Stanza Mahabbah

We are Family :)

[ISLAH] : Ilmu bukan pada pointer(?)



Manusia yang bernafas dalam jiwa hamba, pasti mengerti manifestasi kehidupan di dunia. Laksana ombak di lautan yang luas. Adakalanya bergelora kencang adakalanya mengalir tenang. Laksana meniti di titian, tidak selamanya lurus dan mudah. Tidak mahu tidak, setiap makhluk ciptaan Allah pastinya akan melalui ujian dalam hidupnya. Bukankah orang beriman itu pasti diuji?

Adakah patut manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman” sedangkan mereka masih belum diuji dengan sebarang ujian?
[Al-Ankabut : 2]

Bukankah seorang doktor itu pasti diuji?

Begitu juga sebagai seorang pelajar,seorang mahasiswa. Sudahlah hidup dihimpit dengan ujian daripada Allah S.W.T untuk hidup di negara orang, jauh daripada keluarga tercinta di Malaysia dan sebagainya. Kemudian ditambah pula dengan ujian yang dicipta oleh manusia itu sendiri, yakni peperiksaan.

Tanya sahaja pada kebanyakan mahasiswa, siapa di antara mereka yang menyukai peperiksaan? Mahasiswa mana yang berasa seronok dan teruja mengetahui tarikh peperiksaan semakin hampir tiba? Siapa? Jarang sekali wujud mahasiswa sedemikian. Kebanyakannya merasakan peperiksaan merupakan suatu beban kepada diri masing-masing. Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa peperiksaan itu langsung tidak penting. Peperiksaan itu dunia semata-mata kata mereka.

“Kita belajar mengejar ilmu,bukan pointer.”tegas mereka.


Lebih teruk lagi, ada segelintir pelajar yang langsung merendahkan kepentingan peperiksaan ke tahap yang paling bawah.

“Lulus atau tidak apa aku kisah?”kata mereka,bongkak.

Namun,ada juga segelintir pelajar bijak yang melihat peperiksaan itu tidak lebih daripada sekadar halangan dalam laluan mencapai kejayaan.

Peperiksaan itu amanah yang dipikul.

Ya, peperiksaan itu amanah. Tanggungjawab yang terbeban di pundak setiap pelajar. Ada betulnya kenyataan “ilmu bukan pada pointer” yang menjadi pegangan sesetengah mahasiswa. Tapi apakah prinsip itu valid di hadapan pegawai yang menguruskan biasiswa ketikamana biasiswa tersebut ditarik akibat pointer kita yang tidak memuaskan? Apa perasaan seorang ibu,seorang ayah apabila mendapat tahu anak mereka,lagi-lagi yang dihantar belajar jaug belajar di luar negara gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan?

Ini persoalan yang perlu kita fikirkan. Kita hidup di dunia ini bukan berseorangan. Ada insan-insan mulia yang telah banyak berjasa pada kita yang ingin melihat kita berjaya. Tidak mahu tidak, kita perlu menerima hakikat kejayaan dan kesungguhan seorang pelajar itu diukur berdasarkan pencapaiannya di dalam peperiksaan. Sebagaimana seseorang yang mengaku beriman perlu diuji oleh Allah untuk mengetahui tahap keimanannya, begitu juga seorang mahasiswa. Perlu diuji untuk untuk mengetahui di tahap mana mahasiswa tersebut dalam bidang ilmu yang diceburi.

Bersungguh-sungguh kerana Ilmu


Disebabkan itu, setiap mahasiswa dituntut untuk menuntut ilmu dengan gigih dan bersungguh-sungguh tapi bukan kerana peperiksaan semata-mata,tetapi kerana ilmu itu sendiri. Jadikan peperiksaan itu sebagai batu loncatan untuk menjadi penuntut yang lebih baik, pengukur prestasi dari semasa ke semasa.

“…Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Ali-Imran : 159)

Apakah sekarang kita masih memandang rendah pada peperiksaan?

Jangan. Peperiksaan itu sebenarnya merupakan salah satu method ujian daripada Allah kepada hambanya secara tidak langsung. Malah kita bukan sahaja membawa figura seorang pelajar, imej dan nama baik ibu bapa turut sama terjejas andai kita gagal mendapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan.

Perlu untuk setiap mahasiswa menyedari bahawa ujian itu bukanlah suatu bencana mahupun musibah.. Namun ianya penentu kemampuan dan prestasi seorang hamba,seorang mahasiswa. Maka marilah kita berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu dengan niat dan tujuan untuk menyebarkan lagi syiar Islam. Semoga kejayaan kita bukan sahaja dalam peperiksaan di dunia, malah tetap lulus dan cemerlang dalam ‘peperiksaan’ di akhirat kelak.

InsyaAllah.

[ISLAH] : Cahaya yang Menerangi

كن عالماً أو متعلماً أو مستمعاً أو محباً ولا تكن الخامس فتهلك

“Jadilah kamu orang yang berilmu atau orang yang mempelajari ilmu atau orang yang mendengar dalam majlis ilmu atau orang yang cintakan ilmu. Jangan kamu menjadi orang yang kelima nescaya kamu akan binasa”
[Hadis]

Sebuah kisah


Ini kisahnya Imam Syafie. Seorang pencinta ilmu. Suatu hari, beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Setibanya beliau di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Usai solat, beliau terpandang satu majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat di dalam masjid tersebut. 

Itulah Imam Malik. Ketika itu beliau sedang mengajar anak-anak muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah S.A.W. Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Lantas Imam Shafie mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, perbuatan dan tingkah lakunya disedari oleh Imam Malik.
Usai pengajian, Imam Malik memanggil Imam Shafie dengan niat untuk menegur beliau. Pada sangkaannya, Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika beliau sedang. Imam Malik bertanya kepada Imam Shafie: 

“Apakah kamu berasal dari Makkah”. 

“Benar”. Jawab Imam Shafie.

“Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?” soal Imam Malik.

 “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya” Jawab Imam Shafie,jujur.

Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata:

“Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja”.

“Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu.” kata Imam Shafie.

Maksiat yang menghijab

 شكَوْتُ إِلَى وَقِعٍ سُوْءَ حِفْظى 
فَأَرْشَـدَنِي إلى تَرْكِ المَعاصِي
وَأَخْـبَرَني بِـأَن العِلمَ نُـورٌ
ونُـورُ اللهِ لا يُهدَي للعَاصى

“Aku mengadukan perihal keburukan hafalanku kepada guruku(Imam Waki’ bin Jarrah)
(Guruku) lalu berwasiat agar aku menjauhi maksiat dan dosa.
Guruku juga berkata, ‘Muridku, ketahuilah bahwa ilmu itu adalah cahaya.
Dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang-orang yang suka berbuat maksiat.”

Tinggalkan maksiat!
Itulah antara pesanan Imam Waki' kepada Imam Syafie.

Imam Syafie sendiri sekalipun,berkurang hafalannya kerana maksiat,apatah lagi kita manusia yang entah di mana tarafnya kita di sisi Allah S.W.T. 

Aku buat maksiat. Result aku okay (?)




Result itu bukan ilmu,pointer bukan cahaya. Peperiksaan itu amanah, rintangan di sepanjang perjalanan dalam menuntut ilmu. Andai kita melihat kedudukan ilmu pada pointer semata-mata, maka kita telah tersilap sebenarnya. Sebagaimana luasnya cakupan sinaran cahaya matahari menerangi bumi, begitulah luasnya ilmu pengetahuan.

Sekiranya kita masih tegar melakukan maksiat, percayalah ilmu yang ada pada kita pada saat itu bukan lagi cahaya. Ilmu itu cahaya yang menerangi jiwa. Namun tidak pula menerangi orang-orang yang berbuat maksiat. Hakikatnya jiwa seorang pemaksiat (seperti kita) kelam tanpa cahaya. Namun tampak terang bercahaya,kerana bijaknya syaitan yang merajai jiwa. Kalau benar kita seorang yang berilmu, ilmu yang kita perolehi itu (insyaAllah) akan membuatkan kita takut untuk melakukan maksiat pada Allah.

                                                           إنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء
(Sesungguhnya yang takutkan Allah itu di kalangan hamba-Nya ialah para Ulama’) [al Fatir : 28]

Hak sebenar seorang mahasiswa

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها

“Hikmah (ilmu)itu adalah barang yang hilang milik orang yang beriman. Di mana saja ia menemukannya, maka ambillah.” (HR. Tirmidzi) 

Pesanan Imam Syafie rahimahullah :

“Barangsiapa ingin agar Allah membukakan hatinya atau meneranginya, maka dia harus meninggalkan pembicaraan yang tidak bermanfaat, meninggalkan dosa-dosa, menghindari perbuatan-perbuatan maksiat dan menyembunyikan amalan yang dikerjakan antara dia dan Allah. Jika dia mengerjakan hal tersebut, maka Allah akan membukakan ilmu baginya yang akan menyibukkan dia dari yang lainnya. Sesungguhnya dalam kematian terdapat perkara yang menyibukkan.” 

Mari bersama mengembara mencari cahaya. Didik jiwa untuk menjadi pencari ilmu yang berjaya bukan sahaja di dunia,malah turut menggapai redha untuk kejayaan di akhirat kelak. Tanamkan dalam hati kita,supaya dengan cahaya ilmu yang menerangi jiwa mampu menjadi sumber cahaya kepada jiwa-jiwa lain yang masih alpa.

Teguhkan dalam hati,syurga Allah di akhirat lebih nikmat.
Dan azabnya di neraka kelak jauh lebih dahsyat.

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.