Stanza Mahabbah

We are Family :)

5 PESAN KHATIB JUMAAT



1-Menyambut bulan Ramadan  dengan TAUBAT dan KEMBALI kepada Allah.


"Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. Az-Zumar: 53)
Warga SM yang dirahmati Allah sekalian, seteruk mana pun kita sebelum ini, kembalilah. Kembalilah kepada Allah. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah lah kita kembali. Mari kita jadikan Ramadan sebagai satu  titik perubahan  dalam hidup kita.

2-Peliharalah PUASA kita.

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda "Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata dusta (bohong semasa berpuasa) maka Allah s.w.t. tidak berhajat padanya untuk meninggalkan makan minumnya" [Riwayat Bukhari (1804)].




Marilah kita berpuasa bukan hanya makan dan minum tetapi seluruh perbuatan dan percakapan kita juga harus berpuasa.

3-Peliharalah SOLAT  5  waktu secara berjemaah.

Rasulullah saw bersabda, “Perumpamaan solat lima waktu seperti sebuah sungai yang melimpah, yang mengalir di depan pintu rumah seorang dari kalian. Ia mandi di dalamnya setiap hari lima kali,” (HR Muslim).



Rasakanlah kelazatan dan kenikmatan Solat. Ketika berdiri, rukuk dan sujud. Hadirkan diri kita ketika solat. Insyallah kita akan dapati Solat dapat menenangkan diri kita dari keluh kesah dunia.

4-Peliharalah bacaan AL-QURAN.


Dikatakan, ada sahabat nabi saw yang mengkhatamkan bacaan Al-Quran setiap tiga hari. Jadikanlah tilawah Al-Quran sebagai wirid harian kita. Walaupun sedikit.
Ertinya : Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Qur'an, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil)…” 185:Surah AlBaqarah

5-Peliharalah infaq/SEDEQAH.

Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma berkata: Adalah Rasulullah SAW paling pemurah di kalangan manusia dan ia menjadi lebih pemurah jika pada bulan Ramadan selepas bertemu Jibril dan Jibril bertemu dengannya pada setiap malam daripada Ramadan untuk tadarus al-Quran. Adalah Rasulullah SAW lebih murah dan dermawan daripada angin yang bertiup ketika bertemu Jibril. (riwayat al-Bukhari (1902) dan Muslim (6149).



Berilah infaq untuk akaun akhirat kita. Bukankah dunia hanya persinggahan? Maka buatlah bekal untuk hari esok.
***
Selamat menyambut Bulan Ramadhan yang mulia.
Selamat beribadah.

3 JUN 2016 | JUMAAT










KEHIDUPAN IBARAT BULU TANGKIS



Kehidupan manusia  boleh diibaratkan  dengan  pelbagai  perumpamaan. Mengapa? Kerana kehidupan manusia itu penuh rencam. Kerna setiap kita memandang kehidupan mengikut kaca mata masing-masing. Semestinya kehidupan akan ada pasang surutnya. Punya sisi cerah dan gelapnya. Kadangkala terasa pahit manisnya. Mengapa? Kerana itulah kehidupan.

Pernah, sedang penulis memerhati sebuah perlawanan Badminton lantas terilham bahawa kehidupan jua boleh di ibaratkan seperti bulu tangkis.


Ada masa ia dipukul melambung tinggi ke udara. Gah. Hebat. Bertenaga. Tangan kita yang  menerbangkan  bulu tangkis ke gelanggang lawan serasa begitu berjasa. Kagum kerana serangan lawan dapat dipatah dan ditalakan semula.


Ada ketika ia di pukul laju, jatuh rapat ke lantai. Membuah kecewa pada kita namun gembira pada riak wajah lawan. Itulah yg memberi mata pada pasukan lawan. Itulah juga yang menaikkan semangat juang kita kadang-kadang. Lantas kita tersedar betapa kita belum bersungguh-sungguh dalam perlawanan atau boleh jadi kita masih bermain-main dalam bermain. Pukulan bulu tangkis itu dirasakan seolah-olah pukulan yang tepat mengena pada diri kita.

Saudara pembaca yang dikasihi Allah sekalian, hakikatnya kita adalah hamba. Hamba kepada Tuhan Pencipta. Kita diciptakan dari benih yang kecil. Sekadar dua sel yang kemudiannya berkembang dan menjadilah kita seorang manusia. Apa sekalipun yang Allah takdir, percayalah itu adalah yang sebaiknya untuk kita. Tugas kita adalah berusaha.

Awas saudara dari tertipu daripada dua hal. Hal yang pertama, saudara mendapat kegembiraan walhal kegembiraan itu semakin melalaikan saudara dari tujuan perjalanan saudara didunia ini. Hal yang kedua, saudara beroleh kedukaan sehingga saudara hilang semangat untuk meneruskan perjalanan menuju destinasi ekspedisi ini.

Ibarat bulu tangkis yang tadi jatuh dilantai memberi mata pada pihak lawan, jika saudara merasa lemah dan menyerah kalah, rugilah  saudara. Ketahuilah jika saudara kembali bangkit dengan penuh usaha, saudara mampu mengejar mata pihak lawan lantas memenangi sebuah perlawanan.


Zainuddin | 1 Jun 2016 | Iskandariah
#SMStudySMSuccess

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.