiat!
Itulah antara pesanan Imam Waki' kepada Imam Syafie.

Imam Syafie sendiri sekalipun,berkurang hafalannya kerana maksiat,apatah lagi kita manusia yang entah di mana tarafnya kita di sisi Allah S.W.T. 

Aku buat maksiat. Result aku okay (?)




Result itu bukan ilmu,pointer bukan cahaya. Peperiksaan itu amanah, rintangan di sepanjang perjalanan dalam menuntut ilmu. Andai kita melihat kedudukan ilmu pada pointer semata-mata, maka kita telah tersilap sebenarnya. Sebagaimana luasnya cakupan sinaran cahaya matahari menerangi bumi, begitulah luasnya ilmu pengetahuan.

Sekiranya kita masih tegar melakukan maksiat, percayalah ilmu yang ada pada kita pada saat itu bukan lagi cahaya. Ilmu itu cahaya yang menerangi jiwa. Namun tidak pula menerangi orang-orang yang berbuat maksiat. Hakikatnya jiwa seorang pemaksiat (seperti kita) kelam tanpa cahaya. Namun tampak terang bercahaya,kerana bijaknya syaitan yang merajai jiwa. Kalau benar kita seorang yang berilmu, ilmu yang kita perolehi itu (insyaAllah) akan membuatkan kita takut untuk melakukan maksiat pada Allah.

                                                           إنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء
(Sesungguhnya yang takutkan Allah itu di kalangan hamba-Nya ialah para Ulama’) [al Fatir : 28]

Hak sebenar seorang mahasiswa

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها

“Hikmah (ilmu)itu adalah barang yang hilang milik orang yang beriman. Di mana saja ia menemukannya, maka ambillah.” (HR. Tirmidzi) 

Pesanan Imam Syafie rahimahullah :

“Barangsiapa ingin agar Allah membukakan hatinya atau meneranginya, maka dia harus meninggalkan pembicaraan yang tidak bermanfaat, meninggalkan dosa-dosa, menghindari perbuatan-perbuatan maksiat dan menyembunyikan amalan yang dikerjakan antara dia dan Allah. Jika dia mengerjakan hal tersebut, maka Allah akan membukakan ilmu baginya yang akan menyibukkan dia dari yang lainnya. Sesungguhnya dalam kematian terdapat perkara yang menyibukkan.” 

Mari bersama mengembara mencari cahaya. Didik jiwa untuk menjadi pencari ilmu yang berjaya bukan sahaja di dunia,malah turut menggapai redha untuk kejayaan di akhirat kelak. Tanamkan dalam hati kita,supaya dengan cahaya ilmu yang menerangi jiwa mampu menjadi sumber cahaya kepada jiwa-jiwa lain yang masih alpa.

Teguhkan dalam hati,syurga Allah di akhirat lebih nikmat.
Dan azabnya di neraka kelak jauh lebih dahsyat.

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.