Exam? Tawakkal je la..


Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Selalu bermudah-mudah dengan konsep tawakkal, meskipun hanya untuk bersenda gurau? Tawakkal?

Penulisan ini bukanlah bersifat menghukum, namun hanyalah nasihat kepada umum, bahawa tidak bagus bermudah-mudah dalam konsep tawakkal itu.
"Mat, pi mangga(pedai ayam) motosikal hang tu, nanti kena curi baru tau kot..?"
"Tak pa la, tawakkal ja la.."
"Awat tak kunci pintu tu, nanti kawaq(pencuri) masuk baru hang tahwan.."
"Insya-Allah, tak dak apa-apa, natawakkal a'la Allah.."
"ala.. tawakkal ja la.."
Konsep tawakkal

Pertama, tawakkal tidak berlaku sebelum adanya usaha. Tiada tawakkal tanpa adanya usaha.
Kedua, tawakkal itu sifatnya berserah, pasrah, dan reda dengan Allah.
“Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).”(ali-Imran : 122)
Tawakkal itulah berserah diri kepada Allah. Sesudah menyusun dan mengatur persiapan, persediaan, strategi dan daya usaha. Kemudian dia menyerahkan hasilnya kepada Allah.

Tawakkal itu buah keimanan. Maka bagaimana mahu bertawakkal andai tiada subur di dada dengan iman?

Bertawakkal seperti burung?




Umar bin Khattab radiyallahu'anhu berkata, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, "Andaikan kalian tawakal kepada Allah dengan sebenarnya, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kalian seperti memberi rezeki kepada burung. Mereka pergi pagi hari dengan perut kosong dan pulang pada petang harinya dengan perut kenyang." (Shahih Tirmidzi, hasan shohih)

Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, perlulah diberi peringatan kepada diri dan sahabat-sabahat bahawa,

"Hadis ialah padang yang menyesatkan kecuali bagi para fuqaha" - Iman Sufyan Ibn Uyainah (w 198H)
Waspadalah diri kalian daripada memandai-mandai dalam mentafsirkan Hadis Nabi Muhammad s.a.w. Perkara ini juga terpakai dalam al-Quran. Kita orang awam, bukan bertaraf ilmuan, apatah lagi bertaraf ulama'. Jauh sekali daripada taraf fuqaha'. Kita beramal melalui faham ulama', bukan faham sendiri.

Baiklah, sering kali manusia mengambil contoh hadis 'tawakkal seperti burung' ini sebagai alasan supaya dia boleh bermalas-malas dalam mencari rezeki. Perhatikanlah betapa apa yang baginda s.a.w ingin sampaikan kepada kita adalah, untuk mendapat rezeki, perlulah didahului dengan usaha, bukan menunggu rezeki tiba semata-mata, sedang kita pula hanya tahu membuta(baca : tidur).

Seekor burung tidak akan beroleh rezekinya sedang dia hanya bermalas-malasan di dalam sarang. Keluarnya burung pada pagi hari adalah satu signifikasi usahanya, dan pulangnya burung ke sangkar dengan perut kenyang memanifestasikan bahawa andai tawakkal itulah yang disertai dengan usaha, insya-Allah akan Allah ganjarkan rezeki dari segenap segi. (sumber : al-Fadhil al-Ustaz Akli bin Ahmad)

Allah telah memberi pilihan kepada manusia dalam menentukan jalan hidupnya, baik mahupun buruk. Sebagai seorang Muslim yang muttaqin, pilihan kita hanya satu, menggapai reda Allah. Dan jalan untuk menggapai reda Allah itulah dengan memilih meninggalkan segala perbuatan yang mampu medatangkan murka-Nya. Memilih untuk mengikut perintah-Nya, iaitu dengan berusaha untuk menggapai reda-Nya, bukan hanya bercita-cita kosong,hidup lesu, berputus asa dan berpaling dari jalan Allah, tetapi dalam masa yang sama, reda Allah itulah yang dikehendaki.
“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah.” (Ali Imran, 3:159)

Usaha itu penting!

Tawakkal mestilah disertai dengan keyakinan yang jitu kepada Allah, satu-satunya zat yang mampu memberi manfaat dan mudarat kepada makhluk. Adapun tawakkal kepada selain daripada Allah itu tiadalah juga ia disebut tawakkal.
“Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (Ath-Thalaaq, 65:3)
Begitu banyak kisah-kisah daripada sirah hidup baginda junjungan agung, Nabi Muhammad s.a.w yang memberi makna penting di mana Rasulullah sendiri memanifestasikan tawakkal dalam sirah perjuangan baginda demi menegakkan Islam. Kita ambil contoh mudah. Peristiwa hijrah baginda ke kota Madinah bersama sahabat, Abu Bakar as-Siddiq.


Usaha baginda, bersembunyi di dalam gua bagi mengelak daripada ditemui oleh pemuda-pemuda Quraisy yang sedang menggila. Tawakkal baginda, berserah bulat-bulat kepada Allah, Tuhan yang Maha Pekuasa. Dia boleh mencipta segala apa yang dikehendaki, boleh pula tidak mencipta apa yang tidak dikehendaki. Nah, hasil tawakkal baginda, berserah bulat-bulat setelah adanya usaha, Allah telah memberi keselamatan, yang mana tiada siapa pun yang mampu menghalangnya lagi. Kisah masyhur ini barang kali sekalian sahabat sudah pun tahu. Tidak perlu dipanjang-panjangkan lagi.

Sahabat-sahabat juga mesti punya kisah sendiri. Mungkin dalam kita tidak sedar, cuba korek kembali rahsia pertolongan Allah kepada diri. Mesti ada, cumanya perlulah bermuhasabah kembali. Ya sedar tidak sedar, sudah begitu banyak pertolongan Allah kepada kita. Apakah kita masih perlu mendustakan Dia? Sudah-sudahla. Yakin dan percayalah kepada Allah.

Jadi sahabat-sahabat, dalam fatrah imtihan ini, jadikanlah diri sahabat-sahabat itu seorang yang memberi sepenuh keyakinan kepada Allah bahawa Allah akan memberikan yang terbaik kepada kita, selagi kita berusaha. Jangan pula mengeluh, kerana hakikat orang mengeluh itu, tidak reda dia dengan ketentuan Allah. Ulang kaji, study kemudian masuklah dengan yakin ke dalam dewan peperiksaan. Jawablah. Dan setelah tamat segalanya, serahlah segalanya bulat-bulat kepada Allah. Segala kemungkinan itu wujud, tetapi iktiqad kita, hanya Allah yang mampu memberi kemudaratan dan kebaikan, bukan professor, lecturer dan tukang kutip kertas jawapan tu.
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."


Koreksi diri, amalkan tawakkal sebenar dalam diri.

0 Ideas:

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.