Stanza Mahabbah

We are Family :)

SMART : Jaulah Fayoum



               Gelaran Ardul Anbiyak buat bumi Mesir ini tidak asing lagi dalam kalangan penduduk di muka bumi ini. Hal ini kerana ianya kaya dengan tempat bersejarah dan tapak peninggalan zaman-zaman nabi terdahulu. Oleh itu, pada 4 Mac 2014, pihak OB batch SM telah menganjurkan satu program SMART untuk ahli-ahli SM iaitu jaulah ke Fayoum. Kota Fayoum ini terkenal dengan kawasan tanamannya yang subur dan padang pasir yang luas. Untuk program kali ini, ada 4 tempat menarik yang telah dilawati iaitu Tasik Qorun, Istana Qorun, air terjun Wadi el Rayyan dan kincir air Nabi Yusuf A.S.

      Objektif program ini diadakan adalah untuk melawat tempat-tempat bersejarah di Mesir dan untuk merapatkan ukhuwah di antara ahli-ahli SM. Bas lawatan dijangka bertolak pada dinihari seawal jam 5.30 pagi. Oleh itu semua ahli diminta untuk berkumpul di asrama MARA seawal yang mungkin agar tiada sebarang kesulitan berlaku. Perjalanan memerlukan kira-kira 4 jam untuk tiba di Fayoum. Ketika dalam perjalanan, semua ahli telah dijamu dengan spaghetti goreng dan ayam goreng sebagai santapan sarapan pagi.

      Setelah tiba di Fayoum, tempat pertama yang dilawati ialah Tasik Qorun. Tasik Qorun ini merupakan tasik air masin yang luas. Tasik ini menceritakan tentang Qorun yang ditenggelamkan bersama hartanya oleh Allah kerana keingkaran Qorun dalam membayar zakat dan kekufurannya terhadap Allah. Program diteruskan dengan tempat lawatan yang seterusnya iaitu Istana Qorun. Istana Qorun ini merupakan tempat kediaman Qorun yang dibina dalam bentuk 6 tingkat. Namun sekarang hanya 2 tingkat teratas dapat dilihat kerana tingkat istana yang selebihnya telah tenggelam jauh ke dalam padang pasir.



       Selepas itu, program diteruskan lagi dengan melawat air terjun Wadi el Rayyan. Air terjun ini merupakan air terjun terbesar di Negara Mesir dan salah satu oasis yang ada di Fayoum. Makanan tengah hari disediakan dan semua ahli SM diminta untuk makan tengah hari di sini dan bersiap-siap untuk solat. Nasi goreng dan sambal daging menjadi menu untuk makanan tengah hari. Setelah usai solat dan makan, semua ahli menuju ke air terjun Wadi el Rayyan dan bergambar sesama mereka. Selepas itu, semua ahli telah dibawa ke destinasi jaulah yang terakhir iaitu kincir air Nabi Yusuf A.S. Kincir Air di kota Fayoum ini merupakan satu-satunya kincir air yang terdapat di negara Mesir. Tujuan kincir air ini dibina adalah untuk mengalirkan air ke kawasan pertanian sehingga ianya menjadi subur. Difahamkan bahawa kawasan pertanian disini merupakan yang tertua di dunia. Kincir air ini juga digunakan untuk mengolah gandum untuk dijadikan sebagai sumber makanan.

      Di sini juga semua ahli SM telah membeli cenderahati dan bertukar cenderahati sesama mereka sebagai tanda persahabatan. Dengan berakhirnya lawatan ke kincir air Nabi Yusuf A.S, maka berakhirlah program Jaulah ke kota Fayoum ini. Bas lawatan telah singgah sebentar di kawasan perhentian untuk memberi masa kepada semua ahli untuk makan malam, solat dan sesi fotografi. Menu makan malam yang disediakan ialah nasi lemak dan ayam goreng. Setelah usai makan dan solat, sesi fotografi telah diadakan bersama ahli-ahli SM sebagai tanda ukhuwah. Selepas itu, semua ahli tiba di kota Iskandariah dan beransur pulang ke kediaman masing-masing. Diharap agar semua ahli SM dapat mengambil ibrah daripada jaulah ini supaya dapat memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik dan dikasihi Allah S.W.T.



Hooray!! HOLIDAY EXTRAVAGANZA Menemui Anda!


     Sempena dua minggu cuti tambahan yang diberikan oleh pihak universiti, pihak PERUBATAN telah mengadakan beberapa program bagi mengisi kelapangan  ini. Alhamdulillah, cuti yang diberikan ini telah dimanfaatkan sebaiknya oleh ahli PERUBATAN khususnya ahli Stanza Mahabbah.

     Pada hari Rabu,5 Mac 2014, Bazar Holiday Extravaganza telah berlangsung dengan meriahnya bertempat di sutuh asrama MARA. Untuk pengetahuan, bazar ini dibuka untuk akhawat bermula pada pukul 12.30 tengah hari sehingga 3 petang. Manakala 3.30 petang hingga 6 petang pula untuk para ikhwah. Hampir kesemua tapak bazar yang disediakan telah dipenuhi dengan pelbagai juadah makanan yang beraneka rasa dan warna dan pastinya masakan melayu turut dijual sebagai pengubat rasa rindu. Oleh itu, Usahawan Stanza dan beberapa ahli SM tidak melepaskan peluang untuk turut serta membuka gerai masing-masing. Walaupun agak kepenatan setelah seharian mengikuti program jaulah batch ke Fayoum pada 4 Mac, ahli-ahli SM masih tetap bersemangat untuk berniaga serta menghadirkan diri ke bazar.

    Sementara itu, Usahawan Stanza dengan jualan nasi kerabu mereka mendapat sambutan yang amat menggalakkan seperti pisang goreng panas! Dengan harga yang sangat berpatutan dan rasa nasi kerabu yang sungguh sedap seperti  dimasak oleh tukang masak professional, nasi kerabu mereka semestinya mendapat pujian ramai! :)
Nasi kerabu lain dari yang lain :)
Ahli Usahawan Stanza dibawah pimpinan Syafiq Firdaus
    Beberapa ahli SM lain juga tidak kurang hebatnya menjual juadah mereka di gerai masing-masing. Antaranya, gerai ikhwah menjual popcorn dan corndog manakala gerai akhwat pula menjual lontong, karipap berinti daging dan kentang, burger Malaysia dan pau berinti custard atau nama lainnya "Pau Alaf Baru". Menu-menu seperti ini pastinya menepati citarasa para pembeli, terutama akhawat sehingga ada yang tidak sempat membeli.
Alhamdulillah semua habis dijual!
"Cepat-cepat! Popcorn kami terbaik dari ladang!!" :P
    Ramai ahli SM telah hadir ke bazar untuk menyokong dan memberi semangat kepada sahabat-sahabat mereka. Malah ramai yang sudi menghulurkan bantuan tanpa diminta. Semoga dengan sikap tolong-menolong ini sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi ukhwah sesama kita disamping mendapat Redha-Nya. Dalam pada masa yang sama, program seumpama ini juga dapat mengasah minat dan kebolehan pelajar perubatan dalam bermuamalat. Sesungguhnya, sembilan per sepuluh punca rezeki adalah daripada perniagaan. 
Semangat tolong-menolong sebegini yang kita mahukan!
   Dengan kesempatan masa yang ada, pelajar perubatan pastinya berpeluang untuk belajar berniaga walaupun sedikit, sekiranya mahu.


   Setiap masa dan nikmat yang Allah pinjamkan seharusnya kita manfaatkan sebaik yang mungkin. Semoga Allah SWT redha dan berkati masa-masa kita yang lalu dan akan datang.


Part 2 BINGKISAN KISAH SEMALAM



“Kau ada masalah ke ? Kongsikanlah dengan aku, manalah tahu kalau-kalau boleh bantu.” Bahar tetap mencuba.

“Aku rasa sangat malulah. Mana aku nak letak muka aku ni ? Satu dunia dah heboh. Wall Facebook aku penuh dengan poster jangan meniru. Semua orang nak post poster tu dan semua orang dah tag aku. Malu aku di buatnya.” Awang kembali diam. Pandangan di tala ke langit biru. Bahar tersenyum. Memikirkan jawapan terbaik untuk sahabatnya.

“Awang, betul la apa yang sahabat-sahabat kita buat tu. Mereka mahu kau berubah. Mereka mahu kau tinggalkan tabiat buruk itu dari hidup kau. Mereka sayang pada kau. Semua orang tahu kau satu-satunya budak kampung biasa tapi genius kau luar biasa. Namun sayangnya kau tak mahu berusaha gigih seperti SPM dahulu. Kau lebih rela memilih untuk meniru. Kau ada potensi besar Awang. Keturunan kau orang baik-baik.” Awang diam mendengar luahan hati Bahar. Dia cuba merasionalkan diri untuk menerima kebenaran. Tambah pula, kebenaran yang datang dari sahabat baiknya.

“Awang kau tau tak masa kelas Tafaquh Fiddeen malam jumaat minggu lepas, Ustaz Sofuan ada bagitau satu benda menarik”.

“Apa ?”

“Ustaz cakap keberkatan tu ialah ziyadatul khoiri bermaksud bertambahnya kebaikan.”                          “Kaf Ba Ra Kaf Alif Ta Nun ini… penting sangat dalam hidup kita. Kalau ada keberkatan dalam hidup ini, insya Allah segalanya beres. Hati pun sentiasa tenang”. Awang tersenyum melihat gelagat temannya yang cuba berkongsi.

“Ada gaya macam ustaz la kau ni. Kenapa selepas SPM dulu kau tak ambil ustaz je, Bahar ? Ambil Usuluddin ke atau Syariah Islamiah ke ? ” Awang kembali ceria setelah melontarkan soalan cepumas kepada Bahar. Dia tergelak-gelak. Gembira dapat menyakat Bahar.
“Kalau kau nak tahu kenapa… aku boleh bagitau tapi… ”
“tapi apa pulak Bahar ?”

“Kau kena bawa aku datang rumah kau, pastu kau masakkan Mee Bandung kegemaran aku baru aku cerita. Nak ? ”

“Untuk Bahar semua boleh. Mee Hong Kong pun boleh lagi aku masak. Siap dengan Teh Tarik lagi.” Terbahak-bahak Bahar dan Awang ketawa. Arab Mesir yang sedang khusyuk memancing terganggu konsentrasinya. Dia menjeling tajam kepada mereka berdua. Sebelum mata kail tersangkut di lubang hidung, baik mereka menyelamatkan diri.

***

9.30 pagi 26 Januari, Awang masih setia menatap buku Urinary System di meja belajarnya. Hassan,Faiz dan Zul sudah berangkat ke kampus Universiti Iskandariah. Mereka mahu sampai awal ke dewan peperiksaan pada hari ini. Peperiksaan bermula pada pukul 10 pagi. Hanya Awang dan Nasa’ie sahaja yang belum bergerak. Mereka selalu keluar lambat kerana mereka  ke kampus dengan teksi. Kata mereka itu lebih mudah dan badan pun tidak penat berjalan ke kampus. Itu alasan mereka walhal mereka mahu membaca buku sebenarnya. Saat-saat akhir inilah semua yang dibaca itu mudah sahaja untuk dihadam.

Dewan Amphitheatre 4 sunyi sepi. 175 orang calon peperiksaan sedang bertungkus-lumus menjawab soalan. Awang mendongak kepala ke atas. Mencari-cari jika ada jawapan pada lelangit dewan peperiksaan. Pengawas peperiksaan yang sudah mengenali Awang terus mengisyaratkan supaya Awang membetulkan posisi sambil memberi amaran dengan anak matanya agar jangan meniru! Awang terus akur. Pengawas peperiksaan itu Profesor yang mengajarnya juga, jadi tidak salah jika dia menghormati arahan gurunya itu.

15 minit sebelum masa ujian berakhir, Awang menyemak jawapannya. Cuba membaca jawapan-jawapan yang enak ‘di goreng’ ala-ala Mee Goreng Basah. Sekejap dia tergelak seorang diri sambil menggeleng-gelengkan kepala. Keinginan untuk meniru seperti kebiasaannya hadir pula mengetuk cemperanya. Bisikan jahat mengajaknya untuk meniru walaupun sedikit, satu dua soalan sahaja. Bukannya besar kesalahan itu.

Awang memandang Bahar di barisan paling depan sekali. Masih tekun menjawab. Lagaknya begitu bersemangat. Gigih berusaha memberikan jawapan yang terbaik untuk setiap soalan. Kali ini, Awang tekad tidak mahu meniru. Dia mahu berhijrah. Kalimah ‘DO NOT CHEAT! IN THE EXAM. ALLAH IS WATCHING YOU. THINK BEFORE YOU ACT’ bagaikan bergema di telinganya. Lantas, dia mengalihkan pandangannya kepada ketua sahabat JAKSI generasinya, Khairul Azam. Merangkap ketua kempen anti-tiru pada semester kali ini.

Yahya yang berada satu baris di belakang Awang tidak berpuas hati. Dari tadi dia melihat gelagat Awang yang asyik pandang kiri toleh kanan. Menirulah itu kerjanya. Buruk sangka yang hadir dalam kalbunya tidak berjaya ditepis dengan berbaik sangka. Seyogianya setiap muslim itu saling berbaik sangka antara satu sama lain. Bahkan baik sangka juga merupakan asas pendidikan tasawuf. Malangnya, Yahya gagal dengan ujian ini pada saat ini. Amarahnya lebih berkuasa.

“ish ish ish ketegaqnya budak Awang ni. Nanti lah kau. Ada masa, tahu lah aku macam mana nak bagi pengajaran kepada orang yang suka meniru. Aku sangat anti orang meniru dalam peperiksaan ni ”,Yahya bersuara separuh perlahan meluahkan gelodak amarahnya kepada Awang. Namun, bicaranya itu di dengari Kamil di sebelahnya selang dua tempat duduk. Kamil beristighfar. Kepalanya digeleng-gelengkan tanda tidak bersetuju dengan bicara Yahya tadi.

BERSAMBUNG…


Birthday Shout-out! [JAN] [FEB] [MARCH]


   Kadang-kadang kita terlalu gembira sehingga kita alpa bahawa hidup ini hanyalah persinggahan yang seketika sebelum meneruskan perjalanan ke alam yang seterusnya. Mungkin dengan hari lahir dapat mengingatkan kita tentang perjalanan hidup yang masih jauh untuk menemui Ilahi. Apakah kita sudah menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah di bumi ini....? Ayuh kita sejenak merenungkannya.. 

خيركم من طال عمره وحسن علمه
Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim dari Jabir RA, "Sebaik-baik kamu ialah yang panjang umurnya dan baik amalannya".

  Oleh itu, pihak SM ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir buat sahabat-sahabat yang telah meninggalkan angka 20 dengan ucapan semoga dikurniakan iman yang sempurna, akhlak yang terpuji, umur yang bermanfaat, ilmu yang berguna serta hidup yang dirahmati Allah di dunia mahupun di akhirat. InsyaAllah.





"In the journey of your life, may your joys double and your success triple, may your sorrows halve and your failure disappear. Wishing you a stress free life. Happy Birthday!"


Ya Allah,
semakin jauh langkah umurku meniti hari,
kupohon hidayahMu,
moga dihari lahirku ini,
Kau berkatilah umurku
dan izinkan aku semakin dekat dengan redhaMu














BINGKISAN KISAH SEMALAM



SANG Mentari memancar terik. Angin bertiup damai. Suasana kaki lima fakulti perubatan kembali sunyi. Keriuhan suara para mahasiswa tahun tiga yang baru sahaja menghadapi ujian amali terus sirna apabila para mahasiswa berduyun-duyun meninggalkan perkarangan kampus universiti. Masing-masing pulang dengan ragam sendiri. Ada yang bergelak ketawa, mungkin kerana dapat menjawab ujian dengan mumtaz. Malah, ada pula yang pulang dengan hiba kerana tidak berjaya menjawab dengan baik.
Awang berhenti berjalan, membongkokkan tubuh lalu mengikat tali kasut kirinya yang terungkai. Kemudian langkahnya terus di susun kemas menuju ke Bait Mumtaz. Sampai sahaja di rumahnya, Awang membuka pintu rumah dan terus ke bilik. Beg galas kecil berjenama NIKE di sandarkan ke dinding bilik lalu dia merebahkan tubuhnya ke katil. Penat.
***
Awang mengumpul semua buku berkaitan Urinary System di atas meja belajarnya. Semuanya berjumlah lapan subjek. Matanya terkedip-kedip melihat banyaknya buku yang mesti di telaah. Rasa berat dan malas terus menyelimuti dirinya. Lantas, Awang mencapai laptop disebelah  lalu di letakkan di atas meja belajar. Buku-buku Urinary System cuba di lupakan.
Awang membuka tetingkap Google Chrome dan mengakses masuk ke laman Facebook. Dia terpana seketika.  Awang teruja metah melihat 56 notifikasi di laman akaun Facebooknya. Baru sehari tidak membuka Facebook, sudah berderet notifikasi masuk. Hatinya berbunga-bunga. Di rasakan suatu yang menggembirakan berlaku di laman Facebooknya.
Awang melarikan kursor tetikus ke ikon notifikasi. Notifikasi Facebook muncul di skrin laptopnya. Dia membulatkan matanya. Membaca satu demi satu notifikasi yang masuk.

‘Hazmi Al-wafi tagged   a photo of you’
‘Bahar Added a photo of you’
‘Fadhlullah and Zulfaiz mentioned  you in their comments.’
‘Kamil mentioned  you in a comment.’
‘Idham, Afnan and 110 others people like a photo you are tagged in.’
“Apa benda semua ni? Gambar apa yang diorang post dekat wall aku ni ? Kenapa ramai sangat yang like ni ?” Persoalan  demi persoalan menerjah masuk ke mindanya. Degupan jantung mulai tachycardia . Tangannya segera melarikan tetikus,membawa kursor menekan gambar yang di tagkan.


 ‘Hai Awang , kalau ya pun teruja,janganlah sampai ternganga sangat mulut tu.Tahu la dah famous kat dunia Facebook sekarang ’ Kata Hassan sambil tergelak-gelakkan Awang . Muka Awang merah padam. Amarahnya di tahan agar tidak berbuat sesuatu yang buruk kepada teman serumahnya itu. Matanya kembali menatap skrin laptop. Sekali lagi mulut dia ternganga luas melihat dua komen pada salah satu gambar. Dia membaca komen tersebut.
‘Anakanda Awang ! apahal tu? bunyi semacam je fb ni. berbuat yg menyukai hati org lain juga disukai Yg Esa.’- Umi Aminah
‘Hahaha...keno maroh ko umi..:b’ – Hajar Nasuha(Kak Teh)
Pedih sungguh hatinya,rasa bagaikan  di hiris-hiris. Bukan kerana tidak mahu di nasihati tetapi rasa sedih kerana tabiatnya suka meniru di dalam peperiksaan bagaikan disebarluas di dunia maya Facebook. Sememangnya dia mengakui, selama ini dia tidak endah pada sahabat-sahabat yang pernah menegur tabiat buruknya itu. Jiwanya kacau. Terus laptop di tutup. Fikirannya berputar-putar memikir sesuatu tempat yang boleh menenangkannya.
Awang mencapai kunci rumah di atas meja belajar. Lantas menarik baju sejuk di atas kerusi roda. Dia menuju ke pintu utama rumah sewanya. Hassan cuba bertanya dia hendak ke mana namun  soalannya tidak berjawapan. Awang berjalan melalui kedai-kedai makan di tepi jalanraya. Bersebelahan jalanraya, laut Mediterranean terbentang luas. Saujana mata memandang. Kenderaan memenuhi jalanraya Iskandariah. Awang terus berjalan hingga menemui nafaq (terowong ) Camp Caesar untuk menyeberang ke sebelah pantai.

***

Sebuah Tremco merah datang dari arah Cleopatra berhenti berhampiran nafaq Camp Caesar. Seorang pemuda berjanggut sejemput keluar dari Tremco itu sambil menggalas beg kuliah. Dia melangkah menuju ke arah nafaq berseorangan. Hajatnya mahu menziarahi rumah sahabat satu section dengannya. Menjadi kebiasaannya apabila berhenti  berhampiran dengan pantai, dia akan menghirup udara segar dari laut Mediterranean itu sejenak kemudian mengitar pandangan matanya ke pelosok penjuru laut. Katanya itu sumber ketenangan. Dahulu pernah juga dia bercerita kepada sahabat  Smart Circle Izzuddin El-Qassam, bahawa melihat laut Mediterranean akan sentiasa mengingatkannya kepada halaman kampungnya iaitu Bachok. Dan itu sudah tentu cukup untuk menggembirakan hatinya.
Pandangannya terhenti seketika tatkala  sesosok tubuh yang rasanya sangat di kenali cuba menarik perhatiannya. Seorang pemuda Melayu berseorangan di atas sebongkah batu besar. Di belakang bajunya tertulis  ‘RED SEA DIVERS DAHAB’ . Pemuda itu bungkam. Dia menundukkan kepala sambil kedua tangannya di silangkan ke dada. Gaya seperti seorang yang sedang memikirkan sesuatu. Bahar mula mengingati seseorang. Ya, Awang. Pemuda yang duduk di bongkah batu besar itu adalah sahabatnya. Bahar terus berlari-lari anak menuju ke arah sahabatnya. Dia melompat  di atas bongkah-bongkah batu besar hingga betul-betul sampai di sebelah Awang.
“Awang ! Awang ! Kau buat apa kat sini sorang-sorang ? Kenapa tak ajak aku sekali bermenung di depan lautan Mediterranean ni ?” ujar Bahar sambil menolak lembut bahu sahabatnya, Awang. Dia senang untuk duduk bersama seketika dengan temannya ini. Awang tidak berkata sepatah apa pun. Hanya segaris senyuman yang mampu dia ukirkan walaupun jiwanya sedang bergelora seperti ombak di lautan.

BERSAMBUNG… .


SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN SOLAT HAJAT PERDANA

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN SOLAT HAJAT PERDANA


Pada 18 Januari 2014, Stanza Mahabbah telah mengadakan satu program untuk semua ahli Stanza Mahabbah (SM) iaitu “Maulidur Rasul dan Solat Hajat Perdana” yang bertempat di Pusat Konvesyen, Universiti Iskandariah. Program ini telah diadakan sebagai langkah persediaan untuk peperiksaan akhir semester kelima batch SM dan juga sempena meraikan hari kelahiran rasul junjungan kita iaitu Nabi Muhammad SAW. Program ini juga diselit dengan slot watikah pelantikan Organisasi Batch (OB) SM untuk sesi 2013/2014.


Program dimulakan dengan solat Maghrib dan solat Hajat secara berjemaah. Selepas selesai solat, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Batch SM yang baru iaitu saudara Thahir dan diikuti dengan pengisian tentang sirah nabi Muhammad dan ucapan perasmian oleh Pengarah MARA Timur Tengah, Ustaz Ahmad Sofi b. Abdullah. Kemudian, program ini diceriakan lagi dengan tayangan video yang berkisar tentang memori tahun 2012/2103 SM. Video kenangan ahli SM yang berlatarkan lagu “A Thousand Years” nyanyian Christina Perri ini telah berjaya menyentuh hati semua ahli SM. Kehangatan perasaan yang bergejolak di dalam jiwa ahli SM ini telah menunjukkan betapa kuatnya tautan ukhuwwah yang telah terjalin di antara ahli-ahli SM selama ini. Setelah itu, program diteruskan lagi dengan upacara pemberian cenderahati kepada Ustaz Sofi dan diteruskan dengan alunan selawat ke atas junjungan nabi Muhammad secara beramai-ramai yang diketuai oleh saudara Aiman Razali.



Penyampaian cenderahati kepada Ustaz Sofi.

Program diteruskan lagi dengan tazkirah daripada saudara Amar Sofwan berkenaan kempen “Anti-Meniru” bersempena dengan peperiksaan yang bakal menjelang dan sedikit ucapan oleh Saudari Nur Amalina tentang“Kepentingan Berorganisasi”. Setelah usai ucapan, program telah diteruskan dengan majlis watikah pelantikan Organisasi Batch (OB) SM untuk sesi 2013/2014 dan Kalam Taujihat (arahan gerak kerja) daripada saudara Thahir.

 Kemudian, program ini diteruskan lagi dengan acara penyerahan Anugerah Mahasiswa Mahasiswi proaktif dan dedikasi yang telah dimenangi oleh saudara Shafiq Firdaus, Nazreen, Zainurul Ikram, saudari Raihan Izzati, Ayu Adora dan Nadia Razali. Untuk pengetahuan, anugerah ini adalah untuk menghargai mereka yang banyak menyumbang dalam aktiviti batch. Sesi fotografi bersama ahli-ahli SM dan jamuan makan malam iaitu Nasi Kerabu yang disediakan oleh Team Memasak Nur Islam telah mengakhiri program pada malam itu. Mengikut pepatah melayu, “Tak kenal maka tak cinta”,maka diharap semua ahli dapat meluangkan lagi masa untuk lebih mengenali Rasulallah kita, memperbanyakkan amalan sunnah dan menjadikan Rasulallah itu sebagai Qudwah Hasanah supaya kita dpt menjadi seorang yang lebih baik di masa akan datang.

tazkirah dari Amar Sofwan


Merujuk hadis riwayat Muslim dari Abû Hurairah, ertinya: "Barangsiapa berselawat untukku sekali, nescaya Allah berselawat untuknya sepuluh kali.". Diharap semua ahli dpt memperbanyakkan lagi selawat dalam kehidupan seharian kita agar kita dapat menjadi manusia yang dikasihi Allah SWT.


sesi fotografi.

[EXAM AKU DATANG] Kalam Taujihat Ketua Batch Sempena Peperiksaan.



Assalamualaikum w.b.t,

Segala puji bagi Allah SWT pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat r.a , tabi’ tabiin serta tidak lupa juga kepada mahasiswa dan mahasiswi warga Stanza Mahabbah yang dirahmati Allah sekalian.

Mahasiswa mahasiswi sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, peperiksaan bagi semester ke-5 bakal menjelma tidak lama lagi. Justeru, saya mewakili Organisasi Batch Stanza Mahabbah sesi 2013/2014 untuk memanjatkan doa dan iltizam yang tinggi kepada Allah S.W.T agar seluruh warga Stanza Mahabbah dapat menempuh peperiksaan ini dengan penuh ketenangan dan mencapai kejayaan yang cemerlang insya-Allah.

Peperiksaan merupakan satu medan kita semua untuk menguji sejauh mana pemahaman kita berkenaan ilmu yang telah kita pelajari. Walaupun banyak persepsi dan pandangan kita terhadap peperiksaan yang saban semester kita hadapi, namun ia tetap juga satu wasilah atau medium kita menyalurkan tahap kefahaman kita dalam subjek yang telah diambil.

Walaubagaimanapun ,terdapat segelintir pihak yang sering mengambil remeh dan sambil lewa bila diperkatakan soal peperiksaan ini. Ada yang berkata, “alah, buat pe nak exam-exam..al-ilmu fi sudur, wa laisa fil kutub la…tak exam pon memang aku dah cerdik pon”. Ada juga yang sering kedengaran berkata, “kalau tak lulus exam pon kite boleh berjuang kan?.. perjuangan tu luas skopnye syeikh..jangan jumud..”. Tak kurang juga yang berkata, “ana tak nak dicop exam-oriented..bersungguh time exam je.. ”Memanglah, kita tidak mahu digelar seorang yang exam oriented, dengan hanya menumpukan perhatian kepada peperiksaan semata, tetapi penghayatan kepada ilmu yang dipelajari itu langsung tiada. Namun, tidak bermakna sekiranya kita mahu menolak sesuatu keadaan, kita perlu gagal dalam menghadapi keadaan tersebut. Sebaliknya kita perlu menggunakannya, supaya suatu masa nanti kita akan mampu mengubahnya.

Mengulas perilaku sebahagian pelajar apabila tibanya musim peperiksaan ini, suka untuk disebutkan soal sikap sesetengah daripada kita yang hanya berubah sikap daripada yang tidak baik ke arah yang lebih positif, apabila menjelang musim peperiksaan ini sahaja. Katanya, bila dah masuk musim ini, semua perkara perlu dijaga keberkatannya. Solatnya, pergaulannya, percakapannya dan sebagainya. Tetapi, malangnya, sesudah tamatnya musim peperiksaan itu, segala perubahan positif itu lenyap dihembus angin lembut lautan Mediterranian ini, seolah-olah,baginya, untuk mencari keberkatan Allah dalam perbuatan itu cuma bermusim. Moga-moga, dengan hadirnya musim peperiksaan kali ini, kita sama-sama dapat berazam untuk menjadi yang terbaik, di samping menjadikannya sebagai platform, turning-point atau kick-start untuk kita berubah dan membetulkan segala kekhilafan dan kesalahan yang telah kita lakukan dalam hidup kita selama ini.

Study Smart atau Study Hard?. Buat sahabat sekalian, bila tiba musim imtihan, kebijaksaan anda adalah diutamakan. Anda gunakan kebijaksaan anda merancang, menilai, mentafsir dan kemahiran berfikir dengan sebaiknya. Belajar itu untuk membina daya fikir ke arah melahirkan generasi intelektual.

Akhir kalam, ingatlah sahabat-sahabat semua bahawa setiap kejayaan memerlukan pengorbanan, setiap pengorbanan memerlukan keikhlasan dan setiap keikhlasan yang tidak bercampur dengan perkara kebatilan akan membuahkan kejayaan yang hakiki.

Salam Imtihan utk semua. Kejayaan pasti milik anda insyaAllah.

MOHAMAD THAHIR BIN MOHAMAD ZIN
Ketua Batch Stanza Mahabbah Sesi 2014

Stanza Mahabbah. Powered by Blogger.