STEP UP



Pada 25 Mac 2014, biro akademik Stanza Mahabbah telah menganjurkan satu program iaitu “Step Up” yang bertempat di sutuh asrama MARA. Program ini mendapat inspirasi daripada program SM yang terdahulu iaitu “Glow With Flow”. Bertemakan “from Zero to Hero” SM akademik pada kali ini mensasarkan agar keyakinan diri ahli-ahli SM dapat ditingkatkan kepada tahap yang maksimum dan potensi diri ahli-ahli dapat ditonjolkan dalam apa jua aspek sekalipun. Antara aktiviti yang diadakan dalam program ini ialah solat berjemaah, pengisian daripada senior-senior dan sedikit jamuan.
Program yang bermula pada pukul 6 petang ini dimulai dengan solat maghrib secara berjemaah di sutuh asrama MARA. Semester 6 merupakan semester yang terakhir sebelum ahli-ahli SM melalui dunia klinikal kursus perubatan. Oleh sebab  itu, debaran dapat dirasai oleh ahli-ahli SM dan ahli-ahli berharap agar perjalanan di semester 6 ini dapat dipermudahkan oleh Allah SWT agar semuanya berjalan dengan lancar. Ahli-ahli SM juga berharap agar kesemuanya dapat masuk ke dunia klinikal bersama-sama tanpa ada yang mengulang tahun. Oleh itu, solat hajat secara berjemaah telah diadakan sejurus selepas solat maghrib. Selain daripada itu, solat hajat juga diadakan bersempena dengan tragedi pesawat MH370 yang hilang. Misteri kehilangan pesawat MH370 yang masih belum terungkai sehingga kini ini jelas bahawa pada akhirnya kita perlu kembali Allah, memohon kepadaNya agar pesawat ini dikembalikan. Pelbagai cara telah dilalukan dan banyak negara telah mengerah tenaga untuk mencari pesawat ini namun ianya masih belum dapat dijumpai. Walaupun Perdana Menteri Malaysia telah memberi kenyataan rasmi bahawa pesawat tersebut berakhir di Lautan Hindi, namun semua ahli SM tidak pernah putus berharap bahawa pesawat ini masih boleh dijumpai selagi ianya belum dapat dikesan.  Oleh itu, sebingkas doa buat pesawat MH370 juga diselitkan bersama semester 6 di dalam solat hajat masing-masing. 



Seusai solat hajat, program diteruskan dengan perkongsian daripada senior. Akan tetapi, aturcara program tersebut terpaksa ditangguhkan disebabkan oleh kesilapan teknikal yang berlaku. Walaupun telah berlaku ralat, semangat ahli-ahli SM tetap teguh dan tidak patah untuk meneruskan program ini. Sambil menunggu ralat tersebut selesai diperbetulkan, ahli-ahli SM diminta untuk menikmati jamuan makan malam terlebih dahulu. Ahli-ahli SM telah dihidangkan dengan nasi kosong berserta ayam sambal. Seusai makan malam, program diteruskan dengan perkongsian daripada senior-senior tahun 4. Nasihat dan dorongan oleh senior-senior ini amat diperlukan oleh ahli-ahli SM supaya semester 6 ini dapat dilalui dengan lebih mudah. Antara pengisian yang diberikan ialah berkenaan dengan tips-tips untuk menjawab soalan exam semester 6 dan cara-cara yang berkesan untuk menempuhi cabaran yang hadir sepanjang melalui semester 6 ini. Seperti yang kita tahu, modul GIT di dalam semestar 6 ini merupakan antara modul yang “killer” disebabkan inputnya yang banyak. Oleh itu, modul GIT ini telah menjadi tajuk yang hangat dikongsikan oleh senior-senior kepada ahli-ahli SM ketika itu. Segala perkongsian yang diberi oleh senior-senior telah menyebabkan minda ahli-ahli SM tepu dengan info-info yang berguna. Seusai aturcara tersebut, maka berakhirlah program “Step Up” ini. 
Diharap dengan berakhirnya program ini, semua ahli dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik dan dapat menempuh semester 6 ini dengan lebih mudah. Diharap juga agar semua ahli dapat lebih merajinkan diri dalam menuntut ilmu supaya kualiti akademik ahli-ahli dapat dipertingkatkan dan sasaran batch SM setiap semester iaitu “Zero Repeaters” dapat direalisasikan. Menurut kata Imam Syafie, “Bila kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan”.

0 Ideas:

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.