Mencari Sultan Muhammad Al-Fateh Kedua

“...Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam.Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera..’’
         Hadith di atas pastinya merupakan hadith masyhur yang tidak asing lagi dikalangan kita dan ia merupakan antara mukjizat Rasulullah SAW ketika dalam persediaan menghadapi perang Khandak.Mukjizat itu diterima tika mana Rasulullah sedang menggali parit bersama para sahabat dan terdapat batu besar yang menjadi penghalang penggalian ketika itu.Batu itu kemudiannya dipecahkan dengan tiga kali pukulan yang disertai dengan percikan yang mana antara tiga percikan itu,Rasulullah SAW mendapat 3 bayangan dan antaranya ialah kota Konstantinopel akan dibuka oleh tentera Islam.Dan ramalan ini telah dirakamkan setelah 825 tahun kota Konstantinopel berada dalam tangan orang kafir pada tarikh serangan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh dilakukan dan tempat berlaku yang bertempat kira-kira 5000km jauhnya daripada kota Madinah.

Jika disebut Sultan Muhammad Al-Fateh pasti sahabat-sahabiah sekalian mengaitkan baginda dengan kota Konstantinopel atau dikenali sebagai Istanbul ketika ini.Baginda pastinya dikagumi oleh semua orang tidak kira bangsa atau agama.Tetapi sebagai ummat Islam,yang mempunyai ramai panglima hebat dikalangannya,adakah kita benar-benar mengenali baginda?Atau sekadar mengenali namanya sahaja?Atau baru tergesa-gesa untuk mengenali baginda tika semua orang sibuk berbicara mengenai baginda selepas kisah baginda diangkat sebagai jalan cerita sebuah filem di Turki? 

Siapa Sultan Muhammad Al-Fateh?


Sultan Muhammad Al-Fateh atau nama sebenarnya baginda Sultan Muhammad(lakaran potret di atas) dilahirkan di Edirne pada 29 Mac 1432 Masihi.Merupakan Sultan yang ketujuh daripada kerajaan Uthmaniyah.Baginda sangat terkenal dengan sifatnya yang tenang,pendiam,sabar,berani,tegas dan sangat cintakan ilmu.Baginda juga merupakan seorang yang sangat tawwaduk sehingga para ulama serta para pemimpin begara ikut serta dalam membina Benteng Bereli Hassan apabila melihat baginda sama-sama membuka serban dan bajunya untuk mengangkat batu dan pasir.

Kehebatan baginda terserlah dengan menguasai pelbagai ilmu dalam pelbagai bidang antaranya seperti ketenteraan,sains,kejuruteraan,falsafah dan matematik.Baginda juga menguasai enam bahasa yang berbeza iaitu Arab,Latin,Greeek,Serbia,Turki dan Parsi dan hal ini menunjukkan betapa penguasaan otak kiri perlu sama hebat dengan penggunaan otak kanan agar segala jenis ilmu dapat dikuasai dengan baik dan  bukan tertumpu kepada satu-satu bidang sahaja.Tetapi untuk menghasilkan pemimpin sehebat baginda memerlukan satu  ramuan yang sangat hebat yang boleh digunapakai oleh kita semua.

Al-Quran dan Sunnah : Ramuan dan Formula Kehebatan

Bapanya Sultan Murad telah menjadikan Al-Quran sebagai asas utama dalam mendidik Sultan Muhammad Al-Fateh.Hal ini kerana untuk menjadi seorang yang hebat mestilah bermula dengan hafazan Al-Quran.Penjanaan intergriti seseorang terhasil dengan konsep dosa dan pahala yang diterangkan dalam Al-Quran yang mana menjadi asas kepada syariat sunnahtullah.Betapa perlunya Al-Quran itu dijadikan asas dalam hidup kita manakala Usuluddin bertindak sebagai akar,Syariah sebagai batang dan akhlak sebagai daun serta buah.


Mempunyai guru yang hebat juga mempunyai pengaruh yang besar dalam usaha melahirkan panglima sehebat Sultan Al-Fateh.Oleh itu bapanya memastikan Sultan Al-Fateh mendapat ajaran daripada kalangan tenaga pengajar yang terbaik pada ketika itu seperti Al-Syeikh Muhammad daripada Al-Azhar.Sultan Murad juga tidak berkompromi dalam mendidik Sultan Al-Fateh dengan membenarkan penggunaan rotan digunakan dalam teknik pembelajaran bagi menghasilkan disiplin yang mantap.Seseorang raja yang hebat mestilah juga mempunyai wawasan yang tinggi agar masa tidak terbuang terhadap perkara-perkara yang tidak memberi manfaat.

Oleh itu semenjak kecil lagi ibunya,Huma Hatun telah bertindak dengan membawa Sultan Al-Fateh ke atas bukit berdekatan dengan Kota Konstantinopel semenjak umur baginda 4 tahun bagi menanam wawasan yang jelas dalam diri baginda bahawa suatu hari nanti baginda akan mampu menguasai Kota Konstantinopel dan ini menjadikan Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai seornag yang mempunyai matlamat yang jelas untuk dikecapi.Seperti kata-kata antara manusia yang terkaya di dunia,Bill Gates; 
‘If you have a clear vision,you will have no time to take breakfast’
Jadi sebagai seorang pelajar perubatan,apakah matlamat kita dalam 10 tahun yang akan datang dan mampukah kita merealisasikan matlamat tersebut?Di sini juga dapat dibuktikan betapa pengaruh ibu bapa sebenarnya sangat memberi impak yang besar dalam melahirkan peribadi anak yang hebat selain pengaruh persekitaran dan sahabat yang hebat.Sultan Murad juga pernah melantik Sultan Muhammad Al-Fateh supaya memimpin sebuah pulau kecil yakni Pulau Magnesia pada umur baginda 12 tahun! (UPSR patut).

Hal ini kerana Sultan Murad ingin melihat bagaimana Sultan Al-Fateh belajar untuk membuat keputusan serta belajar untuk berdikari.Sebab itu kita digalakkan untuk menyertai persatuan kerana hanya di sini sahaja tempat untuk kita mendapat ilmu seperti itu.Di Magnesia juga baginda sentiasa ditemani gurunya yang paling disayangi iaitu Syeikh Shamsudin Al-Wali yang mengajar baginda menguasai pelbagai ilmu.Baginda di ajar untuk menguasai bukan sahaja ilmu teori malah praktikal juga.Sebab itu antara haiwan kegemaran baginda adalah kuda menunjukkan betapa baginda begitu menyukai aktiviti luar.Bukan hanya setakat bermain permainan Angry Bird atau Farmville di dalam bilik seperti kebanyakkan remaja pada zaman sekarang.

Usaha Sultan Muhammad Menakluki Kota Konstantinopel

Baginda memulakan misi penaklukan Kota Konstantinopel pada umur 21 tahun,dua tahun selepas dilantik menjadi sultan oleh bapanya.Walaupun sebelum baginda terdapat 12 kali percubaan telah dilakukan dalam merobohkan Empayar Byzantine dan antara pemimpin-pemimpin yang berkobar-kobar untuk merealisasikan ramalan Rasulullah SAW adalah seperti Yazid bin Muawiyah yang telah melakukan tiga kali percubaan,Harun Ar-Rashid yang mengejutkan kerajaan Rom dengan kehebatan beliau, serta Muawiyah bin Abi Suffian.

Abu Ayyub Al-Ansari RA yang merupakan antara sahabat Rasulullah juga tidak ketinggalan dalam melakukan percubaan menakluk Kota Konstantinopel pada usianya 86 tahun.Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi yang tidak pernah ketinggalan untuk menyertai peperangan menentang orang kafir dan merupakan pemegang panji tentera Islam.Selama 5 tahun beliau mengepung Kota Konstantinopel yang mana usahanya menyumbang kepada pengecilan empayar tersebut daripada saiz XL menjadi saiz S ketika era Sultan Muhammad Al-Fateh.

Abu Ayyub Al-Ayyubi juga mewasiatkan agar jasadnya diwafatkan di bawah tembok yang paling hampir dengan tembok Kota Konstantinopel agar dirinya menjadi motivasi kepada generasi seterusnya supaya segera membebaskan Kota Konstantinopel jika tidak mahu melihat kuburnya terus dipijak-pijak oleh tentera Rom.Lokasi kuburnya juga telah dapat dikesan oleh guru Sultan Al-Fateh yakni Syeikh Shamsudin melalui mimpi beliau.

Sebelum serangan ke atas Kota Konstantinopel dilakukan,Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri pernah menyamar untuk menyeludup masuk ke dalam kota tersebut bagi mengenal pasti selok belok kota tersebut serta mencari sendiri kekuatan serta kelemahan kota milik Empayar Byzantine itu dan percayalah dalam tektik yang akan dilancarkan terhadap tentera Rom ini mengandungi tektik-teknik daripada peperangan oleh Rasulullah SAW dan Salahuddin Al-Ayyubi kerana dua ikon hebat ini antara tempat rujukan yang paling disajungi oleh Sultan Al-Fateh.

Sultan Muhammad Al-Fateh melakukan percubaan untuk menakluki Kota Konstantinopel dalam masa hampir dua bulan.Bersama-sama baginda adalah sebaik-baik tentera sepanjang zaman yang berjumlah seramai 150 ribu orang.Selain daripada itu baginda juga mempunyai teknologi perang yang hebat yang mana baginda sendiri telah mereka bentuk meriam gergasi sebagai alat perang.Sebanyak 69 biji meriam telah dibawa bersama dalam bentuk pelbagai saiz dan 4 daripadanya adalah dalam bentuk gergasi yang mampu menembusi tembok Kota Konstantinopel sedalam dua meter daripada 4 meter saiz keseluruhan.

Tembok itu yang mempunyai 4 lapisan,setinggi 25 kaki dan sejauh 160 kaki itu telah dikepung oleh tentera Islam selama 53 hari.Usaha yang dilakukan secara berterusan itu tanpa menunjukkan sebarang hasil kejayaan telah membuatkan tentera Islam berasa sedikit lemah.Lebih-lebih lagi setelah tentera Islam mendapat berita bahawa armada laut tentera Islam telah kalah setelah mendapat tentangan yang hebat oleh tentera laut Byzantine.Lalu Sultan Muhammad Al-Fateh menyuruh untuk siapa-siapa daripada kalangan pegawainya yang melemahkan semangat tenteranya dipecat.

Semangat baginda juga semakin teruji apabila mendapat desakan daripada pihak tenteranya agar berundur setelah percubaan demi percubaan telah gagal dilakukan ditambah pula dengan berita bahawa kerajaan Rom semakin kuat setelah mendapat bantuan daripada Pope Vatican.Ketika inilah peranan seorang guru yang sangat mengasihi Sultan Muhammad Al-Fateh yakni Syeikh Shamsudin yang juga merupakan wali Allah dalam membangkitkan semangat Sultan Al-Fateh dengan mengirimkan sepucuk surat buat baginda.Beliau memberi semangat pada baginda dengan menyuruh baginda meneruskan tentangan dan telah memberitahu bahawa beliau telah mendapat mimpi daripada Allah ta’ala bahawa Kota Konstantinopel akan ditawan pada bulan Mei.Syeikh Shamsudin juga sebenarnya telah digelar sebagai Al-Fateh Al-Ma’nawi iaitu Al-Fateh yang sebenar kerana sumbangan beliau terhadap perjuangan pembukaan Kota oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.

Tekanan yang diterima ini juga sebenarnya merupakan suatu ujian daripada Allah ta’ala yang ingin menguji tentera Islam,kepada siapakah sebenarnya penggantungan mereka yang sebenar-benarnya.Selain itu dengan kehadiran suatu tekanan juga akan mampu menyerlahkan lagi potensi paling tinggi dalam diri kita.Selepas itu,semangat Sultan Al-Fateh kembali melonjak dan baginda telah membuat satu keputusan yang mengejutkan semua pihak.Sebanyak 72 kapal kecil di bahagian armada laut telah diangkut naik ke gunung sebelum diluncurkan kembali ke perairan Teluk Golden Horn hanya dalam satu malam sahaja.

Taktik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh sejarawan Barat sendiri dan baginda juga digelar ‘Grand Seigneur’ iaitu ‘pemimpin agung’.Kapal-kapal ini dipastikan agar sampai menjelang subuh kerana selepas solat Subuh yang dilakukan secara berjemaah yang mana Sultan Al-Fateh sendiri menjadi imam,serangan daripada tentera Islam dilakukan dengan dua kali ganda berserta serangan mengejut oleh bedilan-bedilan meriam di bahagian tembok belakang kota oleh kapal-kapal kecil yang diangkut tadi.Perkara ini memberikan satu impak besar buat kerajaan Byzantine kerana bagi mereka belakang kota merupakan bahagian yang paling selamat dan kehadiran kapal tentera Islam dibahagian perairan teluk benar-benar di luar jangkaan.

Melihat kepada tentera baginda yang semakin lemah,lantas baginda bertitah kepada tenteranya,baginda berkata;
"Wahai tenteraku,aku kini sudah bersedia untuk mati syahid di jalanNya dan sesiapa yang ingin turut sama mati syahid bersamaku,marilah mengikutiku!"
Mendengar kepada titah tersebut, sahabat baik baginda sendiri iaitu Hassan Ulubate yang sering menjadi teman berlawan pedang semenjak kecil lagi mengetuai seramai 30 orang tentera Islam menyerbu masuk ke dalam kubu musuh dan berserta 8 anak panah yang tertusuk di badan Hassan ditambah pula dengan ratusan libasan pedang,Hassan yang juga merupakan pemegang panji tentera Islam pada ketika itu akhirnya berjaya mendaki ke kawasan atas bukit untuk menukarkan panji tentera Rom kepada panji tentera Islam sebelum mati syahid pada akhirnya.

Melihat kepada perkara itu, tentera Islam akhirnya dengan penuh semangat berpusu-pusu memecah masuk ke dalam kubu musuh sambil melaungkan Allahu Akbar.Pada tanggal 29 Mei 1453 Kota Konstantinopel akhirnya berjaya ditawan oleh kerajaan Islam dan nama Konstantinopel telah ditukarkan menjadi Istanbul (Islam keseluruhannya).Sultan Muhammad Al-Fateh juga telah melumurkan pasir ke mukanya selepas melakukan sujud syukur di atas pembukaan kota tersebut dan pembukaan ini juga telah menyebabkan baginda digelar sebagai Al-Fateh yang membawa maksud pembukaan.

Sebaik-baik Raja,Sebaik-baik Tentera
                
Gereja Saint Sophie juga telah ditukar menjadi masjid Hayyat Sofia dan semasa ingin melakukan solat Jumaat pertama,timbul persoalan siapakah yang harus menjadi imam.Lantas baginda memilih dengan menanyakan soalan kepada tenteranya;
"Sesiapa yang di antara kamu semua yang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali,silakan duduk!’’ 
Namun tiada seorang pun dalam kalangan tentera baginda yang duduk kerana tidak pernah meninggalkan solat fardhu walau hanya sekali semenjak dari kecil lagi.Kemudian baginda menanyakan lagi kepada para tenteranya,
"Sesiapakah yang antara kamu pernah meninggalkan solat rawatib walau sekali,silakan duduk!’’ 
Sebahagian daripada tentera baginda kemudiannya duduk.Manakala soalan yang terakhir yang diajukan oleh baginda;
"Sesiapakah yang antara kamu pernah meninggalkan solat sunat tahajud walau sekali,silakan duduk!’’
Semua ahli tentera baginda akhirnya duduk dan hanya Sultan Muhammad Al-Fateh sahajalah yang tinggal seorang sahaja berdiri.Hal ini membenarkan ramalan Rasulullah SAW,bahawa sebaik-baik raja hanyalah benar-benar layak disandang oleh baginda.
                
Kesimpulan

Akhir sekali,sebelum ana menutup coretan ana pada kali ini,suka ana untuk mengingatkan para sahabat serta sahabiah agar menjadikan Sultan Muhammad Al-Fateh bukan sahaja sebagai idola kita,tetapi segala ajaran serta peribadi baginda juga seharusnya dijadikan motivasi buat kita semua demi melahirkan Muhammad Al-Fateh yang kedua bagi menaikkan kembali era kegemilangan Islam di muka bumi ini.Juga bagi membebaskan kembali bumi Palestin yang ditunggu-tunggu selama ini.

Mujurlah kita masih ada Negara Turki yang menjadi satu-satunya Negara yang berani untuk meludah Negara Israel semasa Persidangan Antarabangsa dan yang terbaru pemimpin kerajaan Turki jugalah antara Negara Islam yang terawal yang mengambil tindakan dalam isu rakyat Islam Rohingya di Myanmar.Di manakah peranan kita dalam isu-isu sebegini?Tepuk dada tanyalah iman.Moga-moga coretan ana ini dapat memberikan sedikit inspirasi serta manfaat daripada kita semua.

Sama-samalah kita melahirkan Sultan Muhammad Al-Fateh dalam diri kita!

          

Nota kaki : Ini merupakan catatan Seminar Sultan Muhammad Al-Fateh oleh Ustaz Shaari bin Abd Rahman.

0 Ideas:

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.