sambungan Prolog
Namanya Farah. Farah Adlina binti Rasydan. Pelajar sama umur dengan mereka, cuma bukan sekelas. Dan Farhan sendiri hanya kenal cik Farah itu dua minggu lepas, setelah Faiz membuka cerita.
Itu pun setelah sekian lama sebenarnya disorok daripada timbul di permukaan.
Sejak itu, dia mula melihat. Melihat perubahan Farhan yang sedikit demi sedikit positif.
Dia teringat saat pertama mereka bertemu di rumah 7205 dulu, bukannya sama seperti kini. Faiz, seperti manusia lain yang baru memulakan pengajian dan menyantuni kehidupan selaku mahasiswa, dengan beberapa masalah peribadinya yang menimbun, oh, nyata berbeza dengan dia hari ini.
Melalui usrah, melalui majlis-majlis ilmu dan melalui persekitaran yang baik, Faiz dan Farhan keduanya berusaha menjadi manusia lebih baik. Melazimi solat jemaah sekurangnya solat Maghrib dan Isyak, membaca Ma’thurat di fajar dan sore, dan cuba memaknakan Muslim.
Muslim. Oh, sakit kepala Farhan memikir. Tidak mampu dilelap mata, dengan sarat fikiran berfikir itu dan ini.
‘Kalau kau bukan sahabat aku, teman serumah aku, aku tak serisau ini, Faiz.’
Dia mengiring ke kiri, berpindah arah. Di depannya, Faiz sudah nyenyak berdengkur di atas katilnya.
‘Tapi Farah bukannya calon yang tidak baik. Aku rasa sepadan dengannya.’ Tingkah hati sebelah lagi.
‘Argh. Apa aku fikir ni? Kau merelakan sahabat kau sendiri?’
Hatinya berlawan lagi. ‘Apa, berdosa besar kah apa yang mereka buat? Mereka bukan berpegang tangan, dan aku rasa, takkan lah jatuh iman Faiz nak buat perkara buruk macam tu?’
Pantas, bahagian hatinya menolak dakwaan. ‘Farhan, apakah hanya namanya dosa besar sahaja masuk neraka? Apakah kau yakin, manusia akan maksum, sangat pasti tidak berbuat dosa?’
Bahagian hati yang sebelahnya terdiam.
‘Farhan, agak-agak kau, apa pandangan Allah dengan mereka?’
Farhan terdiam. Bermusyawarah dengan hati sendiri. Dia tahu Faiz tidak pernah lewat solatnya. Dia tahu juga, rumah dan bilik juga cantik berkemas, jarang bersepah.
Dia tahu juga, persis seorang Faiz bukan buaya darat mahupun tembaga. Bukan lelaki yang tidak tahu usul tanggungjawab dan amanah. Soal hati dan perasaan untuk dijaga.
Dia tahu juga, dengan Faiz rapat dengan Farah, perempuan itu mula melabuhkan dan melonggarkan pakaiannya lagi. Farah sudah mula menggeluti majlis ilmu dan bertanya soal agama.
Sekurangnya, ada baiknya.
Hatinya memintas. ‘Ada yang baik, tidak menafi dosa yang buruk.’
Farhan menghempas badannya ke atas tilam, benar-benar berbaring menelentang. Ya, syarat amal diterima ikhlas dan mengikut apa Allah gariskan. Apa kiranya solat tetapi bertudungnya tidak? Apa kiranya tidak berpuasa tetapi bersedekah selalu?
Dipandang lagi Faiz di depan. Sahabat, kalaulah kau tahu sayangnya aku pada kau.
‘Apa pandangan Allah pada mereka?’
Dan malam itu terasa lambat sahaja melabuhkan pagi.
(bersambung)
0 Ideas:
Post a Comment