Montazah, 18 April 2014 – Program Ibadah Rakan Huffaz kembali lagi. Jika tahun lalu kita didedahkan dengan amali ibadah sembelihan. Tahun ini pula Rakan Huffaz mengadakan program “SM Hajj” iaitu ibadah rukun islam yang ke lima iaitu ibadah haji. Program amali ibadah haji dan umrah ini diadakan pada hari Jumaat di Taman Montazah, Iskandariah.
Sekitar jam 11 pagi, ahli-ahli SM
terutamanya akhawat mula tiba di pintu masuk utama taman Montazah dan disambut
oleh ajk Rakan Huffaz. Para ikhwah dan ajk RH telah tiba lebih awal untuk
membakar ayam dan menyusun atur kawasan program. Kebanyakan ahli datang dengan menaiki
kemudahan tramco kerana lebih mudah dan murah.
Taman Montazah turut dipenuhi oleh orang-orang arab tempatan yang datang
beriadah dan berkelah. Tambahan pula musim bunga yang berkunjung tiba menambah
keindahan taman dengan bunga-bunga yang
berwarna-warni.
Alhamdulillah program kali ini turut mendapat sambutan oleh ahli SM.
Walaupun ada beberapa orang yang tiba lewat kerana sibuk dengan
aktiviti-aktiviti lain, mereka tetap menghadirkan diri untuk memberikan
sokongan dan meraikan program. Setelah diberikan taklimat oleh ajk RH tentang
perjalanan program, para ikhwah mula bergerak ke masjid berdekatan untuk
menunaikan solat Jumaat. Manakala akhawat diberi ruang untuk menunaikan solat
Zohor berjemaah dan makan tengah hari. Kudapan yang disediakan ialah nasi
goreng bersama ayam bakar yang dimasak oleh ajk-ajk RH sendiri. Pada pukul satu
petang, giliran ikhwah pula untuk makan tengah hari sebaik sahaja mereka
selesai menunaikan solat Jumaat.
Slot yang pertama iaitu “Ada Apa Dengan Haji” bermula pada pukul 2.15 petang. Slot ini adalah penerangan teori
yang berkaitan dengan haji dan juga umrah. Sesi ini disampaikan oleh Ustaz
Najmi bin Yasak yang merupakan pelajar jurusan syariah Universiti Al-Azhar .
Beliau sudah pun mempunyai pengalaman berada di tanah suci Mekah dan Madinah
bagi menunaikan ibadah haji dan umrah bersama keluarganya pada tahun lepas.
Turut hadir bersama beliau dua ustazah yang juga merupakan pelajar Universiti
Al-Azhar cawangan Mandaroh, Iskandariah. Sesi soalan dibuka kepada ahli SM yang
mempunyai sebarang soalan atau kemusykilan sebelum diteruskan ke slot amali.
Setelah satu jam, program diteruskan dengan sesi amali. Slot ini
dinamakan “Perjalanan Haji Bermula”. Pada mulanya sesi praktikal ini dirancang
untuk dilakukan secara berasingan ikhwah dan akhawat. Tetapi apabila tibanya
waktu petang, kawasan taman semakin
dipenuhi pengunjung menyebabkan kekurangan ruang. Oleh itu, praktikal haji ini
dilakukan oleh seorang pelajar ikhwah dan disaksikan oleh ikhwah akhawat yang
lain. Sesi amali ini turut menunjukkan contoh cara pemakaian ihram bagi lelaki.
Program diteruskan dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada ustaz
dan ustazah tanda terima kasih atas perkongsian
mereka. SM Hajj diakhiri dengan sesi bergambar bersama-sama semua ahli
SM yang hadir sebagai kenangan. Semoga semua yang hadir mendapat ilmu dan
manfaat sebaiknya daripada program yang diadakan.
[آل عمران: 97] وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
Maksudnya : "Mengerjakan haji adalah
kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan
perjalanan ke Baitullah; Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka
sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta
alam". Al Imran: 97.
InsyaAllah moga kita semua mendapat peluang dan rezeki untuk melakukan ibadah haji di kota suci Mekah, sekurang-kurangnya sekali. Sesungguhnya menjadi pelajar perubatan bukanlah menjadi alasan untuk kita bermalas-malasan atau mengelak daripada mempelajari ilmu agama dan cara-cara beribadah yang betul. Segala peluang yang ada seharusnya direbut untuk dipraktikkan dalam kehidupan sebagai seorang muslim.