[EXAM AKU DATANG] Kalam Taujihat Ketua Batch Sempena Peperiksaan.



Assalamualaikum w.b.t,

Segala puji bagi Allah SWT pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat r.a , tabi’ tabiin serta tidak lupa juga kepada mahasiswa dan mahasiswi warga Stanza Mahabbah yang dirahmati Allah sekalian.

Mahasiswa mahasiswi sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, peperiksaan bagi semester ke-5 bakal menjelma tidak lama lagi. Justeru, saya mewakili Organisasi Batch Stanza Mahabbah sesi 2013/2014 untuk memanjatkan doa dan iltizam yang tinggi kepada Allah S.W.T agar seluruh warga Stanza Mahabbah dapat menempuh peperiksaan ini dengan penuh ketenangan dan mencapai kejayaan yang cemerlang insya-Allah.

Peperiksaan merupakan satu medan kita semua untuk menguji sejauh mana pemahaman kita berkenaan ilmu yang telah kita pelajari. Walaupun banyak persepsi dan pandangan kita terhadap peperiksaan yang saban semester kita hadapi, namun ia tetap juga satu wasilah atau medium kita menyalurkan tahap kefahaman kita dalam subjek yang telah diambil.

Walaubagaimanapun ,terdapat segelintir pihak yang sering mengambil remeh dan sambil lewa bila diperkatakan soal peperiksaan ini. Ada yang berkata, “alah, buat pe nak exam-exam..al-ilmu fi sudur, wa laisa fil kutub la…tak exam pon memang aku dah cerdik pon”. Ada juga yang sering kedengaran berkata, “kalau tak lulus exam pon kite boleh berjuang kan?.. perjuangan tu luas skopnye syeikh..jangan jumud..”. Tak kurang juga yang berkata, “ana tak nak dicop exam-oriented..bersungguh time exam je.. ”Memanglah, kita tidak mahu digelar seorang yang exam oriented, dengan hanya menumpukan perhatian kepada peperiksaan semata, tetapi penghayatan kepada ilmu yang dipelajari itu langsung tiada. Namun, tidak bermakna sekiranya kita mahu menolak sesuatu keadaan, kita perlu gagal dalam menghadapi keadaan tersebut. Sebaliknya kita perlu menggunakannya, supaya suatu masa nanti kita akan mampu mengubahnya.

Mengulas perilaku sebahagian pelajar apabila tibanya musim peperiksaan ini, suka untuk disebutkan soal sikap sesetengah daripada kita yang hanya berubah sikap daripada yang tidak baik ke arah yang lebih positif, apabila menjelang musim peperiksaan ini sahaja. Katanya, bila dah masuk musim ini, semua perkara perlu dijaga keberkatannya. Solatnya, pergaulannya, percakapannya dan sebagainya. Tetapi, malangnya, sesudah tamatnya musim peperiksaan itu, segala perubahan positif itu lenyap dihembus angin lembut lautan Mediterranian ini, seolah-olah,baginya, untuk mencari keberkatan Allah dalam perbuatan itu cuma bermusim. Moga-moga, dengan hadirnya musim peperiksaan kali ini, kita sama-sama dapat berazam untuk menjadi yang terbaik, di samping menjadikannya sebagai platform, turning-point atau kick-start untuk kita berubah dan membetulkan segala kekhilafan dan kesalahan yang telah kita lakukan dalam hidup kita selama ini.

Study Smart atau Study Hard?. Buat sahabat sekalian, bila tiba musim imtihan, kebijaksaan anda adalah diutamakan. Anda gunakan kebijaksaan anda merancang, menilai, mentafsir dan kemahiran berfikir dengan sebaiknya. Belajar itu untuk membina daya fikir ke arah melahirkan generasi intelektual.

Akhir kalam, ingatlah sahabat-sahabat semua bahawa setiap kejayaan memerlukan pengorbanan, setiap pengorbanan memerlukan keikhlasan dan setiap keikhlasan yang tidak bercampur dengan perkara kebatilan akan membuahkan kejayaan yang hakiki.

Salam Imtihan utk semua. Kejayaan pasti milik anda insyaAllah.

MOHAMAD THAHIR BIN MOHAMAD ZIN
Ketua Batch Stanza Mahabbah Sesi 2014

0 Ideas:

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.