Sisi pandang kehidupan : Housemate saya tak solat.


 "Engkau tahu ke ada kawan kita yang tak solat?"

"Tahu je. Ramai je aku rasa.."

"Serius la? Engkau ada buat apa-apa tak? Tegur ke, nasihat ke?"

"Ala, aku tegur bukan diorang nak dengar pun cakap aku pun. Nanti kata aku sibuk jaga tepi kain diorang pulak."

"Engkau dah tegur ke belum?"

"Belum."

"Tengok? Belum tegur engkau dah prejudis dengan diorang. Mana tahu kalau diorang terima. Kita sibuk jaga tepi kain diorang, bukan selak kain diorang. Jangan risau la."

Sisi kedua

“Dia solat tak kat rumah?” Amirul mula bertanya dengan nada yang agak perlahan. 

Senyap.

“Aku selalu tengok dia takde masa kita solat sama-sama dekat mowassa. Bukan sekali, banyak kali dah aku perasan ni. Kau housemate dia takkan tak tahu?" Amirul terus bertanya.

Ahmad masih senyap, serba salah.

"Engkau janji tak cerita dekat orang lain?" Ahmad mula bersuara.

"Aku tak cerita dekat orang. Ini pun ada ikhwah yang cerita dekat aku, sebab tu aku baru perasan. Betul la maksudnya? Aku tanya engkau, sebab mana tahu kalau dia solat dekat tempat lain. Fitnah pula jadinya."

Ahmad sekadar mengangguk. Riak muka jelas menunjukkan dia rasa bersalah dengan situasi yang berlaku.

Petang itu, Afiq tidak datang ke kuliah. Melihatkan Ahmad jalan pulang berseorangan, Amirul mengambil kesempatan untuk bertanyakan persoalan yang selama ini terbuku di hatinya berkenaan Afiq, housemate kepada Ahmad. Sudah lama Amirul perasan ketiadaan Afiq ketika mereka solat Zohor secara berjemaah di luar lecture hall. Dan pengakuan Ahmad bahawa Afiq sememangnya tidak solat ternyata meresahkan hatinya.

"Aku kena buat sesuatu!" Amirul membulatkan tekad.


Sisi Ketiga

Azan maghrib berkumandang.

Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar Allahu akbar

Asyhadu an la ilaha illallah
Asyhadu an la ilaha illallah

Asyhadu anna Muhammad ar-rasulullah
Asyhadu anna Muhammad ar-rasulullah

Hayya ala as-solah
Hayya ala as-solah

Hayya ala ak-falah
Hayya ala ak-falah

Allahu akbar Allahu akbar
La ilaha illallah.

Ahmad bersiap-siap untuk ke masjid. Laptop dibiarkan terus terbuka. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengerling ke bilik Afiq. Afiq masih di hadapan laptopnya dengan headphone di telinga. Ada satu-satu masa, Ahmad merasakan headphone itulah yang memisahkan mereka sebagai ahli beit. Jeritlah sekuat hati pun, pasti tidak didengari si pemakai. Sama ada memang tidak dengar, ataupun mereka sengaja tidak mahu dengar.

Bukan sekali dua dia mengajak Afiq untuk solat berjemaah bersama-sama di masjid. Sudah banyak kali. Sejak kali pertama mereka tinggal serumah, Ahmad tidak pernah lupa untuk mengajak Afiq dan ahli rumahnya yang lain untuk solat di masjid. Cuma apabila Afiq bersikap dingin dan bermasam muka kerana Ahmad 'terlalu kerap mengajaknya untuk solat', Ahmad sudah tidak lagi seperti dahulu. Dia sepertinya sudah putus asa dengan sikap Afiq.

Sisi realiti.

Afiq memandang laptop di hadapannya. Permainan Dota 2 yang dimainkannya sebentar tadi dibiarkan begitu sahaja. Fikirannya kosong. Matanya tertancap pada skrin laptop, tetapi lamunannya entah ke mana. Dia kecewa. Dia menyesal. Seawal dia menjejakkan kaki ke bumi Mesir, dia tidak pernah solat. Berasal daripada keluarga yang langsung tidak menitikberatkan soal agama dalam kehidupan sememangnya memberi kesan yang besar. Sangkaannya bahawa dia akan berubah dengan suasana persekitaran di Mesir ternyata meleset.

Bukan Afiq tidak dengar azan sebentar tadi, dia dengar.

Bukan Afiq tidak perasan Ahmad ada berhenti sebentar di pintu biliknya.

Bukan dia tidak mahu solat, tetapi dia malu. 

Tok! Tok! Tok!

Pintu rumahnya diketuk orang.

"Eh Ahmad lupa bawak kunci ke? Bukan dia baru je keluar tadi pergi masjid?" Afiq bermonolog dalam hati sambil menuju ke arah pintu rumah.

Assalamualaikum..!

"Waalaikumussalam." Afiq menjawab sambil membuka pintu rumah.

"Eh Amirul rupanya. Dari mana ni? Masuk la dulu." ujar Afiq sedikit terkejut.

Mereka tidaklah begitu rapat pada mulanya. Namun setelah Amirul menolong mereka ketika urusan perpindahan rumah awal bulan lepas, mereka menjadi semakin rapat. Kebetulan juga mereka berdua berkongsi lecture group dan section practical yang sama, jadi lebih keraplah mereka berjumpa. Perwatakan Amirul yang sopan dan mesra juga sedikit sebanyak mempengaruhi Afiq untuk mendekatinya. 

"Aku dari rumah Syafiq tadi. Ada bincang-bincang sikit pasal assignment. Kebetulan masa jalan kaki nak balik rumah tadi dah azan maghrib, aku datang ziarah sini. Nak tumpang ambil wudhu'. Boleh kan?" Amirul tersenyum sambil membuka kasut yang dipakai.

"Boleh je. Bilik air ada dekat sebelah bilik tu."

Afiq serba salah jadinya. Dia sendiri yang belum berwudhu' melihat sahaja Amirul membongkok membasahkan wajah. Tanpa disedari, ada butiran jernih mengalir dari matanya. 

Afiq menangis.

"Dah ada wudhu' dah Afiq?"

"Eh engkau kenapa? soal Amirul apabila dia menyedari keadaan Afiq.

"Ajarkan aku ambil wudhu'! Aku bukan tak mahu,aku tak tahu." Afiq mengaku dengan mata yang berkaca.



*******

Hidup ini, kita boleh lihat dari pelbagai sisi.

Yang pasti, kita sudah berada di penghujung usia dunia.

Cuma kadang-kadang kita lupa.

Bukan sedikit orang yang mahu menyebarkan syiar Islam di akhir zaman ini. Cuma terkadang kita terlalu tergopoh-gapah dalam berdakwah. Selalu benar culas untuk bermula dari bawah. Kita banyak menyentuh soal aurat, soal ikhtilat dan sebagainya sampaikan kita lupa pada titik mulanya semua perkara itu terus membarah.  Kalau air melimpah dari baldi, tutup terus paipnya.,bukan sekadar lap air yang melimpah.
"Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah berfirman: " Lihatlah (hai para malaikat) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?' Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu" (Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah )
Firman Allah s.w.t:

"Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’’ 
(Surah Al-Ankabut, 45)

Soalan cepumas:

"Kamu sudah solat?"

Kalau sudah solat, kenapa masih ada ikhwah/akhawat lain yang masih belum solat?


1 Ideas:

Anonymous said...

Itulah realiti. Cara si da'ie pandang mad'unya. Kadang2 mereka yg tidak tahu itu mahu brubah. Tp kita yg tahu ini cepat sgt meng judge org. Begitu juga dgn mereka yg tidak tahu, bila mana rasa mahu berubah, janganlah malu2.. yakinlah apa yg Allah detikkan dlm hati itu suatu yg benar. Dan Allahu Allah. Ana sgt terkesan dgn kata2 saudara penulis di atas, "Kita banyak menyentuh soal aurat, soal ikhtilat dan sebagainya sampaikan kita lupa pada titik mulanya semua perkara itu terus membarah.  Kalau air melimpah dari baldi, tutup terus paipnya.,bukan sekadar lap air yang melimpah." Sgt benar kata2 saudara. Cambahkankah keimanan kita dan cinta kita kepadaNya dgn menuntut 'ilmu2 Allah. Andai hati penuh dgn iman, nescaya tidak akan timbul lah mslah2 sosial zaman moden ini. Al 'ilmu nuurun, wa nuurun la yuhdaa lil 'aasi... wallahua'lam. Jazakallah atas tulisan nta.

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.