Stanza Mahabbah

We are Family :)

Sisi Pandang Kehidupan : Housemate saya tak tutup aurat


A secret makes a muslimah muslimah.”

Itu quote yang Kakak Nusrah kongsikan sebagai penutup usrah minggu itu. Kakak naqibahnya memang begitu. Selalu sahaja berkongsi kata-kata yang memberi kesan kepada hati-hati mereka.

“Siapa nak kongsi dengan semua orang dekat sini apa yang dia faham dengan quote ni?”

Kakak Nusrah membuka ruang untuk interaksi dua hala. Namun tiada respons.

“Okeylah. Sebab takde yang nak cakap, dan masa pun dah lambat, biar akak sendiri yang terangkan. Tapi ini apa yang akak faham la ye.”

"Yang dimaksudkan dengan secret ni - pada akak - bukanlah kita perlu berahsia dengan orang lain. Ya, memang ada suatu ketika kita perlu berahsia. Apa lagi kalau rahsia itu melibatkan aib diri kita. Tapi maksud secret kali ini yang akak suka nak berkongsi adalah mengenai sikap malu. Sikap yang wajib ada dalam diri kita semua sebagai seorang muslimah.

Balik Malaysia tahun lepas, ibu akak pernah cerita dekat akak.

Katanya, zaman dahulu masa ayah akak masuk merisik, datuk dan nenek akak bagi gambar dan biodata pada ayah akak sebab ibu akak belajar dekat Sarawak. Hantar pakai surat. Kita sekarang, nak dapat gambar boleh cari dekat facebook je. Nak tahu perempuan tu suka makan apa, boleh stalk dekat instagram. Nak tau aktiviti harian dari bangun pagi sampai tidur, cari twitter si gadis dan follow je. Mudah kan?

Bukan maksud akak, muslimah yang ada facebook, yang ada twitter, yang ada instagram semua  tak tahu malu. Tapi kalau semua perkara kita nak bagitahu satu dunia, apa yang istimewanya diri kita? Maksud akak, apa yang kita tinggal untuk suami kita nanti? Habis semua kita dah kongsi dengan orang. Kesian dia nanti, kan?”

“Ehem”

Salah seorang adik usrahnya berdehem ; sengaja. Adik-adiknya semua tersenyum sendiri apabila dia menyebut perihal suami. Dia juga perasan tindakan nakal Fatin yang sengaja mencuit pinggang Hdayah yang duduk bersebelahan dengannya. Aqilah yang memahami usikan Fatin hanya memandang muka sahabat seusrahnya itu sambil menjegilkan biji mata. Sebolehnya dia tidak mahu bersuara memarahi Fatin yang sengaja mengusiknya sebagai menghormati kakak usrahnya yang sedang bercakap.

“Eh Fatin, pandai ye awak mengusik orang lain. Entah-entah nanti dia dulu yang menikah.” Ujar Kak Nusrah.

“Mana boleh akak. Nanti langkah bendul. Kami kena tunggu akak dulu.” Zulaikha mencelah.

Mereka tertawa bersama.

"Pandai pula kenakan akak ye. Akak suruh terang pasal quote tadi semua senyap. Tup tup masuk bab kahwin, laju je semua nak menyampuk sama. Okey boleh berhenti senyum-senyum kambing ye semua. Pantang akak sebut pasal suami, ceria je.”

“Sapa tak seronok sembang bab kahwin. Kan Aqilah?” Fatin masih belum selesai mengusik.

Mereka semua tertawa lagi bersama. Usrah mereka kemudian ditangguhkan selepas bacaan tasbih kafarah dan surah al-Asr.

*****



Insyirah memasukkan buku catatannya. Walaupun dia memiliki telefon pintar yang mempunyai aplikasi untuk menulis nota, dia tetap lebih selesa menulis menggunakan pensel. Lebih klasik, fikirnya. Dia memandang Kak Nusrah yang sedang bersalaman dengan ahli usrahnya yang lain sebelum berpisah. Insyirah sengaja berlambat-lambat bersiap untuk pulang membiarkan kawan-kawannya yang lain pulang terebih dahulu.

Hari itu, dia tidak aktif seperti biasa dalam usrah. Dia langsung tidak banyak menyoal seperti biasa. Selalunya dialah ang paling banyak bertanyakan soal itu ini di dalam usrah. Tetapi hari itu ada hal yang membuatkannya sedikit resah. Sebelum keluar rumah lagi, dia sudah merancang untuk berbincang dengan kakak usrahnya.

“Kak Nusrah, Insyirah nak minta tolong sikit boleh?”

“Nak minta tolong banyak pun boleh, sayang.”

Ahli-ahli usrah yang lain semuanya sudah pulang ke rumah masing-masing. Kakak Nusrah menutup pintu biliknya. Dia tahu Insyirah mahukan perbincangan tertutup dengannya kala itu. Dia yang sudah hampir dua tahun mengenali Insyirah dapat merasakan ada perkara yang tidak kena dengan anak buahnya yang seorang itu. Dan seperti mana biasa, telinganya tidak pernah lelah untuk mendengar masalah adik-adiknya.

“Ini pasal Aleesya.”

Kenapa? Housemate awak tu tak sihat ke? Sejak akak masuk clinical year dah jarang akak terserempak dengan dia.”

“Tak. Tak. Dia sihat je. Alhamdulillah.”

“Oh, okey.”

“Mungkin in bukan pasal Aleesya. Ini pasal saya dan Aleesya.”

“Insyirah bergaduh dengan Aleesya?”

“Tak. Tak. Kami tak bergaduh. Cuma Insyirah rasa bersalah.”

“Sebab apa? Insyirah buat apa dengan Aleesya?”

“Insyirah tak buat apa-apa dengan Aleesya. Dan sebab itu Insyirah rasa bersalah.”

“Maksud Insyirah?”

“Selama dua tahun saya tinggal serumah dengan dia, tak pernah sekali pun saya tegur cara pemakaian dia. Tak pernah. Saya tak tahu, tapi cerita bab aurat dah jadi macam topik taboo antara saya dan Aleesya.”

“Jadi apa yang membuatkan Insyirah rasa bersalah? Insyirah rasa bersalah sebab Aleesya tak tutup aurat atau Insyirah rasa bersalah sebab tak pernah tegur Aleesya supaya tutup aurat?”

Suasana jeda seketika.

“Sebelum akak bagi pandangan akak, ada satu benda yang akak nak betulkan. Situasi kita dengan kawan-kawan, kita tidak menegur. Tetapi kita menasihati. Insyirah tak perlu tegur Aleesya supaya dia menutup aurat. Tapi Insyirah kena nasihat Aleesya supaya dia terbuka hati untuk menutup aurat sebagaimana layaknya seorang muslimah.”

“Tapi akak, macam mana kalau dia taknak? Macam mana kalau dia merajuk dengan Insyirah?”

“Jadi akak nak Tanya Insyirah sekali lagi. Insyirah rasa bersalah sebab Aleesya tak tutup aurat atau Insyirah rasa bersalah sebab tak nasihat Aleesya?”

Insyirah diam semula. Otaknya masih berfikir. Akhirnya dia sedar. Baru sahaja dia mahu membuka mulut, Kak Nusrah terlebih dahulu menyambung semula nasihatnya.

“Insyirah tak pernah berdosa kalau Aleesya tidak memakai tudung. Insyirah tidak akan berdosa kalau Aleesya belum mahu menutup aurat. Hidayah milik Allah. Pakcik Nabi pun meninggal sebelum sempat menikmati Islam. Dan bukan salah Nabi pakcik baginda tidak berjaya memeluk Islam. Tapi Insyirah mungkin akan disoal nanti di akhirat, selama Insyirah bersahabat dengan Aleesya, apa usaha Insyirah supaya Aleesya bertudung dan menutup aurat?

Insyirah rasa di akhirat nanti ada atau tidak jawapan untuk soalan tersebut?”

“Tapi akak…”

“Awak peminat setia Hilal Asyraf kan? Apa yang dia sebut tentang cinta?”

“Cinta itu membawa ke syurga. Apa-apa yang membawa ke neraka, itu bukan cinta namanya.”

“Insyirah sayang Aleesya,kan? Kalau betul sayang, buktikan.

“Tapi akak, macam mana? Saya sudah lama macam ni. Macam-macam saya cuba fikir, tapi akhirnya saya tetap tak buat apa-apa.”

“Jujur akak bagitahu, akak tak boleh bagi cadangan apa-apa untuk masalah Insyirah. Insyirah lebih kenal Aleesya daripada akak. Dan akak yakin, Insyirah mesti tahu firman Allah tentang dakwah, tentang cara menasihati dalam Islam. Hikmah, pengajaran dan perdebatan yang baik.

“Dan akak juga taktahu, sama ada Aleesya akan marahkan Insyirah atau tidak kalau Insyirah ajak dia untuk sama-sama tutup aurat. Macam akak cakap, itu Insyirah lebih tahu daripada akak.

“Cuma akak boleh pesan, Insyirah kena kuat. Dan Insyirah kena yakin, masalah ini bukan hanya masalah berdua antara Insyirah dan Aleesya. Allah ada. Dia tahu sedalam mana cinta Insyirah pada Aleesya. Allah tahu setinggi mana keyakinan Insyirah supaya Aleesya menututp aurat. Allah tahu betapa besarnya harapan Insyirah untuk sebuah persahabatan.
“Apa yang penting sekarang, Insyirah berusaha dan letakkan setinggi-tinggi pengharapan kepada Dia. Have faith, sayang.”

Tanpa sedar, Insyirah sudah berada di dalam dakapan Kak Nusrah. Ada butir mutiara jernih yang membasahi pipinya. Perlahan Kak Nusrah melepaskan pelukan mereka seraya menuju ke meja studynya di hujung penjuru bilik. Sehelai sticky note; kertas kecil berwarna kuning air yang tertampal pada dinding dicabut dan diserahkan kepada Insyirah.
 “Hari ini; ketika banyak yang menasehati dengan aneka cara & tak mempan jua; mungkin dia bukan kekurangan nasehat. Dia kekurangan doa.” -Salim A. Fillah
“Insyirah kuat,. Akak tahu Insyirah boleh. Nasihat ini seorang sahabat pernah titipkan buat akak. Akak hadiahkan untuk Insyirah. Semoga diberkati semuanya.”

*****

Malam semakin larut. Sukar benar untuk Insyirah melelapkan matanya. Pelbagai persoalan menerjah fikirannya. Risaunya makin menjadi-jadi. Sebab itu baringnya semuanya menjadi tidak kena. Sekejap-kejap mengiring ke kanan dan kiri. Lalu akhirnya dia bangkit – duduk berlunjur bersandar di hujung katil. Wajah Aleesya yang barangkali sudah diulit mimpi indah ditatap dengan penuh kasih sayang. Sahabatnya tetap cantik, walaupun kelihatan suram berbalam-balam dibias cahaya lampu dari ruang tamu.

“Kamu pasti sahaja lebih cantik dengan hijab, sayang.” Hati Insyirah berbisik sendiri.

Dia sudah tekad. Kali ini, dia harus berani. Perlahan dia bangun dari katil seraya menuju ke meja belajar. Senyap-senyap dia membuka laci meja paling bawah - mengeluarkan kertas sehelai kertas A4. Insyirah langsung ke ruang tamu - bertemankan cahaya lampu.. Sesekali Insyirah menoleh ke bilik tidur, bimbang sahabatnya terjaga. Ternyata Aleesya masih tetap tidur.

Buat sahabatku yang cinta Allah terluah untukmu,

Hijab ini, kuhadiahkan untukmu. Percayalah, kain tudung ini hanya menutup auratmu, bukan kecantikanmu. Engkau tetap sahaja sahabatku yang sentiasa membahagiakan. Mudah-mudahan kita sama-sama bahagia di sisi Tuhan.

Yang sentiasa mendoakan,
Sahabatmu

Usai menulis, kertas itu dilipat separuh dan diletakkan di dalam beg hadiah kecil yang dibelinya bersama sehelai tudung merah jambu.. Dia berjalan perlahan kembali ke biliknya. Sampai di muka pintu, Insyirah berhenti melangkah seraya memandang ke belakang - melihat lampu yang menemani malamnya kala itu. Yang mengubah gelap menjadi terang, yang buta menjadi celik. Doanya dalam hati, semoga tulisannya dan hadiahnya juga membiaskan cahaya - untuk manusia yang dia benar-benar cinta.

*****



Hujung cerita, bukan kisah Aleesya memakai tudung atau tidak yang menjadi topik utama. Kisahnya tetap sahaja tertumpu pada kita, sejauh mana kita mahu berusaha menjadi asbab hidayah Allah buat hamba-hambaNya. Pesan Ustaz Salim A. Fillah, 
"Ambil cintamu di langit, tebarkan di bumi."



Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.