HARI NAKBAH = SEBUAH EPISOD LUKA
Istilah NAKBAH mungkin adalah satu perkataan yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin.
Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar. Nakbah Palestin (يوم النكبة - Hari al-Nakbah) pula merujuk kepada penubuhan negara haram Israel yang telah diisytiharkan secara rasminya pada 15 Mei 1948.
Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.
Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.
Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan PBB sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.
Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,''Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh.
Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya.
Sesungguhnya amat tidak adil apabila Yahudi menjadikan Holocaust atau peristiwa pembunuhan bangsa mereka di Eropah oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas lautan, penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.
Mereka sengaja melupakan bahawa bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal bumi Palestin sehinggakan pemerintah tentera mereka yang kemudiannya dilantik sebagai menteri pertahanan, Moshe Dayan mengakui sendiri bahawa setiap penempatan Yahudi dibina dari keruntuhan perkampungan rakyat Palestin. Ini adalah jenayah yang terancang melalui perencanaan dan pengiktirafan sebelumnya.
Jenayah ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka (sehingga tahun 2000) supaya mengembalikan hak 4.4 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tidak ada satu pun daripada resolusi-resolusi ini yang dilaksanakan oleh rejim Yahudi Zionis.
Nakbah 1948 yang melanda Palestin juga menimbulkan kenangan pahit dan perasaan terhina yang
Birthday Shout-out! [MAY]
Dengan ini, kami mendoakan semoga antum semua dihiasi dan dikurniakan iman yang sempurna, akhlak yang terpuji, umur yang bermanfaat, ilmu yang berguna, rezeki yang halal, jodoh yang membahagiakan dan hidup yang dirahmati Allah di dunia dan di akhirat. Semoga dengan amalan-amalan yang mulia ini dapat menjadi bekalan di akhirat kelak. InsyaAllah.
SM Hajj
Montazah, 18 April 2014 – Program Ibadah Rakan Huffaz kembali lagi. Jika tahun lalu kita didedahkan dengan amali ibadah sembelihan. Tahun ini pula Rakan Huffaz mengadakan program “SM Hajj” iaitu ibadah rukun islam yang ke lima iaitu ibadah haji. Program amali ibadah haji dan umrah ini diadakan pada hari Jumaat di Taman Montazah, Iskandariah.
Sekitar jam 11 pagi, ahli-ahli SM
terutamanya akhawat mula tiba di pintu masuk utama taman Montazah dan disambut
oleh ajk Rakan Huffaz. Para ikhwah dan ajk RH telah tiba lebih awal untuk
membakar ayam dan menyusun atur kawasan program. Kebanyakan ahli datang dengan menaiki
kemudahan tramco kerana lebih mudah dan murah.
Taman Montazah turut dipenuhi oleh orang-orang arab tempatan yang datang
beriadah dan berkelah. Tambahan pula musim bunga yang berkunjung tiba menambah
keindahan taman dengan bunga-bunga yang
berwarna-warni.
Alhamdulillah program kali ini turut mendapat sambutan oleh ahli SM.
Walaupun ada beberapa orang yang tiba lewat kerana sibuk dengan
aktiviti-aktiviti lain, mereka tetap menghadirkan diri untuk memberikan
sokongan dan meraikan program. Setelah diberikan taklimat oleh ajk RH tentang
perjalanan program, para ikhwah mula bergerak ke masjid berdekatan untuk
menunaikan solat Jumaat. Manakala akhawat diberi ruang untuk menunaikan solat
Zohor berjemaah dan makan tengah hari. Kudapan yang disediakan ialah nasi
goreng bersama ayam bakar yang dimasak oleh ajk-ajk RH sendiri. Pada pukul satu
petang, giliran ikhwah pula untuk makan tengah hari sebaik sahaja mereka
selesai menunaikan solat Jumaat.
Slot yang pertama iaitu “Ada Apa Dengan Haji” bermula pada pukul 2.15 petang. Slot ini adalah penerangan teori
yang berkaitan dengan haji dan juga umrah. Sesi ini disampaikan oleh Ustaz
Najmi bin Yasak yang merupakan pelajar jurusan syariah Universiti Al-Azhar .
Beliau sudah pun mempunyai pengalaman berada di tanah suci Mekah dan Madinah
bagi menunaikan ibadah haji dan umrah bersama keluarganya pada tahun lepas.
Turut hadir bersama beliau dua ustazah yang juga merupakan pelajar Universiti
Al-Azhar cawangan Mandaroh, Iskandariah. Sesi soalan dibuka kepada ahli SM yang
mempunyai sebarang soalan atau kemusykilan sebelum diteruskan ke slot amali.
Setelah satu jam, program diteruskan dengan sesi amali. Slot ini
dinamakan “Perjalanan Haji Bermula”. Pada mulanya sesi praktikal ini dirancang
untuk dilakukan secara berasingan ikhwah dan akhawat. Tetapi apabila tibanya
waktu petang, kawasan taman semakin
dipenuhi pengunjung menyebabkan kekurangan ruang. Oleh itu, praktikal haji ini
dilakukan oleh seorang pelajar ikhwah dan disaksikan oleh ikhwah akhawat yang
lain. Sesi amali ini turut menunjukkan contoh cara pemakaian ihram bagi lelaki.
Program diteruskan dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada ustaz
dan ustazah tanda terima kasih atas perkongsian
mereka. SM Hajj diakhiri dengan sesi bergambar bersama-sama semua ahli
SM yang hadir sebagai kenangan. Semoga semua yang hadir mendapat ilmu dan
manfaat sebaiknya daripada program yang diadakan.
[آل عمران: 97] وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
Maksudnya : "Mengerjakan haji adalah
kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan
perjalanan ke Baitullah; Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka
sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta
alam". Al Imran: 97.
InsyaAllah moga kita semua mendapat peluang dan rezeki untuk melakukan ibadah haji di kota suci Mekah, sekurang-kurangnya sekali. Sesungguhnya menjadi pelajar perubatan bukanlah menjadi alasan untuk kita bermalas-malasan atau mengelak daripada mempelajari ilmu agama dan cara-cara beribadah yang betul. Segala peluang yang ada seharusnya direbut untuk dipraktikkan dalam kehidupan sebagai seorang muslim.
Birthday Shout-out! [APRIL]
Puisi : Persahabatan Sejati
Saat ku teringat pada teman-teman
Yang jauh beribu nautika
Yang dekat hampir sedepa
Maka ku karang puisi ini
Buat memahat ingatan murni ini
Berbekalkan rasa dan aksara
Moga ia bisa mengubat rindu lara
Mengeratkan kasih cinta keranaNya.
*****
Persahabatan ini
adalah sejati
Kerna dasarnya adalah
Keimanan yang terpatri
Di lubuk hati.
Persahabatan kita
Tak akan terputus
Kerna jauhnya jarak
Bahkan kita akan
Saling merindui.
Persahabatan kita jua
Tak akan sirna
Dek lamanya zaman
Bahkan kita akan
Tetap setia berkawan.
Persahabatan kita
Kan terus utuh
Apabila kita saling
Mendoakan dari jauh.
Persahabatan ini
Akan kita pelihara bersama.
Disemai dan dibaja bersama cinta
Kerna Ilahi
Hingga kita bersahabat lagi
Di negeri abadi.
Prof N
22 Mac 2014
21 Jamadil Awal 1435
Iskandariah.
22 Mac 2014
21 Jamadil Awal 1435
Iskandariah.
STEP UP
Pada 25 Mac 2014, biro akademik Stanza Mahabbah telah menganjurkan satu program iaitu “Step Up” yang bertempat di sutuh asrama MARA. Program ini mendapat inspirasi daripada program SM yang terdahulu iaitu “Glow With Flow”. Bertemakan “from Zero to Hero” SM akademik pada kali ini mensasarkan agar keyakinan diri ahli-ahli SM dapat ditingkatkan kepada tahap yang maksimum dan potensi diri ahli-ahli dapat ditonjolkan dalam apa jua aspek sekalipun. Antara aktiviti yang diadakan dalam program ini ialah solat berjemaah, pengisian daripada senior-senior dan sedikit jamuan.
Program yang bermula pada pukul 6 petang ini dimulai dengan solat maghrib secara berjemaah di sutuh asrama MARA. Semester 6 merupakan semester yang terakhir sebelum ahli-ahli SM melalui dunia klinikal kursus perubatan. Oleh sebab itu, debaran dapat dirasai oleh ahli-ahli SM dan ahli-ahli berharap agar perjalanan di semester 6 ini dapat dipermudahkan oleh Allah SWT agar semuanya berjalan dengan lancar. Ahli-ahli SM juga berharap agar kesemuanya dapat masuk ke dunia klinikal bersama-sama tanpa ada yang mengulang tahun. Oleh itu, solat hajat secara berjemaah telah diadakan sejurus selepas solat maghrib. Selain daripada itu, solat hajat juga diadakan bersempena dengan tragedi pesawat MH370 yang hilang. Misteri kehilangan pesawat MH370 yang masih belum terungkai sehingga kini ini jelas bahawa pada akhirnya kita perlu kembali Allah, memohon kepadaNya agar pesawat ini dikembalikan. Pelbagai cara telah dilalukan dan banyak negara telah mengerah tenaga untuk mencari pesawat ini namun ianya masih belum dapat dijumpai. Walaupun Perdana Menteri Malaysia telah memberi kenyataan rasmi bahawa pesawat tersebut berakhir di Lautan Hindi, namun semua ahli SM tidak pernah putus berharap bahawa pesawat ini masih boleh dijumpai selagi ianya belum dapat dikesan. Oleh itu, sebingkas doa buat pesawat MH370 juga diselitkan bersama semester 6 di dalam solat hajat masing-masing.
Seusai solat hajat, program diteruskan dengan perkongsian daripada senior. Akan tetapi, aturcara program tersebut terpaksa ditangguhkan disebabkan oleh kesilapan teknikal yang berlaku. Walaupun telah berlaku ralat, semangat ahli-ahli SM tetap teguh dan tidak patah untuk meneruskan program ini. Sambil menunggu ralat tersebut selesai diperbetulkan, ahli-ahli SM diminta untuk menikmati jamuan makan malam terlebih dahulu. Ahli-ahli SM telah dihidangkan dengan nasi kosong berserta ayam sambal. Seusai makan malam, program diteruskan dengan perkongsian daripada senior-senior tahun 4. Nasihat dan dorongan oleh senior-senior ini amat diperlukan oleh ahli-ahli SM supaya semester 6 ini dapat dilalui dengan lebih mudah. Antara pengisian yang diberikan ialah berkenaan dengan tips-tips untuk menjawab soalan exam semester 6 dan cara-cara yang berkesan untuk menempuhi cabaran yang hadir sepanjang melalui semester 6 ini. Seperti yang kita tahu, modul GIT di dalam semestar 6 ini merupakan antara modul yang “killer” disebabkan inputnya yang banyak. Oleh itu, modul GIT ini telah menjadi tajuk yang hangat dikongsikan oleh senior-senior kepada ahli-ahli SM ketika itu. Segala perkongsian yang diberi oleh senior-senior telah menyebabkan minda ahli-ahli SM tepu dengan info-info yang berguna. Seusai aturcara tersebut, maka berakhirlah program “Step Up” ini.
Diharap dengan berakhirnya program ini, semua ahli dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik dan dapat menempuh semester 6 ini dengan lebih mudah. Diharap juga agar semua ahli dapat lebih merajinkan diri dalam menuntut ilmu supaya kualiti akademik ahli-ahli dapat dipertingkatkan dan sasaran batch SM setiap semester iaitu “Zero Repeaters” dapat direalisasikan. Menurut kata Imam Syafie, “Bila kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan”.
Part Terakhir BINGKISAN KISAH SEMALAM
“Wah, ada dua hari setengah
sahaja lagi untuk menelaah buku sebelum peperiksaan akhir semester bagi Urinary
System ni. 28 Januari tak jauh dah” ujar Awang setelah keluar dari dewan
peperiksaan. Terus, Awang dan teman-temannya berjalan menuju kedai makan La
Alexandria berdekataan Kubri Gamaah. Sekali sekala mereka berbincang jawapan
mereka sambil di iringi gelak ketawa. Bertanding siapa lagi juara ‘menggoreng’
jawapan.
Awang tiba di rumahnya setelah
puas membelasah Ayam Penyet versi La Alexandria. Peperiksaan akhir semester
berbaki dua hari sahaja lagi. Awang mulai resah dan bimbang. Emosinya
bercelaru. Dia cuba menenangkan dirinya. Berfikir sejenak. Berusaha
merasionalkan diri dan berfikiran positif.
“Apa yang patut aku buat ya ?
Banyak yang nak di baca ni. Nak mula subjek yang mana dulu ? Hmm…”,Awang
sedikit mengeluh memikirkan berbagai persoalan yang tidak mampu dijawab.
“Awang, kau dah call mak kau minggu ni ? Dah Skype ? Call lah mereka. Minta
restu,minta nasihat dan minta doa mak ayah. Besar kesan dia kepada study kita tau ” Nasaie tiba-tiba hadir
dari belakang memberi nasihat. Itulah mereka. Saling memberi peringatan dan
nasihat antara satu sama lain. Saling menguatkan untuk terus kuat dalam bidang
perubatan yang cukup mencabar ini.
“Okay”, jawab Awang sambil senyum
nampak gigi. Lantas dia mencapai komputer riba kesayangannya. Aplikasi Skype terus di buka. Nasib sangat baik
kerana ibunya juga sedang online.
Lalu menekan ikon video call.
Tuut... tuut… tuut… .
“Assalamualaikum… mak buat apa tu
? mak sihat ke ? ”, Nasaie berlalu pergi dari bilik Awang. Memberi laluan untuk
dia berhubung dengan sepuasnya dengan dua orang tuanya. Biarlah dia berasa
selesa dan bebas untuk meluahkan segala tekanan dan masalah yang berderet di
kepalanya.
Hampir satu jam Awang meluangkan
masa berhubung dengan bonda dan ayahandanya. Awang kembali bermotivasi. Dengar
saja suara mak dan ayah dari earphone
sebenarnya sudah cukup menceriakan dirinya. Mereka berdua insan mulia yang
sudah dua abad membesarkannya. Jasa mereka besar metah jika mahu di ukurkan.
Di akhir perbualan manik jernih
gigih berusaha melimpahi takungan matanya namun Awang adalah Awang. Dia bukan
budak cengeng. Kerana dia seorang lelaki. Dia tidak akan sesekali memecahkan empangan air matanya. Biarlah
emosi dan perasaan itu terpendam di dalam jiwanya. Untuk dijadikan bara api
yang sentiasa marak membara. Itu prinsip yang dipegang sejak dari sekolah
rendah lagi. Mungkin kerana inilah dia tampak seperti seorang yang berhati keras.
Jiwanya tidak mudah terusik dengan mainan perasaan.
***
48 jam yang berbaki cuba di
padatkan dengan mengulangkaji sepenuhnya. Gigih sekali Awang menelaah
pelajaran. Dia hanya tidur lima jam sehari. Bermula dengan membaca buku di meja
belajar, kemudian beralih ke atas karpet bilik sambil bersila. Bosan dengan
cara itu dia naik atas katil pula. Bentang Saratoga terus sambung baca buku.
Kadangkala, dia membaca sambil berjalan perlahan-lahan di dalam rumah sewanya
atau dia membaca sambil tercegat di depan pintu bilik. Sehabis daya di kerahkan
untuk menghabiskan buku pelajaran yang sangat tebal.
Tatkala anak mata sudah penat
berlari-lari menatap ayat demi ayat di dalam buku, Awang menghentikan bacaannya
sebentar. Dia maju ke bilik Zul di sebelah. Pintu bilik di tolak perlahan
bimbang kalau mengganggu sahabatnya sedang belajar. Zul senyum sahaja tanda
senang hati dengan kehadiran Awang. Dia sudah tahu apa akan berlaku selepas
Awang masuk ke biliknya. Soalan dan persoalan. Walaupun rasa sedikit terganggu
kerana di ajukan soalan dari Awang ketika sedang membaca namun Zul rasa bertuah
kerana fiil Awang itu akan membantu dia mengingati fakta dengan lebih padu.
Usai solat Isyak di Masjid
Ar-Rahman, Awang berjalan pulang ke rumahnya. Sebelum melangkah ke biliknya, dia
menjenguhkan kepala ke bilik Faiz. Namun
Faiz tiada. Awang ke bilik Zul dan terus bertanyakannya.
“Mana Faiz, Zul ?”
“tadi aku Nampak dia singgah
kedai makan Abou Rabi’ selepas turun masjid Ibnu Taimiyah. Beli makanan untuk
makan tengah malam lah kut.”jawab Zul ringkas. Awang segera berlari ke biliknya
mendapatkan telefon bimbit. Dia terus membuat panggilan kepada Faiz. Baru
beberapa saat menunggu panggilan dijawab, kedengaran pintu rumah di buka. Faiz
baru balik dengan dua burger firakh bil
bied dalam plastic Abou Rabi’.
“asal kau balik cepat sangat. Aku
baru nak order burger firakh bil bied.” Awang berterus terang dengan muka sedikit
kecewa. Nampaknya malam ini mungkin tiada bekalan untuk berjaga malam. Faiz
sengih-sengih sahaja. Tidak berkata apa. Apa boleh buat ?
“Takpa lah… mungkin takda rezeki
nak makan burger ayam dengan telur agaknya” Awang mengakhiri perbualan. Dia
berlalu ke biliknya. Sebentar kemudian dia memasuki bilik air. Selepas ini dia
mahu study straight 2 jam. Tidak mahu
diganggu dengan benda-benda lain.
“Perghh… alhamdulillah. Lega…
dapat buang air pun satu nikmat besar tapi tak ramai manusia bersyukur” Awang
mengomel seorang diri sambil menuju ke biliknya. Matanya terkesap-kesip
sebentar. Ada burger firakh
berbungkus kemas di atas meja belajarnya. Terus dia ke bilik Faiz. Dengan
selamba Faiz kata itu Maidah Rahman.
Awang suka bukan kepalang lagi. Senyumanya hamper mencecah hingga ke telinga.
Nasib baik bibir mulut tidak koyak sebab terlalu hebatnya senyuman Awang.
***
Pada malam sehari sebelum imtihan
lain pula ceritanya. Kali ini Nasa’ie pun jadi murah hati. Tiba-tiba dia
tersembul di pintu bilik Awang. Mengajak Awang ke kedai makan Mumtazah. Katanya
tiba-tiba dia teringin untuk makan Nasi
Goreng Belacan. Awang pun apa lagi. Menyahut sajalah seruan. Tambah pula
sahabat nak belanja. Memang rugi kalau di lepaskan. Malam yang penuh tekanan
itu akhirnya jadi reda sedikit terkena penangan masakan panas dari Mumtazah.
Angin dhuha bertiup lembut.
Langkahan kaki di susun kemas. Wajah Awang ceria seceria sang mentari yang
menerangi waktu dhuha. Awang menaiki
teksi bersama Nasaie menuju ke jihat kampus Universiti. Hari ini merupakan hari
yang bermakna. Hari terakhir peperiksaan semester kelima, malah hari ini jua
adalah hari ibunya bertarung nyawa melahirkan adiknya, Sulaiman yang telah
pergi dahulu.
Akhirnya aku tinggalkan kebiasaan
itu. Meniru bukanlah jalan penyelesaian. Semestinya kita berusaha gigih bagi
mencapai kejayaan. Di dunia mahu pun akhirat.
“Kalau ada keberkatan dalam hidup
ini, insya Allah segalanya beres. Hati pun sentiasa tenang”, pesanan Bahar
terngiang-ngiang di telinganya.
TAMAT
Bahar
14 Rabiul Akhir 1435H
14 Februari 2014
Iskandariah,Mesir.
THE QUR'AN AND MODERN SCIENCE
Kenapa Dr. Maurice Bucaille Memeluk Islam Selepas Bedah
Mumia Firaun?
Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal pada tahun 1976.
Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.
Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.
Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal pada tahun 1976.
Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.
Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.
dr bucaille |
Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.
Ini termasuklah apabila Presiden Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.
Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis.
Di situ ia diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.
Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.
Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.
Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut.
Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.
Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille.
Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?
Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine).
Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.
“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”
Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil.
Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.
Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898.
Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.
Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.
“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.
Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)
*gambar hiasan* |
Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.
Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.
Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu.
Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.
Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Yunus: 92)
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”
Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.
Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.
Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah!
SMART : Jaulah Fayoum
Objektif program ini diadakan adalah untuk melawat tempat-tempat bersejarah di Mesir dan untuk merapatkan ukhuwah di antara ahli-ahli SM. Bas lawatan dijangka bertolak pada dinihari seawal jam 5.30 pagi. Oleh itu semua ahli diminta untuk berkumpul di asrama MARA seawal yang mungkin agar tiada sebarang kesulitan berlaku. Perjalanan memerlukan kira-kira 4 jam untuk tiba di Fayoum. Ketika dalam perjalanan, semua ahli telah dijamu dengan spaghetti goreng dan ayam goreng sebagai santapan sarapan pagi.
Setelah tiba di Fayoum, tempat pertama yang dilawati ialah Tasik Qorun. Tasik Qorun ini merupakan tasik air masin yang luas. Tasik ini menceritakan tentang Qorun yang ditenggelamkan bersama hartanya oleh Allah kerana keingkaran Qorun dalam membayar zakat dan kekufurannya terhadap Allah. Program diteruskan dengan tempat lawatan yang seterusnya iaitu Istana Qorun. Istana Qorun ini merupakan tempat kediaman Qorun yang dibina dalam bentuk 6 tingkat. Namun sekarang hanya 2 tingkat teratas dapat dilihat kerana tingkat istana yang selebihnya telah tenggelam jauh ke dalam padang pasir.
Setelah tiba di Fayoum, tempat pertama yang dilawati ialah Tasik Qorun. Tasik Qorun ini merupakan tasik air masin yang luas. Tasik ini menceritakan tentang Qorun yang ditenggelamkan bersama hartanya oleh Allah kerana keingkaran Qorun dalam membayar zakat dan kekufurannya terhadap Allah. Program diteruskan dengan tempat lawatan yang seterusnya iaitu Istana Qorun. Istana Qorun ini merupakan tempat kediaman Qorun yang dibina dalam bentuk 6 tingkat. Namun sekarang hanya 2 tingkat teratas dapat dilihat kerana tingkat istana yang selebihnya telah tenggelam jauh ke dalam padang pasir.
Selepas itu, program diteruskan lagi dengan melawat air terjun Wadi el Rayyan. Air terjun ini merupakan air terjun terbesar di Negara Mesir dan salah satu oasis yang ada di Fayoum. Makanan tengah hari disediakan dan semua ahli SM diminta untuk makan tengah hari di sini dan bersiap-siap untuk solat. Nasi goreng dan sambal daging menjadi menu untuk makanan tengah hari. Setelah usai solat dan makan, semua ahli menuju ke air terjun Wadi el Rayyan dan bergambar sesama mereka. Selepas itu, semua ahli telah dibawa ke destinasi jaulah yang terakhir iaitu kincir air Nabi Yusuf A.S. Kincir Air di kota Fayoum ini merupakan satu-satunya kincir air yang terdapat di negara Mesir. Tujuan kincir air ini dibina adalah untuk mengalirkan air ke kawasan pertanian sehingga ianya menjadi subur. Difahamkan bahawa kawasan pertanian disini merupakan yang tertua di dunia. Kincir air ini juga digunakan untuk mengolah gandum untuk dijadikan sebagai sumber makanan.
Di sini juga semua ahli SM telah membeli cenderahati dan bertukar cenderahati sesama mereka sebagai tanda persahabatan. Dengan berakhirnya lawatan ke kincir air Nabi Yusuf A.S, maka berakhirlah program Jaulah ke kota Fayoum ini. Bas lawatan telah singgah sebentar di kawasan perhentian untuk memberi masa kepada semua ahli untuk makan malam, solat dan sesi fotografi. Menu makan malam yang disediakan ialah nasi lemak dan ayam goreng. Setelah usai makan dan solat, sesi fotografi telah diadakan bersama ahli-ahli SM sebagai tanda ukhuwah. Selepas itu, semua ahli tiba di kota Iskandariah dan beransur pulang ke kediaman masing-masing. Diharap agar semua ahli SM dapat mengambil ibrah daripada jaulah ini supaya dapat memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik dan dikasihi Allah S.W.T.
Di sini juga semua ahli SM telah membeli cenderahati dan bertukar cenderahati sesama mereka sebagai tanda persahabatan. Dengan berakhirnya lawatan ke kincir air Nabi Yusuf A.S, maka berakhirlah program Jaulah ke kota Fayoum ini. Bas lawatan telah singgah sebentar di kawasan perhentian untuk memberi masa kepada semua ahli untuk makan malam, solat dan sesi fotografi. Menu makan malam yang disediakan ialah nasi lemak dan ayam goreng. Setelah usai makan dan solat, sesi fotografi telah diadakan bersama ahli-ahli SM sebagai tanda ukhuwah. Selepas itu, semua ahli tiba di kota Iskandariah dan beransur pulang ke kediaman masing-masing. Diharap agar semua ahli SM dapat mengambil ibrah daripada jaulah ini supaya dapat memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik dan dikasihi Allah S.W.T.
Hooray!! HOLIDAY EXTRAVAGANZA Menemui Anda!
3:06 PM
No comments
Sempena dua minggu cuti tambahan yang diberikan oleh pihak universiti, pihak PERUBATAN telah mengadakan beberapa program bagi mengisi kelapangan ini. Alhamdulillah, cuti yang diberikan ini telah dimanfaatkan sebaiknya oleh ahli PERUBATAN khususnya ahli Stanza Mahabbah.
Pada hari Rabu,5 Mac 2014, Bazar Holiday Extravaganza telah berlangsung dengan meriahnya bertempat di sutuh asrama MARA. Untuk pengetahuan, bazar ini dibuka untuk akhawat bermula pada pukul 12.30 tengah hari sehingga 3 petang. Manakala 3.30 petang hingga 6 petang pula untuk para ikhwah. Hampir kesemua tapak bazar yang disediakan telah dipenuhi dengan pelbagai juadah makanan yang beraneka rasa dan warna dan pastinya masakan melayu turut dijual sebagai pengubat rasa rindu. Oleh itu, Usahawan Stanza dan beberapa ahli SM tidak melepaskan peluang untuk turut serta membuka gerai masing-masing. Walaupun agak kepenatan setelah seharian mengikuti program jaulah batch ke Fayoum pada 4 Mac, ahli-ahli SM masih tetap bersemangat untuk berniaga serta menghadirkan diri ke bazar.
Sementara itu, Usahawan Stanza dengan jualan nasi kerabu mereka mendapat sambutan yang amat menggalakkan seperti pisang goreng panas! Dengan harga yang sangat berpatutan dan rasa nasi kerabu yang sungguh sedap seperti dimasak oleh tukang masak professional, nasi kerabu mereka semestinya mendapat pujian ramai! :)
Nasi kerabu lain dari yang lain :) |
Ahli Usahawan Stanza dibawah pimpinan Syafiq Firdaus |
Beberapa ahli SM lain juga tidak kurang hebatnya menjual juadah mereka di gerai masing-masing. Antaranya, gerai ikhwah menjual popcorn dan corndog manakala gerai akhwat pula menjual lontong, karipap berinti daging dan kentang, burger Malaysia dan pau berinti custard atau nama lainnya "Pau Alaf Baru". Menu-menu seperti ini pastinya menepati citarasa para pembeli, terutama akhawat sehingga ada yang tidak sempat membeli.
Alhamdulillah
semua habis dijual!
|
"Cepat-cepat! Popcorn kami terbaik dari ladang!!" :P |
Ramai ahli SM telah hadir ke bazar untuk menyokong dan memberi semangat kepada sahabat-sahabat mereka. Malah ramai yang sudi menghulurkan bantuan tanpa diminta. Semoga dengan sikap tolong-menolong ini sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi ukhwah sesama kita disamping mendapat Redha-Nya. Dalam pada masa yang sama, program seumpama ini juga dapat mengasah minat dan kebolehan pelajar perubatan dalam bermuamalat. Sesungguhnya, sembilan per sepuluh punca rezeki adalah daripada perniagaan.
Semangat
tolong-menolong sebegini yang kita mahukan!
|
Dengan kesempatan masa yang ada, pelajar perubatan pastinya berpeluang untuk belajar berniaga walaupun sedikit, sekiranya mahu.
Setiap masa dan nikmat yang Allah pinjamkan seharusnya kita manfaatkan sebaik yang mungkin. Semoga Allah SWT redha dan berkati masa-masa kita yang lalu dan akan datang.
Part 2 BINGKISAN KISAH SEMALAM
“Kau ada masalah
ke ? Kongsikanlah dengan aku, manalah tahu kalau-kalau boleh bantu.” Bahar
tetap mencuba.
“Aku rasa sangat
malulah. Mana aku nak letak muka aku ni ? Satu dunia dah heboh. Wall Facebook
aku penuh dengan poster jangan meniru. Semua orang nak post poster tu dan semua
orang dah tag aku. Malu aku di buatnya.” Awang kembali diam. Pandangan di tala
ke langit biru. Bahar tersenyum. Memikirkan jawapan terbaik untuk sahabatnya.
“Awang, betul la
apa yang sahabat-sahabat kita buat tu. Mereka mahu kau berubah. Mereka mahu kau
tinggalkan tabiat buruk itu dari hidup kau. Mereka sayang pada kau. Semua orang
tahu kau satu-satunya budak kampung biasa tapi genius kau luar biasa. Namun
sayangnya kau tak mahu berusaha gigih seperti SPM dahulu. Kau lebih rela
memilih untuk meniru. Kau ada potensi besar Awang. Keturunan kau orang
baik-baik.” Awang diam mendengar luahan hati Bahar. Dia cuba merasionalkan diri
untuk menerima kebenaran. Tambah pula, kebenaran yang datang dari sahabat
baiknya.
“Awang kau tau
tak masa kelas Tafaquh Fiddeen malam jumaat minggu lepas, Ustaz Sofuan ada
bagitau satu benda menarik”.
“Apa ?”
“Ustaz cakap
keberkatan tu ialah ziyadatul khoiri bermaksud bertambahnya kebaikan.” “Kaf Ba Ra Kaf Alif
Ta Nun ini… penting sangat dalam hidup kita. Kalau ada keberkatan dalam hidup
ini, insya Allah segalanya beres. Hati pun sentiasa tenang”. Awang tersenyum
melihat gelagat temannya yang cuba berkongsi.
“Ada gaya macam
ustaz la kau ni. Kenapa selepas SPM dulu kau tak ambil ustaz je, Bahar ? Ambil
Usuluddin ke atau Syariah Islamiah ke ? ” Awang kembali ceria setelah
melontarkan soalan cepumas kepada Bahar. Dia tergelak-gelak. Gembira dapat
menyakat Bahar.
“Kalau kau nak
tahu kenapa… aku boleh bagitau tapi… ”
“tapi apa pulak
Bahar ?”
“Kau kena bawa
aku datang rumah kau, pastu kau masakkan Mee Bandung kegemaran aku baru aku
cerita. Nak ? ”
“Untuk Bahar
semua boleh. Mee Hong Kong pun boleh lagi aku masak. Siap dengan Teh Tarik
lagi.” Terbahak-bahak Bahar dan Awang ketawa. Arab Mesir yang sedang khusyuk
memancing terganggu konsentrasinya. Dia menjeling tajam kepada mereka berdua.
Sebelum mata kail tersangkut di lubang hidung, baik mereka menyelamatkan diri.
***
9.30 pagi 26
Januari, Awang masih setia menatap buku Urinary System di meja belajarnya.
Hassan,Faiz dan Zul sudah berangkat ke kampus Universiti Iskandariah. Mereka
mahu sampai awal ke dewan peperiksaan pada hari ini. Peperiksaan bermula pada
pukul 10 pagi. Hanya Awang dan Nasa’ie sahaja yang belum bergerak. Mereka
selalu keluar lambat kerana mereka ke
kampus dengan teksi. Kata mereka itu lebih mudah dan badan pun tidak penat
berjalan ke kampus. Itu alasan mereka walhal mereka mahu membaca buku
sebenarnya. Saat-saat akhir inilah semua yang dibaca itu mudah sahaja untuk
dihadam.
Dewan
Amphitheatre 4 sunyi sepi. 175 orang calon peperiksaan sedang bertungkus-lumus
menjawab soalan. Awang mendongak kepala ke atas. Mencari-cari jika ada jawapan
pada lelangit dewan peperiksaan. Pengawas peperiksaan yang sudah mengenali
Awang terus mengisyaratkan supaya Awang membetulkan posisi sambil memberi
amaran dengan anak matanya agar jangan meniru! Awang terus akur. Pengawas
peperiksaan itu Profesor yang mengajarnya juga, jadi tidak salah jika dia
menghormati arahan gurunya itu.
15 minit sebelum
masa ujian berakhir, Awang menyemak jawapannya. Cuba membaca jawapan-jawapan
yang enak ‘di goreng’ ala-ala Mee Goreng Basah. Sekejap dia tergelak seorang
diri sambil menggeleng-gelengkan kepala. Keinginan untuk meniru seperti
kebiasaannya hadir pula mengetuk cemperanya. Bisikan jahat mengajaknya untuk
meniru walaupun sedikit, satu dua soalan sahaja. Bukannya besar kesalahan itu.
Awang memandang
Bahar di barisan paling depan sekali. Masih tekun menjawab. Lagaknya begitu
bersemangat. Gigih berusaha memberikan jawapan yang terbaik untuk setiap
soalan. Kali ini, Awang tekad tidak mahu meniru. Dia mahu berhijrah. Kalimah
‘DO NOT CHEAT! IN THE EXAM. ALLAH IS WATCHING YOU. THINK BEFORE YOU ACT’
bagaikan bergema di telinganya. Lantas, dia mengalihkan pandangannya kepada
ketua sahabat JAKSI generasinya, Khairul Azam. Merangkap ketua kempen anti-tiru
pada semester kali ini.
Yahya yang
berada satu baris di belakang Awang tidak berpuas hati. Dari tadi dia melihat
gelagat Awang yang asyik pandang kiri toleh kanan. Menirulah itu kerjanya.
Buruk sangka yang hadir dalam kalbunya tidak berjaya ditepis dengan berbaik
sangka. Seyogianya setiap muslim itu saling berbaik sangka antara satu sama
lain. Bahkan baik sangka juga merupakan asas pendidikan tasawuf. Malangnya,
Yahya gagal dengan ujian ini pada saat ini. Amarahnya lebih berkuasa.
“ish ish ish
ketegaqnya budak Awang ni. Nanti lah kau. Ada masa, tahu lah aku macam mana nak
bagi pengajaran kepada orang yang suka meniru. Aku sangat anti orang meniru
dalam peperiksaan ni ”,Yahya bersuara separuh perlahan meluahkan gelodak
amarahnya kepada Awang. Namun, bicaranya itu di dengari Kamil di sebelahnya
selang dua tempat duduk. Kamil beristighfar. Kepalanya digeleng-gelengkan tanda
tidak bersetuju dengan bicara Yahya tadi.
BERSAMBUNG…
Birthday Shout-out! [JAN] [FEB] [MARCH]
Kadang-kadang kita terlalu gembira sehingga kita alpa bahawa hidup ini hanyalah persinggahan yang seketika sebelum meneruskan perjalanan ke alam yang seterusnya. Mungkin dengan hari lahir dapat mengingatkan kita tentang perjalanan hidup yang masih jauh untuk menemui Ilahi. Apakah kita sudah menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah di bumi ini....? Ayuh kita sejenak merenungkannya..
خيركم من طال عمره وحسن علمه
Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim dari Jabir RA, "Sebaik-baik kamu ialah yang panjang umurnya dan baik amalannya".Oleh itu, pihak SM ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir buat sahabat-sahabat yang telah meninggalkan angka 20 dengan ucapan semoga dikurniakan iman yang sempurna, akhlak yang terpuji, umur yang bermanfaat, ilmu yang berguna serta hidup yang dirahmati Allah di dunia mahupun di akhirat. InsyaAllah.
"In the journey of your life, may your joys double and your success triple, may your sorrows halve and your failure disappear. Wishing you a stress free life. Happy Birthday!"
Ya Allah,
semakin jauh langkah umurku meniti hari,
kupohon hidayahMu,
moga dihari lahirku ini,
Kau berkatilah umurku
dan izinkan aku semakin dekat dengan redhaMu
Subscribe to:
Posts (Atom)
Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.