Bukan mata,tapi hati.


Hujan masih belum berhenti. Setiap kali ada sahaja yang Allah mahu tunjuk dengan aku, pasti mutiara dari langit itu turun. Ya, bunyi klise! Dramatik, entah kenapa.

-----
"Awak, nanti minta tolong bagitahu pemandu bas yang pak cik ini mahu turun di Pantai Dalam ya."

Payung dikatup. Tongkat setia di tangan kanan. Aku terpegun dari tepi. Gadis yang dititip pesan, angguk-angguk tanda faham. Gadis yang pimpin Pak Cik dari Stesen LRT itu senyum manis. Gadis biasa-biasa, tidak berhijab labuh. Tapi hatinya luar biasa, sifat mahmudah serba-serbi penuh. Kagum!

------
"Pak Cik, bas dekat depan sana. Kita jalan sedikit ya, saya bawa."
-----
"Dah sampai depan pintu nak?"
"Belum Pak Cik, sikit je lagi."
-----
"Ok, Pak Cik kena angkat kaki sedikit. Ini pintu bas."
Tangan Pak Cik sudah aku halakan pada pintu bas.
"Payung Pak Cik saya pegangkan, Pak Cik naik dahulu."
"Terima kasih, nak. Terima kasih."

Aku senyum, penat tahan sebak. Kadang-kadang orang yang cukup deria pun kelat lidah mahu ungkap 'terima kasih'.

-----
[bukan mata, tapi hati. ehsan]

Apa kau tidak cemburu teman? Kelak di akhirat, tentu sahaja hisab Pak Cik di al-Mizan diringankan. Satu nikmat dunianya telah ditarik. Kita yang sempurna deria lihat ini, perlu jawab semua dengan Allah. Jaga pandangan atau tidak? Tengok perkara lagha atau tidak?  Berapa kali guna mata untuk baca Al-Quran? Berapa kali mata keluar tangis kerana takut Allah?


0 Ideas:

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.