[ISLAH] : Ilmu bukan pada pointer(?)



Manusia yang bernafas dalam jiwa hamba, pasti mengerti manifestasi kehidupan di dunia. Laksana ombak di lautan yang luas. Adakalanya bergelora kencang adakalanya mengalir tenang. Laksana meniti di titian, tidak selamanya lurus dan mudah. Tidak mahu tidak, setiap makhluk ciptaan Allah pastinya akan melalui ujian dalam hidupnya. Bukankah orang beriman itu pasti diuji?

Adakah patut manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman” sedangkan mereka masih belum diuji dengan sebarang ujian?
[Al-Ankabut : 2]

Bukankah seorang doktor itu pasti diuji?

Begitu juga sebagai seorang pelajar,seorang mahasiswa. Sudahlah hidup dihimpit dengan ujian daripada Allah S.W.T untuk hidup di negara orang, jauh daripada keluarga tercinta di Malaysia dan sebagainya. Kemudian ditambah pula dengan ujian yang dicipta oleh manusia itu sendiri, yakni peperiksaan.

Tanya sahaja pada kebanyakan mahasiswa, siapa di antara mereka yang menyukai peperiksaan? Mahasiswa mana yang berasa seronok dan teruja mengetahui tarikh peperiksaan semakin hampir tiba? Siapa? Jarang sekali wujud mahasiswa sedemikian. Kebanyakannya merasakan peperiksaan merupakan suatu beban kepada diri masing-masing. Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa peperiksaan itu langsung tidak penting. Peperiksaan itu dunia semata-mata kata mereka.

“Kita belajar mengejar ilmu,bukan pointer.”tegas mereka.


Lebih teruk lagi, ada segelintir pelajar yang langsung merendahkan kepentingan peperiksaan ke tahap yang paling bawah.

“Lulus atau tidak apa aku kisah?”kata mereka,bongkak.

Namun,ada juga segelintir pelajar bijak yang melihat peperiksaan itu tidak lebih daripada sekadar halangan dalam laluan mencapai kejayaan.

Peperiksaan itu amanah yang dipikul.

Ya, peperiksaan itu amanah. Tanggungjawab yang terbeban di pundak setiap pelajar. Ada betulnya kenyataan “ilmu bukan pada pointer” yang menjadi pegangan sesetengah mahasiswa. Tapi apakah prinsip itu valid di hadapan pegawai yang menguruskan biasiswa ketikamana biasiswa tersebut ditarik akibat pointer kita yang tidak memuaskan? Apa perasaan seorang ibu,seorang ayah apabila mendapat tahu anak mereka,lagi-lagi yang dihantar belajar jaug belajar di luar negara gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan?

Ini persoalan yang perlu kita fikirkan. Kita hidup di dunia ini bukan berseorangan. Ada insan-insan mulia yang telah banyak berjasa pada kita yang ingin melihat kita berjaya. Tidak mahu tidak, kita perlu menerima hakikat kejayaan dan kesungguhan seorang pelajar itu diukur berdasarkan pencapaiannya di dalam peperiksaan. Sebagaimana seseorang yang mengaku beriman perlu diuji oleh Allah untuk mengetahui tahap keimanannya, begitu juga seorang mahasiswa. Perlu diuji untuk untuk mengetahui di tahap mana mahasiswa tersebut dalam bidang ilmu yang diceburi.

Bersungguh-sungguh kerana Ilmu


Disebabkan itu, setiap mahasiswa dituntut untuk menuntut ilmu dengan gigih dan bersungguh-sungguh tapi bukan kerana peperiksaan semata-mata,tetapi kerana ilmu itu sendiri. Jadikan peperiksaan itu sebagai batu loncatan untuk menjadi penuntut yang lebih baik, pengukur prestasi dari semasa ke semasa.

“…Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Ali-Imran : 159)

Apakah sekarang kita masih memandang rendah pada peperiksaan?

Jangan. Peperiksaan itu sebenarnya merupakan salah satu method ujian daripada Allah kepada hambanya secara tidak langsung. Malah kita bukan sahaja membawa figura seorang pelajar, imej dan nama baik ibu bapa turut sama terjejas andai kita gagal mendapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan.

Perlu untuk setiap mahasiswa menyedari bahawa ujian itu bukanlah suatu bencana mahupun musibah.. Namun ianya penentu kemampuan dan prestasi seorang hamba,seorang mahasiswa. Maka marilah kita berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu dengan niat dan tujuan untuk menyebarkan lagi syiar Islam. Semoga kejayaan kita bukan sahaja dalam peperiksaan di dunia, malah tetap lulus dan cemerlang dalam ‘peperiksaan’ di akhirat kelak.

InsyaAllah.

0 Ideas:

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.