“...Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam.Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera..’’
Hadith di atas
pastinya merupakan hadith masyhur yang tidak asing lagi dikalangan kita dan ia
merupakan antara mukjizat Rasulullah SAW ketika dalam persediaan menghadapi
perang Khandak.Mukjizat itu diterima tika mana Rasulullah sedang menggali parit
bersama para sahabat dan terdapat batu besar yang menjadi penghalang penggalian
ketika itu.Batu itu kemudiannya dipecahkan dengan tiga kali pukulan yang
disertai dengan percikan yang mana antara tiga percikan itu,Rasulullah SAW
mendapat 3 bayangan dan antaranya ialah kota Konstantinopel akan dibuka oleh
tentera Islam.Dan ramalan ini telah dirakamkan setelah 825 tahun kota
Konstantinopel berada dalam tangan orang kafir pada tarikh serangan tentera
Sultan Muhammad Al-Fateh dilakukan dan tempat berlaku yang bertempat kira-kira
5000km jauhnya daripada kota Madinah.
Jika disebut Sultan Muhammad Al-Fateh
pasti sahabat-sahabiah sekalian mengaitkan baginda dengan kota Konstantinopel
atau dikenali sebagai Istanbul ketika ini.Baginda pastinya dikagumi oleh semua
orang tidak kira bangsa atau agama.Tetapi sebagai ummat Islam,yang mempunyai
ramai panglima hebat dikalangannya,adakah kita benar-benar mengenali
baginda?Atau sekadar mengenali namanya sahaja?Atau baru tergesa-gesa untuk
mengenali baginda tika semua orang sibuk berbicara mengenai baginda selepas
kisah baginda diangkat sebagai jalan cerita sebuah filem di Turki?
Siapa Sultan Muhammad Al-Fateh?
Sultan Muhammad Al-Fateh atau
nama sebenarnya baginda Sultan Muhammad(lakaran potret di atas) dilahirkan di Edirne pada 29 Mac 1432
Masihi.Merupakan Sultan yang ketujuh daripada kerajaan Uthmaniyah.Baginda
sangat terkenal dengan sifatnya yang tenang,pendiam,sabar,berani,tegas dan
sangat cintakan ilmu.Baginda juga merupakan seorang yang sangat tawwaduk sehingga
para ulama serta para pemimpin begara ikut serta dalam membina Benteng Bereli
Hassan apabila melihat baginda sama-sama membuka serban dan bajunya untuk
mengangkat batu dan pasir.
Kehebatan baginda terserlah dengan menguasai pelbagai
ilmu dalam pelbagai bidang antaranya seperti
ketenteraan,sains,kejuruteraan,falsafah dan matematik.Baginda juga menguasai
enam bahasa yang berbeza iaitu Arab,Latin,Greeek,Serbia,Turki dan Parsi dan hal
ini menunjukkan betapa penguasaan otak kiri perlu sama hebat dengan penggunaan
otak kanan agar segala jenis ilmu dapat dikuasai dengan baik dan bukan tertumpu kepada satu-satu bidang sahaja.Tetapi
untuk menghasilkan pemimpin sehebat baginda memerlukan satu ramuan yang sangat hebat yang boleh
digunapakai oleh kita semua.
Al-Quran dan Sunnah : Ramuan dan Formula Kehebatan
Bapanya Sultan Murad telah menjadikan Al-Quran
sebagai asas utama dalam mendidik Sultan Muhammad Al-Fateh.Hal ini kerana untuk
menjadi seorang yang hebat mestilah bermula dengan hafazan Al-Quran.Penjanaan
intergriti seseorang terhasil dengan konsep dosa dan pahala yang diterangkan
dalam Al-Quran yang mana menjadi asas kepada syariat sunnahtullah.Betapa perlunya Al-Quran itu dijadikan asas
dalam hidup kita manakala Usuluddin bertindak sebagai akar,Syariah sebagai
batang dan akhlak sebagai daun serta buah.
Mempunyai guru yang hebat juga mempunyai pengaruh yang besar dalam
usaha melahirkan panglima sehebat Sultan Al-Fateh.Oleh itu bapanya memastikan
Sultan Al-Fateh mendapat ajaran daripada kalangan tenaga pengajar yang terbaik
pada ketika itu seperti Al-Syeikh Muhammad daripada Al-Azhar.Sultan Murad juga
tidak berkompromi dalam mendidik Sultan Al-Fateh dengan membenarkan penggunaan
rotan digunakan dalam teknik pembelajaran bagi menghasilkan disiplin yang
mantap.Seseorang raja yang hebat mestilah juga mempunyai wawasan yang tinggi
agar masa tidak terbuang terhadap perkara-perkara yang tidak memberi
manfaat.
Oleh itu semenjak kecil lagi ibunya,Huma Hatun telah bertindak dengan
membawa Sultan Al-Fateh ke atas bukit berdekatan dengan Kota Konstantinopel
semenjak umur baginda 4 tahun bagi menanam wawasan yang jelas dalam diri
baginda bahawa suatu hari nanti baginda akan mampu menguasai Kota
Konstantinopel dan ini menjadikan Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai seornag yang
mempunyai matlamat yang jelas untuk dikecapi.Seperti kata-kata antara manusia
yang terkaya di dunia,Bill Gates;
‘If you have a clear vision,you will have no time to take breakfast’
Jadi sebagai seorang pelajar
perubatan,apakah matlamat kita dalam 10 tahun yang akan datang dan mampukah
kita merealisasikan matlamat tersebut?Di sini juga dapat dibuktikan betapa
pengaruh ibu bapa sebenarnya sangat memberi impak yang besar dalam melahirkan
peribadi anak yang hebat selain pengaruh persekitaran dan sahabat yang
hebat.Sultan Murad juga pernah melantik Sultan Muhammad Al-Fateh supaya
memimpin sebuah pulau kecil yakni Pulau Magnesia pada umur baginda 12 tahun! (UPSR patut).
Hal ini kerana Sultan Murad ingin melihat bagaimana Sultan
Al-Fateh belajar untuk membuat keputusan serta belajar untuk berdikari.Sebab
itu kita digalakkan untuk menyertai persatuan kerana hanya di sini sahaja
tempat untuk kita mendapat ilmu seperti itu.Di Magnesia juga baginda sentiasa
ditemani gurunya yang paling disayangi iaitu Syeikh Shamsudin Al-Wali yang
mengajar baginda menguasai pelbagai ilmu.Baginda di ajar untuk menguasai bukan
sahaja ilmu teori malah praktikal juga.Sebab itu antara haiwan kegemaran baginda
adalah kuda menunjukkan betapa baginda begitu menyukai aktiviti luar.Bukan
hanya setakat bermain permainan Angry Bird atau Farmville di dalam bilik
seperti kebanyakkan remaja pada zaman sekarang.
Usaha Sultan Muhammad Menakluki Kota Konstantinopel
Baginda memulakan misi
penaklukan Kota Konstantinopel pada umur 21 tahun,dua tahun selepas dilantik
menjadi sultan oleh bapanya.Walaupun sebelum baginda terdapat 12 kali percubaan
telah dilakukan dalam merobohkan Empayar Byzantine dan antara pemimpin-pemimpin
yang berkobar-kobar untuk merealisasikan ramalan Rasulullah SAW adalah seperti
Yazid bin Muawiyah yang telah melakukan tiga kali percubaan,Harun Ar-Rashid
yang mengejutkan kerajaan Rom dengan kehebatan beliau, serta Muawiyah bin Abi
Suffian.
Abu Ayyub Al-Ansari RA yang merupakan antara sahabat Rasulullah juga tidak
ketinggalan dalam melakukan percubaan menakluk Kota Konstantinopel pada usianya
86 tahun.Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi yang tidak pernah
ketinggalan untuk menyertai peperangan menentang orang kafir dan merupakan
pemegang panji tentera Islam.Selama 5 tahun beliau mengepung Kota
Konstantinopel yang mana usahanya menyumbang kepada pengecilan empayar tersebut
daripada saiz XL menjadi saiz S ketika era Sultan Muhammad Al-Fateh.
Abu Ayyub
Al-Ayyubi juga mewasiatkan agar jasadnya diwafatkan di bawah tembok yang paling
hampir dengan tembok Kota Konstantinopel agar dirinya menjadi motivasi kepada
generasi seterusnya supaya segera membebaskan Kota Konstantinopel jika tidak
mahu melihat kuburnya terus dipijak-pijak oleh tentera Rom.Lokasi kuburnya juga
telah dapat dikesan oleh guru Sultan Al-Fateh yakni Syeikh Shamsudin melalui
mimpi beliau.
Sebelum serangan ke atas Kota Konstantinopel dilakukan,Sultan
Muhammad Al-Fateh sendiri pernah menyamar untuk menyeludup masuk ke dalam kota
tersebut bagi mengenal pasti selok belok kota tersebut serta mencari sendiri
kekuatan serta kelemahan kota milik Empayar Byzantine itu dan percayalah dalam
tektik yang akan dilancarkan terhadap tentera Rom ini mengandungi tektik-teknik
daripada peperangan oleh Rasulullah SAW dan Salahuddin Al-Ayyubi kerana dua
ikon hebat ini antara tempat rujukan yang paling disajungi oleh Sultan
Al-Fateh.
Sultan Muhammad Al-Fateh
melakukan percubaan untuk menakluki Kota Konstantinopel dalam masa hampir dua
bulan.Bersama-sama baginda adalah sebaik-baik tentera sepanjang zaman yang
berjumlah seramai 150 ribu orang.Selain daripada itu baginda juga mempunyai
teknologi perang yang hebat yang mana baginda sendiri telah mereka bentuk
meriam gergasi sebagai alat perang.Sebanyak 69 biji meriam telah dibawa bersama
dalam bentuk pelbagai saiz dan 4 daripadanya adalah dalam bentuk gergasi yang
mampu menembusi tembok Kota Konstantinopel sedalam dua meter daripada 4 meter
saiz keseluruhan.
Tembok itu yang mempunyai 4 lapisan,setinggi 25 kaki dan
sejauh 160 kaki itu telah dikepung oleh tentera Islam selama 53 hari.Usaha yang
dilakukan secara berterusan itu tanpa menunjukkan sebarang hasil kejayaan telah
membuatkan tentera Islam berasa sedikit lemah.Lebih-lebih lagi setelah tentera
Islam mendapat berita bahawa armada laut tentera Islam telah kalah setelah
mendapat tentangan yang hebat oleh tentera laut Byzantine.Lalu Sultan Muhammad
Al-Fateh menyuruh untuk siapa-siapa daripada kalangan pegawainya yang
melemahkan semangat tenteranya dipecat.
Semangat baginda juga semakin teruji
apabila mendapat desakan daripada pihak tenteranya agar berundur setelah
percubaan demi percubaan telah gagal dilakukan ditambah pula dengan berita
bahawa kerajaan Rom semakin kuat setelah mendapat bantuan daripada Pope
Vatican.Ketika inilah peranan seorang guru yang sangat mengasihi Sultan
Muhammad Al-Fateh yakni Syeikh Shamsudin yang juga merupakan wali Allah dalam
membangkitkan semangat Sultan Al-Fateh dengan mengirimkan sepucuk surat buat
baginda.Beliau memberi semangat pada baginda dengan menyuruh baginda meneruskan
tentangan dan telah memberitahu bahawa beliau telah mendapat mimpi daripada
Allah ta’ala bahawa Kota Konstantinopel akan ditawan pada bulan Mei.Syeikh
Shamsudin juga sebenarnya telah digelar sebagai Al-Fateh Al-Ma’nawi iaitu
Al-Fateh yang sebenar kerana sumbangan beliau terhadap perjuangan pembukaan
Kota oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.
Tekanan yang diterima ini juga sebenarnya merupakan suatu ujian daripada
Allah ta’ala yang ingin menguji tentera Islam,kepada siapakah sebenarnya
penggantungan mereka yang sebenar-benarnya.Selain itu dengan kehadiran suatu
tekanan juga akan mampu menyerlahkan lagi potensi paling tinggi dalam diri
kita.Selepas itu,semangat Sultan Al-Fateh kembali melonjak dan baginda telah membuat
satu keputusan yang mengejutkan semua pihak.Sebanyak 72 kapal kecil di bahagian
armada laut telah diangkut naik ke gunung sebelum diluncurkan kembali ke perairan
Teluk Golden Horn hanya dalam satu malam sahaja.
Taktik ini diakui sebagai
antara tektik peperangan (warfare
strategy) yang terbaik di dunia oleh sejarawan Barat sendiri dan baginda
juga digelar ‘Grand Seigneur’ iaitu
‘pemimpin agung’.Kapal-kapal ini dipastikan agar sampai menjelang subuh kerana
selepas solat Subuh yang dilakukan secara berjemaah yang mana Sultan Al-Fateh
sendiri menjadi imam,serangan daripada tentera Islam dilakukan dengan dua kali
ganda berserta serangan mengejut oleh bedilan-bedilan meriam di bahagian tembok
belakang kota oleh kapal-kapal kecil yang diangkut tadi.Perkara ini memberikan
satu impak besar buat kerajaan Byzantine kerana bagi mereka belakang kota
merupakan bahagian yang paling selamat dan kehadiran kapal tentera Islam
dibahagian perairan teluk benar-benar di luar jangkaan.
Melihat kepada tentera baginda
yang semakin lemah,lantas baginda bertitah kepada tenteranya,baginda berkata;
"Wahai tenteraku,aku kini sudah bersedia untuk mati syahid di jalanNya dan sesiapa yang ingin turut sama mati syahid bersamaku,marilah mengikutiku!"
Mendengar
kepada titah tersebut, sahabat baik baginda sendiri iaitu Hassan Ulubate yang
sering menjadi teman berlawan pedang semenjak kecil lagi mengetuai seramai 30
orang tentera Islam menyerbu masuk ke dalam kubu musuh dan berserta 8 anak
panah yang tertusuk di badan Hassan ditambah pula dengan ratusan libasan
pedang,Hassan yang juga merupakan pemegang panji tentera Islam pada ketika itu
akhirnya berjaya mendaki ke kawasan atas bukit untuk menukarkan panji tentera
Rom kepada panji tentera Islam sebelum mati syahid pada akhirnya.
Melihat kepada
perkara itu, tentera Islam akhirnya dengan penuh semangat berpusu-pusu memecah
masuk ke dalam kubu musuh sambil melaungkan Allahu Akbar.Pada tanggal 29 Mei
1453 Kota Konstantinopel akhirnya berjaya ditawan oleh kerajaan Islam dan nama
Konstantinopel telah ditukarkan menjadi Istanbul (Islam keseluruhannya).Sultan
Muhammad Al-Fateh juga telah melumurkan pasir ke mukanya selepas melakukan
sujud syukur di atas pembukaan kota tersebut dan pembukaan ini juga telah
menyebabkan baginda digelar sebagai Al-Fateh yang membawa maksud pembukaan.
Sebaik-baik Raja,Sebaik-baik Tentera
Gereja Saint Sophie juga telah ditukar
menjadi masjid Hayyat Sofia dan semasa ingin melakukan solat Jumaat
pertama,timbul persoalan siapakah yang harus menjadi imam.Lantas baginda
memilih dengan menanyakan soalan kepada tenteranya;
"Sesiapa yang di antara kamu semua yang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali,silakan duduk!’’
Namun tiada seorang pun dalam kalangan tentera baginda yang duduk kerana tidak
pernah meninggalkan solat fardhu walau hanya sekali semenjak dari kecil
lagi.Kemudian baginda menanyakan lagi kepada para tenteranya,
"Sesiapakah yang antara kamu pernah meninggalkan solat rawatib walau sekali,silakan duduk!’’
Sebahagian daripada tentera baginda kemudiannya duduk.Manakala soalan yang
terakhir yang diajukan oleh baginda;
"Sesiapakah yang antara kamu pernah meninggalkan solat sunat tahajud walau sekali,silakan duduk!’’
Semua ahli
tentera baginda akhirnya duduk dan hanya Sultan Muhammad Al-Fateh sahajalah
yang tinggal seorang sahaja berdiri.Hal ini membenarkan ramalan Rasulullah
SAW,bahawa sebaik-baik raja hanyalah benar-benar layak disandang oleh baginda.
Kesimpulan
Akhir sekali,sebelum ana menutup
coretan ana pada kali ini,suka ana untuk mengingatkan para sahabat serta
sahabiah agar menjadikan Sultan Muhammad Al-Fateh bukan sahaja sebagai idola
kita,tetapi segala ajaran serta peribadi baginda juga seharusnya dijadikan
motivasi buat kita semua demi melahirkan Muhammad Al-Fateh yang kedua bagi
menaikkan kembali era kegemilangan Islam di muka bumi ini.Juga bagi membebaskan
kembali bumi Palestin yang ditunggu-tunggu selama ini.
Mujurlah kita masih ada
Negara Turki yang menjadi satu-satunya Negara yang berani untuk meludah Negara
Israel semasa Persidangan Antarabangsa dan yang terbaru pemimpin kerajaan Turki
jugalah antara Negara Islam yang terawal yang mengambil tindakan dalam isu
rakyat Islam Rohingya di Myanmar.Di manakah peranan kita dalam isu-isu
sebegini?Tepuk dada tanyalah iman.Moga-moga coretan ana ini dapat memberikan
sedikit inspirasi serta manfaat daripada kita semua.
Sama-samalah kita
melahirkan Sultan Muhammad Al-Fateh dalam diri kita!
Nota kaki : Ini merupakan catatan Seminar Sultan Muhammad Al-Fateh oleh Ustaz Shaari bin Abd Rahman.