Alhamdulillah bermula semalam, Rakan Huffaz telah memulakan kembali aktiviti tadarus al-Quran dengan bimbingan sahabat-sahabat yang bertugas. InsyaAllah aktiviti ini akan terus berjalan pasa masa-masa yang mendatang. Berikut adalah petikan perkara-perkara yang boleh melembutkan hati seseorang insan.
1) Membaca al-Quran.
Apabila seseorang membaca al-Quran dengan mentadabbur (menghayati) maksudnya, boleh melembutkan hatinya.
Dalilnya, firman Allah Taala :
"لَوْ أَنْزَلْنَا هَٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۚ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ."
(سورة الحشر : ٢١)
Firman Allah Taala yang bermaksud :
"Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau akan melihat gunung itu khusyuk serta pecah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), perbandingan itu Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." (Surah al-Hasyr : 21)
2) Membaca sirah Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam.
Sesungguhnya dengan membaca sirah Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam memberi kesan yang ajaib kepada hati kerana mengingatkan seseorang tentang Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam dan boleh menjadikan seseorang itu merasakan seolah-olah hidup dengan para sahabat. Hal yang demikian, boleh melembutkan hatinya.
3) Mengasihi kanak-kanak dan berlemah lembut dengan mereka.
Sabda Rasulullah Sollallahu Alaihi Wa Sallam :
"Kasihanilah mereka yang berada di bumi, nescaya dirimu akan dikasihi mereka yang berada di langit." Hadith Sahih riwayat al-Imam at-Tirmizi rahimahullah.
4) Menghadirkan hati di dalam solat. Perkara tersebut di antara penyebab kepada khusyu' dan boleh melembutkan hatinya.
5) Mendengar nasihat dan peringatan yang memberi kesan kepada hati. Hal yang demikian, boleh menghidupkan hati dan mengalirkan air mata.
----
"Ya Allah, lembutkanlah hati kami yang keras ini dan kurniakanlah taufiq dan hidayah-Mu kepada kami."
Dr Abu Anas Madani