Stanza Mahabbah

We are Family :)

BINGKISAN KISAH SEMALAM



SANG Mentari memancar terik. Angin bertiup damai. Suasana kaki lima fakulti perubatan kembali sunyi. Keriuhan suara para mahasiswa tahun tiga yang baru sahaja menghadapi ujian amali terus sirna apabila para mahasiswa berduyun-duyun meninggalkan perkarangan kampus universiti. Masing-masing pulang dengan ragam sendiri. Ada yang bergelak ketawa, mungkin kerana dapat menjawab ujian dengan mumtaz. Malah, ada pula yang pulang dengan hiba kerana tidak berjaya menjawab dengan baik.
Awang berhenti berjalan, membongkokkan tubuh lalu mengikat tali kasut kirinya yang terungkai. Kemudian langkahnya terus di susun kemas menuju ke Bait Mumtaz. Sampai sahaja di rumahnya, Awang membuka pintu rumah dan terus ke bilik. Beg galas kecil berjenama NIKE di sandarkan ke dinding bilik lalu dia merebahkan tubuhnya ke katil. Penat.
***
Awang mengumpul semua buku berkaitan Urinary System di atas meja belajarnya. Semuanya berjumlah lapan subjek. Matanya terkedip-kedip melihat banyaknya buku yang mesti di telaah. Rasa berat dan malas terus menyelimuti dirinya. Lantas, Awang mencapai laptop disebelah  lalu di letakkan di atas meja belajar. Buku-buku Urinary System cuba di lupakan.
Awang membuka tetingkap Google Chrome dan mengakses masuk ke laman Facebook. Dia terpana seketika.  Awang teruja metah melihat 56 notifikasi di laman akaun Facebooknya. Baru sehari tidak membuka Facebook, sudah berderet notifikasi masuk. Hatinya berbunga-bunga. Di rasakan suatu yang menggembirakan berlaku di laman Facebooknya.
Awang melarikan kursor tetikus ke ikon notifikasi. Notifikasi Facebook muncul di skrin laptopnya. Dia membulatkan matanya. Membaca satu demi satu notifikasi yang masuk.

‘Hazmi Al-wafi tagged   a photo of you’
‘Bahar Added a photo of you’
‘Fadhlullah and Zulfaiz mentioned  you in their comments.’
‘Kamil mentioned  you in a comment.’
‘Idham, Afnan and 110 others people like a photo you are tagged in.’
“Apa benda semua ni? Gambar apa yang diorang post dekat wall aku ni ? Kenapa ramai sangat yang like ni ?” Persoalan  demi persoalan menerjah masuk ke mindanya. Degupan jantung mulai tachycardia . Tangannya segera melarikan tetikus,membawa kursor menekan gambar yang di tagkan.


 ‘Hai Awang , kalau ya pun teruja,janganlah sampai ternganga sangat mulut tu.Tahu la dah famous kat dunia Facebook sekarang ’ Kata Hassan sambil tergelak-gelakkan Awang . Muka Awang merah padam. Amarahnya di tahan agar tidak berbuat sesuatu yang buruk kepada teman serumahnya itu. Matanya kembali menatap skrin laptop. Sekali lagi mulut dia ternganga luas melihat dua komen pada salah satu gambar. Dia membaca komen tersebut.
Anakanda Awang ! apahal tu? bunyi semacam je fb ni. berbuat yg menyukai hati org lain juga disukai Yg Esa.’- Umi Aminah
Hahaha...keno maroh ko umi..:b’ – Hajar Nasuha(Kak Teh)
Pedih sungguh hatinya,rasa bagaikan  di hiris-hiris. Bukan kerana tidak mahu di nasihati tetapi rasa sedih kerana tabiatnya suka meniru di dalam peperiksaan bagaikan disebarluas di dunia maya Facebook. Sememangnya dia mengakui, selama ini dia tidak endah pada sahabat-sahabat yang pernah menegur tabiat buruknya itu. Jiwanya kacau. Terus laptop di tutup. Fikirannya berputar-putar memikir sesuatu tempat yang boleh menenangkannya.
Awang mencapai kunci rumah di atas meja belajar. Lantas menarik baju sejuk di atas kerusi roda. Dia menuju ke pintu utama rumah sewanya. Hassan cuba bertanya dia hendak ke mana namun  soalannya tidak berjawapan. Awang berjalan melalui kedai-kedai makan di tepi jalanraya. Bersebelahan jalanraya, laut Mediterranean terbentang luas. Saujana mata memandang. Kenderaan memenuhi jalanraya Iskandariah. Awang terus berjalan hingga menemui nafaq (terowong ) Camp Caesar untuk menyeberang ke sebelah pantai.

***

Sebuah Tremco merah datang dari arah Cleopatra berhenti berhampiran nafaq Camp Caesar. Seorang pemuda berjanggut sejemput keluar dari Tremco itu sambil menggalas beg kuliah. Dia melangkah menuju ke arah nafaq berseorangan. Hajatnya mahu menziarahi rumah sahabat satu section dengannya. Menjadi kebiasaannya apabila berhenti  berhampiran dengan pantai, dia akan menghirup udara segar dari laut Mediterranean itu sejenak kemudian mengitar pandangan matanya ke pelosok penjuru laut. Katanya itu sumber ketenangan. Dahulu pernah juga dia bercerita kepada sahabat  Smart Circle Izzuddin El-Qassam, bahawa melihat laut Mediterranean akan sentiasa mengingatkannya kepada halaman kampungnya iaitu Bachok. Dan itu sudah tentu cukup untuk menggembirakan hatinya.
Pandangannya terhenti seketika tatkala  sesosok tubuh yang rasanya sangat di kenali cuba menarik perhatiannya. Seorang pemuda Melayu berseorangan di atas sebongkah batu besar. Di belakang bajunya tertulis  ‘RED SEA DIVERS DAHAB’ . Pemuda itu bungkam. Dia menundukkan kepala sambil kedua tangannya di silangkan ke dada. Gaya seperti seorang yang sedang memikirkan sesuatu. Bahar mula mengingati seseorang. Ya, Awang. Pemuda yang duduk di bongkah batu besar itu adalah sahabatnya. Bahar terus berlari-lari anak menuju ke arah sahabatnya. Dia melompat  di atas bongkah-bongkah batu besar hingga betul-betul sampai di sebelah Awang.
“Awang ! Awang ! Kau buat apa kat sini sorang-sorang ? Kenapa tak ajak aku sekali bermenung di depan lautan Mediterranean ni ?” ujar Bahar sambil menolak lembut bahu sahabatnya, Awang. Dia senang untuk duduk bersama seketika dengan temannya ini. Awang tidak berkata sepatah apa pun. Hanya segaris senyuman yang mampu dia ukirkan walaupun jiwanya sedang bergelora seperti ombak di lautan.

BERSAMBUNG… .


SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN SOLAT HAJAT PERDANA

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN SOLAT HAJAT PERDANA


Pada 18 Januari 2014, Stanza Mahabbah telah mengadakan satu program untuk semua ahli Stanza Mahabbah (SM) iaitu “Maulidur Rasul dan Solat Hajat Perdana” yang bertempat di Pusat Konvesyen, Universiti Iskandariah. Program ini telah diadakan sebagai langkah persediaan untuk peperiksaan akhir semester kelima batch SM dan juga sempena meraikan hari kelahiran rasul junjungan kita iaitu Nabi Muhammad SAW. Program ini juga diselit dengan slot watikah pelantikan Organisasi Batch (OB) SM untuk sesi 2013/2014.


Program dimulakan dengan solat Maghrib dan solat Hajat secara berjemaah. Selepas selesai solat, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Batch SM yang baru iaitu saudara Thahir dan diikuti dengan pengisian tentang sirah nabi Muhammad dan ucapan perasmian oleh Pengarah MARA Timur Tengah, Ustaz Ahmad Sofi b. Abdullah. Kemudian, program ini diceriakan lagi dengan tayangan video yang berkisar tentang memori tahun 2012/2103 SM. Video kenangan ahli SM yang berlatarkan lagu “A Thousand Years” nyanyian Christina Perri ini telah berjaya menyentuh hati semua ahli SM. Kehangatan perasaan yang bergejolak di dalam jiwa ahli SM ini telah menunjukkan betapa kuatnya tautan ukhuwwah yang telah terjalin di antara ahli-ahli SM selama ini. Setelah itu, program diteruskan lagi dengan upacara pemberian cenderahati kepada Ustaz Sofi dan diteruskan dengan alunan selawat ke atas junjungan nabi Muhammad secara beramai-ramai yang diketuai oleh saudara Aiman Razali.



Penyampaian cenderahati kepada Ustaz Sofi.

Program diteruskan lagi dengan tazkirah daripada saudara Amar Sofwan berkenaan kempen “Anti-Meniru” bersempena dengan peperiksaan yang bakal menjelang dan sedikit ucapan oleh Saudari Nur Amalina tentang“Kepentingan Berorganisasi”. Setelah usai ucapan, program telah diteruskan dengan majlis watikah pelantikan Organisasi Batch (OB) SM untuk sesi 2013/2014 dan Kalam Taujihat (arahan gerak kerja) daripada saudara Thahir.

 Kemudian, program ini diteruskan lagi dengan acara penyerahan Anugerah Mahasiswa Mahasiswi proaktif dan dedikasi yang telah dimenangi oleh saudara Shafiq Firdaus, Nazreen, Zainurul Ikram, saudari Raihan Izzati, Ayu Adora dan Nadia Razali. Untuk pengetahuan, anugerah ini adalah untuk menghargai mereka yang banyak menyumbang dalam aktiviti batch. Sesi fotografi bersama ahli-ahli SM dan jamuan makan malam iaitu Nasi Kerabu yang disediakan oleh Team Memasak Nur Islam telah mengakhiri program pada malam itu. Mengikut pepatah melayu, “Tak kenal maka tak cinta”,maka diharap semua ahli dapat meluangkan lagi masa untuk lebih mengenali Rasulallah kita, memperbanyakkan amalan sunnah dan menjadikan Rasulallah itu sebagai Qudwah Hasanah supaya kita dpt menjadi seorang yang lebih baik di masa akan datang.

tazkirah dari Amar Sofwan


Merujuk hadis riwayat Muslim dari Abû Hurairah, ertinya: "Barangsiapa berselawat untukku sekali, nescaya Allah berselawat untuknya sepuluh kali.". Diharap semua ahli dpt memperbanyakkan lagi selawat dalam kehidupan seharian kita agar kita dapat menjadi manusia yang dikasihi Allah SWT.


sesi fotografi.

[EXAM AKU DATANG] Kalam Taujihat Ketua Batch Sempena Peperiksaan.



Assalamualaikum w.b.t,

Segala puji bagi Allah SWT pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat r.a , tabi’ tabiin serta tidak lupa juga kepada mahasiswa dan mahasiswi warga Stanza Mahabbah yang dirahmati Allah sekalian.

Mahasiswa mahasiswi sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, peperiksaan bagi semester ke-5 bakal menjelma tidak lama lagi. Justeru, saya mewakili Organisasi Batch Stanza Mahabbah sesi 2013/2014 untuk memanjatkan doa dan iltizam yang tinggi kepada Allah S.W.T agar seluruh warga Stanza Mahabbah dapat menempuh peperiksaan ini dengan penuh ketenangan dan mencapai kejayaan yang cemerlang insya-Allah.

Peperiksaan merupakan satu medan kita semua untuk menguji sejauh mana pemahaman kita berkenaan ilmu yang telah kita pelajari. Walaupun banyak persepsi dan pandangan kita terhadap peperiksaan yang saban semester kita hadapi, namun ia tetap juga satu wasilah atau medium kita menyalurkan tahap kefahaman kita dalam subjek yang telah diambil.

Walaubagaimanapun ,terdapat segelintir pihak yang sering mengambil remeh dan sambil lewa bila diperkatakan soal peperiksaan ini. Ada yang berkata, “alah, buat pe nak exam-exam..al-ilmu fi sudur, wa laisa fil kutub la…tak exam pon memang aku dah cerdik pon”. Ada juga yang sering kedengaran berkata, “kalau tak lulus exam pon kite boleh berjuang kan?.. perjuangan tu luas skopnye syeikh..jangan jumud..”. Tak kurang juga yang berkata, “ana tak nak dicop exam-oriented..bersungguh time exam je.. ”Memanglah, kita tidak mahu digelar seorang yang exam oriented, dengan hanya menumpukan perhatian kepada peperiksaan semata, tetapi penghayatan kepada ilmu yang dipelajari itu langsung tiada. Namun, tidak bermakna sekiranya kita mahu menolak sesuatu keadaan, kita perlu gagal dalam menghadapi keadaan tersebut. Sebaliknya kita perlu menggunakannya, supaya suatu masa nanti kita akan mampu mengubahnya.

Mengulas perilaku sebahagian pelajar apabila tibanya musim peperiksaan ini, suka untuk disebutkan soal sikap sesetengah daripada kita yang hanya berubah sikap daripada yang tidak baik ke arah yang lebih positif, apabila menjelang musim peperiksaan ini sahaja. Katanya, bila dah masuk musim ini, semua perkara perlu dijaga keberkatannya. Solatnya, pergaulannya, percakapannya dan sebagainya. Tetapi, malangnya, sesudah tamatnya musim peperiksaan itu, segala perubahan positif itu lenyap dihembus angin lembut lautan Mediterranian ini, seolah-olah,baginya, untuk mencari keberkatan Allah dalam perbuatan itu cuma bermusim. Moga-moga, dengan hadirnya musim peperiksaan kali ini, kita sama-sama dapat berazam untuk menjadi yang terbaik, di samping menjadikannya sebagai platform, turning-point atau kick-start untuk kita berubah dan membetulkan segala kekhilafan dan kesalahan yang telah kita lakukan dalam hidup kita selama ini.

Study Smart atau Study Hard?. Buat sahabat sekalian, bila tiba musim imtihan, kebijaksaan anda adalah diutamakan. Anda gunakan kebijaksaan anda merancang, menilai, mentafsir dan kemahiran berfikir dengan sebaiknya. Belajar itu untuk membina daya fikir ke arah melahirkan generasi intelektual.

Akhir kalam, ingatlah sahabat-sahabat semua bahawa setiap kejayaan memerlukan pengorbanan, setiap pengorbanan memerlukan keikhlasan dan setiap keikhlasan yang tidak bercampur dengan perkara kebatilan akan membuahkan kejayaan yang hakiki.

Salam Imtihan utk semua. Kejayaan pasti milik anda insyaAllah.

MOHAMAD THAHIR BIN MOHAMAD ZIN
Ketua Batch Stanza Mahabbah Sesi 2014

SMARTies~ Stanza Mahabbah Akhawat Reviving Ties

SMARTies     

 


ASRAMA MARA, 11 JANUARI 2014 – Program pertama Rakan Huffaz pada semester ini telah berjaya diadakan bersama akhawat Stanza Mahabbah di asrama MARA pada 11 Januari 2014 bersamaan 9 Rabiul Awwal 1435. Program kali ini dinamakan SMARTies yang bermaksud ‘Stanza Mahabbah Akhwat Reviving Ties’. Matlamat program ini adalah untuk memperkukuhkan ukhuwah sesama akhawat disamping menerapkan ilmu Al-Quran.

Kehadiran ahli bermula dari jam 6 petang sehingga masuknya waktu solat Isya’. Alhamdulillah kehadiran ahli pada malam program sangat menggalakkan dan lebih daripada yang dijangkakan oleh pihak penganjur. Majlis dimulakan dengan solat Isya’ berjemaah di sutuh asrama MARA. Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Al-Mulk beramai-ramai. Sebelum menjamu selera, sebuah video selingan mengenai kepentingan mempelajari dan menghayati Al-Quran telah ditayangkan. 


Solat Isyak berjemaah

Menu utamanya ialah nasi goreng dan ayam BBQ yang mana disediakan oleh pihak penganjur, manakala hidangan-hidangan yang lain seperti buah-buahan, air, salad dan pencuci mulut dibawa oleh kumpulan-kumpulan halaqah. Sebaik sahaja selesai makan malam, Timbalan Ketua Rakan Huffaz, Nik Rabiatuttayyibiyyah binti Nik Mohd Yusoff, tampil menyampaikan ucapan dan harapannya dalam kelancaran dan keberkatan program Rakan Huffaz yang sedang dan bakal diadakan.

Buah oren disusun rapat seperti rapatnya ukhuwah antara ahli~ :)
Aktiviti dan permainan pada malam itu telah disusun rapi oleh AJK Rakan Huffaz. Permainan yang pertama berkaitan tentang hukum-hukum tajwid yang terdapat dalam surat An-Nazi’at manakala permainan yang kedua menguji ingatan para ahli dalam menghafal beberapa potong ayat dalam surat tersebut. Sebelum permainan yang berikutnya, majlis terpaksa bertukar tempat ke bilik 2 aras 4 asrama MARA kerana hujan. Permainan seterusnya dinamakan ‘don quizzate’ yang mana segalanya berkaitan dengan Rasulullah SAW. Dan yang terakhir adalah “Kotak Musik Tazkirah”. Kumpulan halaqah yang terpilih akan diberi masa 3 minit untuk memberi tazkirah ringkas.

"Akhawat seperti tidak sabar untuk mendengar soalan dari pihak penganjur"

Akhir sekali, sebelum program tamat, telah diadakan acara penyampaian hadiah kepada tiga kumpulan halaqah yang berjaya mendapat markah yang tertinggi. Tempat ketiga dan kedua diberikan kepada kumpulan Balqis dan Aisyah, manakala johan program SMARTies yang mendapat piala pusingan adalah kumpulan Fatimah. Sekitar jam 9 malam majlis bersurai dan akhawat mula beransur pulang. Walaupun terdapat sedikit kesulitan dari segi cuaca, Alhamdulillah program berjalan dengan lancar dan meriah. 

Kumpulan Fatimah telah menjadi JUARA. Tahniah!!

Ikhwah Halaqah League - 11 Januari 2014 -


Ikhwah Halaqah League

Pada 11 Januari 2014, Rakan Huffaz(RH) telah menganjurkan satu program untuk ikhwah Stanza Mahabbah (SM) iaitu “Ikhwah Halaqah League”. Alhamdulillah, dengan semangat ukhuwwah yang tersemat di setiap hati ahli SM, program ini telah disertai oleh hampir semua para ikhwah SM iaitu seramai lebih 80 orang. Program ini merupakan satu program yang berbentuk perlawanan futsal secara liga antara halaqah tadarrus al-Quran yang bertempat di Kuliah Zira’ah, Iskandariah. Program ini juga dijadikan sebagai pembuka tirai program tadarrus al-Quran Rakan Huffaz untuk sesi 2013/2014.

Untuk pengetahuan, pengarah RH iaitu saudara Ahmad Baihaqy,  telah menamakan setiap halaqah tadarrus berdasarkan nama sahabat-sahabat rasulullah seperti Abu Ubaidah al-Jarrah, Umar al-Khattab, Usamah bin Zaid dan lain-lain. Hal ini kerana, pengarah RH ingin setiap ahli halaqah mencontohi dan mengamalkan sifat mahmudah yang ada dalam diri sahabat-sahabat rasulullah.

Program ini dimulakan dengan solat maghrib secara berjemaah. Setelah itu, semua ahli diminta untuk memanaskan badan dan bersiap sedia untuk bermain. Semua ahli SM juga diminta untuk berkumpul mengikut halaqah masing-masing yang secara keseluruhannya terdiri daripada 12 halaqah. Untuk pengetahuan liga kali ini telah menggunakan sistem “kalah mati” disebabkan masa yang tidak mencukupi.

"Semua nampak bersemangat!!"
Apabila wisel pertama dibunyikan maka bermulah perlawanan futsal secara rasminya. Satu persatu halaqah terkeluar dan akhirnya hanya tinggal dua halaqah yang layak ke peringkat akhir iaitu Halaqah Abu Bakar as-Siddiq dan Halaqah Saad b. Abi Waqqas. Dalam perlawanan akhir tersebut, kedua-dua kumpulan telah memberi tentangan yang sangat hebat di antara satu sama lain. Serangan demi serangan telah dilakukan oleh kedua-dua halaqah. Sorakan yang sangat hebat diberikan kepada kedua-dua halaqah. Sorak-menyorak dan laungan takbir yang padu telah menyemarakkan lagi suasana perlawanan tersebut. Hasil daripada usaha yang gigih dan taktik yang berkesan, halaqah Abu Bakar as-Siddiq telah memenangi pertandingan akhir ini dan berakhir dengan keputusan 4-2 sekaligus merangkul gelaran juara dalam pertandingan futsal untuk program kali ini.

Program diteruskan lagi dengan upacara penyampaian piala pusingan dan hamper kepada naqib halaqah Abu Bakar as-Siddiq iaitu saudara Syed Hamimi Firdaus. Setelah upacara pemberian piala dan hamper, maka tibalah masa yang dinanti-nantikan oleh semua ikhwah iaitu jamuan makan. Setiap ahli halaqah dijamu dengan pizza dan pasta goreng yang dibuat sendiri oleh Team Memasak Nur Islam. Setelah usai jamuan, sedikit ucapan ringkas diberikan oleh pengarah RH. Sejurus selepas itu, acara bergambar bersama ahli halaqah telah diadakan sebagai tanda ingatan dan ukhwah yang tidak pernah padam di dalam diri setiap ahli SM. Program ini ditutup dengan doa.

"Piala pusingan yang telah dimenangi oleh halaqah Abu Bakar as-Siddiq"
Merujuk kepada hadis sahih riwayat Abu Daud, Rasulallah SAW bersabda, maksudnya, "Aku menjamin sebuah rumah di bawah Syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran meskipun ia benar. Dan sebuah rumah di tengah Syurga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dalam gurauan. Dan sebuah rumah di Syurga tertinggi bagi orang yang berakhlak mulia”. Oleh itu, diharap program ini dapat menguatkan lagi tautan ukhwah dan dapat menanamkan nilai-nilai murni di setiap ahli SM supaya menjadi seorang yang berakhlak mulia dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT, insyaAllah.

"Sebahagian daripada ahli Team Memasak Nur Islam"

"jumpa lagi di liqa' yang akan datang! :) "

"Ni datang nak main ke atau datang bergambar ni :P"

"sedapnya makan :)"
"sedikit ucapan dari AJK Sukan dan Aktiviti Luar"


"Hebat!!'

Rakan Huffaz - "Al-Quran Huwal Hal"


Rakan Huffaz kini kembali lagi :)

Program Halaqah kini datang lagi dengan nafas baru...

Apa itu Al-Quran?
Belum lancar membaca Al-Quran?
Hukum Tajwid dan Makhraj?
Dan banyak lagi persoalan yang berlegar dalam benak fikiran anda?

Jangan malu, jangan segan..
Kami bersedia membantu anda(kami)..

Tadarus Al-Quran bersama Rakan Huffaz

"Al-Quran Huwal Hal"

*****

Berikut merupakan nama bagi halaqah Ikhwah :











*****

Berikut merupakan nama bagi halaqah Akhawat :












*****

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud : Daripada Ibnu Umar r.a berkata “Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.

Sebarang permasalahan ataupun pertanyaan boleh dirujuk kepada Rakan Huffaz.
Membangun Bersama Islam.

[Puisi] Kehangatan Ukhuwah Kita

Dalam sepi dan sunyi,
aku cuba mengungkapkan,
segala stanza mahabbah,
dalam satu susunan kata dan rasa.

Maka ini lah hasilnya :



Semester 5 mengukir sejarahnya sendiri
Dua minggu pertama
Dibumi Iskandariah
Kami dibadai
Tsunami  rasa dan emosi
Mana tidaknya,
Sahabat-sahabat yang telah dua tahun
Bersama belajar dan berjuang
Tiba-tiba ditakdirkan
Untuk berhijrah ke medan  baru.

Sahabat,
Ayuh sama-sama kita pahatkan
Semua kenangan lalu
Agar bisa kita kenang kembali
Pada suatu hari nanti.

Sahabat,
Senyummu, tawamu, sedihmu, dukamu,
Akan tetap ku rindui selalu
Kan ku sematkan namamu
Sedalam-dalamnya jauh dilubuk atma
Moga saat bertemu kembali
Kita masih saling mengenali.

Sahabat,
Setelah dua tahun bersama
Hari ini dan saat ini
Dapat jua ku menikmati
Kehangatan ukhuwah
Yang telah lama
Membara di dalam jiwa-jiwa kita.

Sahabat,
Ingatlah pesanku padamu
Jadilah diri kita
Orang yang berguna
Biarlah diletakkan
Dimana sekalipun
Disitu jualah kita kan
Menabur jasa.

Sahabat,
Andai takdir Tuhan,
Kita tak kan bisa
Bersua lagi
Kerna masing-masing sibuk sendiri
Maka aku berdoa
Moga kita bisa
Berjumpa lagi
Ditaman syurga Ilahi.



Prof N
25 Zulhijjah 1434H
30 oktober 2013
Iskandariah,Mesir.

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.