Kembali Padamu

Bismillahirrahmanirrahim.
credits
Gerimis hujan di luar membasahi alam. Desir angin sesekali membayu lembut ke pipi. Rintik hujan yang berjatuhan membawa sejuta rahmat buat hidupan di atas muka bumi. Yang mati hidup kembali, yang longlai segar semula, yang kering menjadi basah , dan yang bahang bertukar tenang. Subhanallah, anugerah yang maha istimewa bukti sifat AR-RAHMAN ALLAH, bermaksud yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya sekalipun mereka selalu mengingkarinya. Ahmad melabuhkan punggung di atas sofa terataknya setelah seharian berprogram bersama rakan-rakan perubatan di kota. Ketenangan alam seolah menariknya untuk sama-sama menyelami. Dari tingkap dia menikmati pemandangan alam yang serba indah dan permai itu. Ahmad menyingit pintu jendela, membiarkan angin semilir membelai wajah.


Whoosh....


Oh terasa kenyamanan yang jarang sekali dirasakan di Mesir. Jika di sana hujan hanya akan turun pada musim sejuk, selainnya, Mesir mengalami cuaca kering dan panas. Tidak pula di Malaysia tercinta yang sinonim dengan iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Hujan masih turun renyai-renyai. Sengaja Ahmad memainkan lagu 'Anugerah Istimewa' dari pemain mp3nya nyanyian Mirwana bagi menimbulkan lagi feel. Melodi yang mendamaikan jiwa, liriknya juga memanifestasikan persekitarannya ketika ini. Perlahan, tapi jelas memaknainya, suaranya turut mengikut rentak lagu.


Oh hujan yang turun membasahi bumi
Rahmat dari Ilahi
Oh awan yang menangis tandanya kesyukuran
Di atas nikmat Tuhan

Sedarilah insan hanya kepadaNya 
Sujudlah bersyukurlah

Titis hujan yang gugur bersama sejuta rahsia
Anugerah istimewa hidup insan penuh bahagia

Titisan yang suci bersama kedinginan
Cetuskan ketenangan hati
Bumi yang disuburi alam indah menyanyi
Flora dan fauna pun berzikir
Berusahalah insan semai benih setia
Berbakti seikhlasnya

Titis hujan yang gugur bersama sejuta rahsia
Anugerah istimewa hidup insan penuh bahagia

Oh khalifah dunia
Ciptaan paling mulia
Segala nikmat Allah hargai sebaiknya
Panjatkan doa sentiasa kepada yang Kuasa


Lagu 'Number One For Me-Maher Zain' terpapar di skrin, Ahmad pausekan sebentar. Ahmad perhatikan alam sekitar. Dia tidak sekadar hanya melihat dari sepasang mata kasarnya, dia cuba memerhati dengan mata hati. Rimbunan pepohon hijau begitu mendamaikan, berdesir ditiup angin seakan berzikir memuja-muja Rabbnya. Langit yang membiru mendung, dilitupi awanan menangis mensyukuri nikmat ALLAH. Lopak air juga semakin meluas, menenggelami padang rumput yang tidak rata. Kelihatan juga unggas-unggas dan beberapa ekor kambing berteduh di bawah rimbunan pokok mangga kepunyaan atuk. Ia pohon tua yang besar dan lebat daunnya. Sesekali air yang ditampung terlalu berat lalu melimpah ke atas kambing-kambing tersebut yang melompat ketakutan sambil mengembek.

Embekkk!!  Kasihan mereka.

   Melihat penciptaan sesuatu, semuanya pasti kembali kepada penciptaNya. Segera Ahmad teringatkan kalam ALLAH dalam surah ali Imran yang bermaksud:

Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata: "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

"Peliharalah kami dari azab neraka.." ayat terakhir bergema berulang kali di pangkal mindanya.

   Dibawa meresap ke dalam hati. Dihayati. Bagaimana mereka yang berfikir tentang ciptaan ALLAH, akhirnya membawa kepada pengakuan akan keagunganNya, lantas memujiNya atas kebesaranNya dan kesedaran akan kekuasaanNya akan segala sesuatu; seperti penciptaan langit yang kukuh, bumi yang terbentang, peredaran malam dan siang, air yang turun dari awan mencurah-curah sehingga menumbuhkan tumbuhan yang menjadi sumber rezeki buat makhluk semua. Dia-lah ALLAH yang juga mencipta syurga dan neraka, serta hari Pembalasan yang tiada pelindung melainkan ALLAH.


Tiada siapa yang mampu menafikan kekuasaanNya atas segala sesuatu. Akhirnya dengan rendah hati bersulam keihklasan si hamba yang beriman memohon, "Peliharalah kami dari azab neraka.."

Ding !

Whats-App nya dimasuki notifikasi. Rupanya dari sahabat baik dan serumah dengannya, Abu. Ahmad membaca mesej tersebut sehingga usai.

" Salam Mad, bila nak balik sini? Jom lah sama-sama masuk Summer class. tak lama dah ni! " Ahmad tersenyum sendirian. Dia tidak bertunda membalasnya.

"Amboi abang Long, senyum seorang-seorang? Ada bunga yang menarik sang kumbang?" usik Mama bermetafora. Mama sememangnya bijak menyusun kata. Walaupun pendidikannya hanya setakat SRP, namun minatnya dalam membaca meluaskan kosa kata dan ilmunya dalam banyak perkara.

"Kalau ada apa salahnya Mama. Abang Long itu bukan aje hensem, belajar Medik dekat Mesir, tambah lagi menuntut agama dengan syeikh-syeikh. Siapa yang tak mahu Ummi? kan kan?" tokok adiknya Hanis sambil tersenyum riang. Hanis sedang menolong Mama melipat baju-baju yang telah kering dijemur.

" Haha. Bukanlah. Abang dapat mesej dari kawan. Dia tanya bila nak balik Alex. Dia nak ajak abang Long study sekali untuk summer class nanti" jawab Ahmad yang kemudian turut sama menolong mereka melipat pakaian yang bertimbun.

"Rindu betul ye kawan-kawan dengan abang Long? Baru sebulan dua. Kami ni ditinggalkan setahun okay  je." ujar Mama seolah merajuk.

" Bukanlah Mama.."belum sempat Ahmad menyambut soalan sudah dicantas adiknya.

" Kawan istimewalah itu Mama! Eh, Abang Long nak pulang ke Mesir dah kan? Kejap aje. Tahun depan abang balik lagi ya? Beli dua tiket, untuk kakak ipar Hanis ! Yeah! " kata Hanis penuh semangat. Dia melontarkan wajah nakal kepada abangnya. Ahmad hanya tersenyum melayan kerenah adiknya itu. Manakan tidak, Ahmad lah satu-satunya lelaki yang dia ada dalam keluarga setelah Abah tiada. Mungkin saat-saat ini sahajalah dia dapat bermanja dan bermesra dengan abangnya sebelum berpergian ke Ardhul Kinanah.

"Untuk part yang balik tu, inshaAllah.." balasnya pendek sambil memandang tepat wajah suci Mama, wajah yang dahulunya tampak muda dan cerah kini kelihatan agak jelas kedutan, namun tetap berseri dan ceria. Wajah seorang insan yang telah menabur terlalu banyak pengorbanan buat dua insan tercinta, Ahmad dan Hanis.

   Sudah genap 5 tahun Abah telah meninggalkan mereka buat selamanya akibat penyakit kanser. Kini hanya tinggal Mama yang menyara dan membesarkan mereka. Ahmad tidak kesal, malah reda dengan pemergian Abah kerana mati itu pasti. Kini, apa yang hilang adalah kasih-sayangnya. Kasih dan tanggungjawab seorang Abah, kini digalas Mama penuh tekun.

Ahmad sering serba salah kerana tidak dapat bersama Mama mengharungi keperitan ini sepanjang ketiadaannya di tanah air. Mama juga melarangnya bekerja kerana keutamaan Ahmad adalah untuk belajar. Dia faham, namun rasa tanggungjawab itu membuat Ahmad tidak keruan memikirkannya. Walaupun begitu, Mama seringkali kembali menenangkan hatinya dengan mutiara-mutiara kata yang penuh makna,

" Ahmad, belajarlah bersungguh-sungguh.
 Mama tak pernah rasa susah. Mama tahu di sebalik semua kesusahan ini, ALLAH turunkan hikmah.
ALLAH tahu apa yang terbaik buat Mama, Ahmad dan Hanis.
 Mama dah rasa sangat senang melihat Ahmad belajar di Mesir.
Ahmad jangan pernah berhenti melangkah walau apapun ujian yang ALLAH timpakan.
Ahmad adalah contoh buat Hanis, jangan hampakannya.
Ahmad juga harapan Mama. Ahmad boleh, Mama yakin dengan Ahmad,
Doktor Ahmad."

Pesan Mama begitu membekas di hati, seperti selalu. Jiwanya yang gusar kembali tenang. Kepayahan dan tekanan yang dihadapi Ahmad ketika fatrah imtihan semester 1 yang lepas dapat diatasi dengan baik.
kasih ibu membawa ke syurga. [gambar hiasan]
"Terima kasih Mama. Abu, tunggu aku. Aku sudah bersedia untuk menempuh apa jua cabaran untuk menjadi seorang doktor yang berjaya. Serumit manapun CNS, Immunology, CVS dan Respiratory System, aku ada ALLAH. Iskandariah, aku datang !"membulat tekad Ahmad, tanpa disedarinya turut dizahirkan melalui gaya tangan terjangkau ke langit dan laungan suaranya bergema ke seluruh desa. Hujan baru sahaja berhenti. Sayup kedengaran embekan kambing di luar rumah bersama unggas-unggas melayap tinggi ke angkasa meninggalkan pepohon yang dirahap. Terkejut agaknya.

Mama dan Hanis juga tergamam.




Tamat.


Mothers are the most instinctive philosophers. – Harriet Beecher Stowe

..........................................



Huh?

Cuti nak habis dah? Sedih & teruja ?!

Sahabat- sahabat, Tahun Dua bakal membuka tirainya

Sudahkah anda semua bersedia ?

Ayuh persiapkanlah fizikal, mental dan spiritual anda untuk melalui Tahun Dua yang lebih mencabar dan sukar.

Begitulah fitrah hidup, jalan menuju manfaat tidak pernah mudah, semudah jalan menuju mudharat.

Niat yang benar membawa kepada usaha dan perbuatan yang sahih. Begitu juga sebaliknya.

Imam al-Ghazali rahimahullah ada menyatakan, hati itu ibarat raja dan seluruh anggota adalah tenteranya. 
Tersalah perintah membawa padah. Benar pimpinannya membawa rahmah dan an-najah, persis Salahuddin al-Ayyubi membebaskan al-Quds, atau Muhammad al-Fateh menakluk Constantinople, kini Istanbul. 
Lihatlah hebatnya kuasa hati. Kuasa niat !

Maka, niat perlu jelas dan benar agar tidak kita tersasar dari tujuan,

Tanyalah diri, jauh di lubuk hati:

"kenapa SAYA mahu menjadi Doktor?"

Akhirnya, APA jua niat kita, BAIK atau BURUK pekerjaan kita,

kita akan KEMBALI PADANYA, ALLAH AZZA WA JALLA.

Dan di sanalah slip peperiksaan AKHIR kita akan didedahkan !

2:281

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun. (2:281)



Wallahua'lam. ^^



*segala watak dan nama yang digunakan hanyalah rekaan semata-mata. Sebarang persamaan dan kemiripan hanyalah kebetulan dan kehendak rawak. Usah bersusah terasa.


Failure defeats losers, failure inspires winners - Robert T. Kiyosaki. 

0 Ideas:

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.