Kejuruteraan Sebaik-Baik Kejadian


"لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ"
"Sungguh, Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya"
[Surah At Tin ayat 4]

Terdetik di hati saya untuk berkongsikan serba sedikit tentang bidang ijazah yang saya ambil sekarang iaitu bidang perubatan. Sejak dari sekolah menengah lagi, sering terdengar di telinga saya bahawa bidang ini adalah antara yang tersusah untuk diambil dalam bidang pengajian. Buku-buku pembelajaran juga dikatakan terlalu tebal dengan tulisan yang sangat kecil. Ada juga yang berpendapat bahawa bidang ini sangat sukar untuk kaum lelaki yang kita serba maklum majoritinya kurang berminat untuk membaca.

Berdasarkan ayat di atas, antara pengajaran yang boleh saya ambil ialah apabila saya mengambil jurusan ini, saya perlu sedar bahawa saya sedang mengkaji salah satu ciptaan Allah yang sungguh hebat iaitu manusia. Segala syukur perlu dipanjatkan kerana Allah telah memberi saya peluang untuk terlibat dalam mengkaji dan mendalami ciptaan yang hebat ini. Bahkan, kelayakan dengan keputusan yang tinggi juga diperlukan di peringkat asasi dan juga matrikulasi bagi meneruskan pengajian dalam bidang perubatan.

Suka saya maklumkan bahawa jika bidang ini dipelajari dengan penuh tawadhuk dan teliti, manusia dapat mendekat diri kepada Allah. Bagaimana? jika diteliti sebaik-baiknya, kejadian manusia ini terjadi dengan bentuk yang sangat kompleks. Jadi tidak hairanlah jika jurusan ini adalah antara jurusan yang memakan masa lama bagi menamatkan pengajian di peringkat ijazah. Segala yang Allah jadikan di dalam badan kita mempunyai fungsi yang sangat unik dan hebat dari sekecil-kecil sel sehinggalah sebesar-besar organ. Malah, berapa banyak lagi misteri keajaiban ciptaan ini yang belum diterokai oleh manusia ataupun sudah hilang ditelan zaman.


Keseluruhan proses metabolik di dalam badan yang "sudah diterokai". Yang belum? Hebat bukan? Wallahualam

"Macam mana nak hafal satu buku tebal dan perlu jawab dalam masa sehari je, boleh ke?'

Mungkin ramai yang bertanya soalan ini. Masih di semester 2, saya juga mengakui yang saya juga masih tercari-cari tentang cara pembelajaran yang betul dalam bidang pengajian ini. Belajarlah teruk macam mana pun hari ini kerana ia mungkin berlalu pergi dalam masa yang sangat singkat bergantung kepada bagaimana cara kita belajar. Pengamalan ilmu merupakan cara yang terbaik. Namun ia sangat terhad memandangkan kebanyakan ilmu-ilmu yang dipelajari mungkin hanya dapat diamalkan dengan tempoh masa yang masih jauh iaitu setelah kita layak bergelar seorang doktor. Tetapi, saya telah menjumpai dua buah hadis yang sangat menarik untuk dikongsi berkenaan dengan cara pembelajaran yang baik dalam bidang perubatan.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Seorang lelaki dari kalangan orang Ansar telah datang mengadukan hal kepada Rasulullah s.a.w. Ia berkata: Wahai Rasulullah! Aku sungguhnya telah mendengar perkataanmu dan aku sangat kagum dan hairan dengan keindahannya, tetapi aku tidak dapat menghafaznya. Maka apa yang perlu aku lakukan? Maka sabda Nabi s.a.w:“Hendaklah engkau menggunakan tangan kananmu”. Sambil mengisyaratkan supaya ia menulis apa yang ia dengarkan”.

lagi,

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Tiada ada dari keseluruhan sahabat Rasulullah s.a.w orang yang paling banyak meriwayatkan hadis lebih daripada aku, kecuali Abdullah Bin Umar, maka dia lebih banyak daripada aku, kerana dia menulis dan aku tidak menulis .Hadis Riwayat Bukhari, At Tirmizi

Berdasarkan dua hadis di atas, antara pengajaran yang saya dapat ambil ialah menulis ringkasan nota sangat membantu dalam menuntut ilmu perubatan. Hal ini demikian kerana ilmu hadis dan ilmu perubatan mempunyai sedikit persamaan terutamanya dari segi hafalan dan ingatan. Ia mungkin membantu serba sedikit dalam sejauh mana kita mampu mengusai ilmu ini.

Bidang perubatan merupakan antara bidang profesional yang banyak memerlukan pergaulan dengan masyarakat. Masyarakat mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap doktor. Misalnya, jika seorang doktor menyarankan ubat-ubat yang perlu diambil, berapa ramaikah yang meragui saranan doktor tersebut. Jika seorang doktor menyuruh seseorang pesakit untuk berhenti merokok kerana ia mungkin mampu menyebabkan kematiannya pada minggu yang berikut, mampukah pesakit tersebut memegang rokok pada keesokan harinya? Walaubagaimanapun ia hanyalah sebuah contoh, apa yang ingin saya sampaikan ialah bagi para dai'e yang ingin bergelar seorang doktor, medium perubatan ialah sebuah medium yang sangat baik dalam mengembangkan kerja-kerja dakwah. Hal ini demikian kerana anda mempunyai dua aspek yang sangat berguna iaitu anda mempunyai ilmu yang luas dan masyarakat percayakan anda.

Kesimpulannya, walau apa pun bidang ilmu yang kita pelajari, gunalah ilmu tersebut ke arah kebaikan dan kemajuan umat dan masyarakat. Sesungguhnya Allah tidak sia-sia dalam menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini, firmannya:

وَ إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّيْ جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيْفَةً قَالُوْا أَتَجْعَلُ فِيْهَا مَن يُفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَ نَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَ نُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّيْ أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْن

Tafsiran Ar Rahman: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Pesanan ikhlas buat diri dan sahabat-sahabat..

Tulisan : Yang memerlukan teguran.

0 Ideas:

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.