Cerpen : Dari Puncak Ingin ke Angkasa (Part 2)

Kertas nota Chest Pain di tangan kanannya dilupakan seketika. Tramco terus bergerak menuju ke arah Mansyiah. Fikirannya teringat pada suatu peristiwa yang masih segar dalam ingatannya. Peristiwa yang masih menjadi persoalan hidupnya. Dia terus membiarkan diri terbenam dalam samudera memori lalu buat seketika.

Awang berada di barisan paling akhir, sebelah kanan dewan. Pada malam itu dia mengenakan baju sejuk hitam kuning kegemarannya.  Di pentas dewan, seorang penceramah jemputan dalam Kursus Asas Kepimpinan sedang bersemangat memberi pidato di hadapan puluhan Ahli JawatanKuasa Badan Dakwah sekolahnya. Penceramah yang masih lagi muda itu merupakan seorang mudir sekolah agama rakyat di negeri Serambi Mekkah. Awang tekun mendengar sambil menyalin kata-kata yang dirasakan mutiara-mutiara yang bernilai harganya. Tiba-tiba penceramah menuding jari telunjuk ke  arahnya.

“Ya, kamu yang berbaju sejuk hitam kuning tu. Dengar ni, saya nak kata…”

“Nanti, apabila habis alam sekolah menengah… kamu pergilah menuntut dengan Tok-Tok Guru besar. Belajar kitab-kitab besar…”, Kata-katanya  bagaikan  masih terngiang-ngiang pada cuping telinga.

‘Kenapa lah ya agaknya… ustaz tu cakap macam tu? Ke sebab dia saja-saja nak buat contoh kat orang lain? Mungkin itu teknik dia untuk menarik perhatian pendengar pidatonya kot? Mungkin lah kan. Sapa tahu… Atau sebenarnya ada potensi besar yang belum aku bongkarkan dari hidup aku? Potensi apa? Aku ni pelajar perubatan. Bilalah ada masa nak jumpa Tok-Tok Guru besar.’ Awang membebel seorang diri. Tramco berhenti berdekatan Masjid Ibrahim, lalu Awang terus turun dan menuju ke dewan peperiksaan. Dewan kuliah Satu, Pusat Konvensyen Universiti Iskandariah.
                                                                                                            ***
Sebelum melangkah masuk ke dewan kuliah satu, Awang membaca basmalah dan selawat. Lalu dia membisikkan pada dirinya;

I want to be a great doctor!” Matanya dipejam rapat. Tangan kirinya menggenggam penumbuk dan di angkat penuh bersemangat. Kalimah yang menggambarkan impiannya cuba diserap masuk ke segenap anggota tubuhnya.

It’s possible. It’s possible. It’s possible.  Yes, I can do this!” Dia mengulang-ulang kalimah motivasi yang di pinjamnya dari video Great Motivational Speech For Succes, I Can Do It.

***

“Okay students. Now, time to put down your pens. And we will start collecting your papers sheet”, Peperiksaan End of Round Internal Medicine tahun empat akhirnya tamat. Usai menyerahkan kertas jawapan MCQ, Awang tertunduk rapat ke mejanya. Bertawakkal sesudah berusaha. Lantas berdoa dengan penuh kerendahan hati. Ya, manusia selalu begini. Apabila menghadapi kesukaran dan kesusahan dalam kehidupan, barulah mahu ingat pada Sang Pencipta. Kerana sebenarnya manusia mengerti bahawa tiada yang lebih berkuasa melainkan DIA tetapi ramai manusia sombong untuk mengakui kelemahan mereka.

‘Ya Allah, permudahkanlah urusan kami di dunia mahupun akhirat.’
‘Ya Allah, kurniakanlah kejayaan kepada kami…. Di dunia dan di akhirat.’
‘Wa sollahu ‘alaihi wasallam. Walhamdulillahi rabbil ‘alamin. Aameen’

Awang mengusap telapak tangan ke wajahnya. Perjuangan belum berakhir. Langkah pejuang mesti diteruskan. Esok peperiksaan klinikal Internal Medicine pula bakal dihadapinya. Awang menyusun langkah menuruti teman-teman yang lain ke Kafe Seri Putra di Bangunan Asrama Mara.

Bersambung …


0 Ideas:

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.